Terkini

Friday 22 August 2014

Muhyiddin Pelawa Komuniti Global Sertai Pasaran Kewangan Islam Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempelawa komuniti kewangan Islam global menjalin usaha sama dan meraih manfaat bersama daripada pasaran kewangan Islam Malaysia.

Beliau berkata pasaran kewangan Islam Malaysia yang komprehensif dan progresif dan berkembang sepanjang dekad yang lepas, sangat penting dalam perdagangan merentas sempadan dan memudahkan aliran dana di seluruh dunia.

"Menerusi pelaksanaan 30 tahun dalam pembangunan kewangan dan perbankan Islam, Malaysia mempunyai barisan produk kewangan Islam yang komprehensif, disokong oleh latar belakang rangka kerja perundangan berlandaskan Syariah yang dikawal selia," katanya.

Bercakap pada Majlis Makan Malam Gala dan melancarkan Majlis Antarabangsa Pendidik Kewangan Islam (ICIFE) di sini malam ini, Muhyiddin memuji Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, ulama Syariah dan komuniti kewangan Islam atas usaha mereka mengangkat pasaran kewangan Islam Malaysia ke tahap yang tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenal Malaysia kepada arena antarabangsa dengan identiti jenama ikonik baharu iaitu "Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia" pada 2013.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penubuhan ICIFE tepat pada masanya dalam memastikan kualiti dan profesionalisme dalam kalangan pendidik Kewangan Islam.

Beliau berharap ICIFE akan membangun secara progresif pada masa depan, menjadi sebuah organisasi global terunggul yang menyediakan kepimpinan yang dinamik dalam jaminan kualiti dan meningkatkan pendidikan kewangan Islam di seluruh dunia.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan sedar bahawa semakin banyak universiti awam dan swasta kini menawarkan program Kewangan Islam dan Muamalat

"Kesukaran yang dihadapi sebelum ini kerana tiadanya konsensus kebangsaan bagi kurikulum pendidikan standard untuk Kewangan Islam, kini sudah diatasi," kata Muhyiddin.

Beliau berkata standard pendidikan kewangan Islam berasaskan pasaran, yang diluluskan dan diiktiraf oleh Jaminan Kualiti Malaysia, oleh negara ini diwujudkan menerusi kerjasama pendidik Kewangan Islam yang diketuai Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kementerian Pendidikan dan penggiat industri.


(Pertubuhan Berita Nasional Malaysia / 22 Ogos 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment