Lebih 100 tokoh pemikir dari seluruh dunia akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka mengenai isu penting dalam kewangan Islam pada Forum Kewangan Islam Global (GIFF) 2014 di Kuala Lumpur dari 2 hingga 4 Sept.
Dianjurkan oleh Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), forum itu akan melibatkan program pelbagai hala, dialog dan rantaian dalam industri.
Presiden AIBIM Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata forum bertemakan Pasaran untuk Perhubungan Global itu juga menyediakan platform untuk peluang perniagaan di peringkat antarabangsa.
"Kita sudah menyaksikan pertumbuhan baik dalam kewangan Islam, dan sudah sampai masanya untuk bergerak ke peringkat seterusnya. Kali ini kami mahu bekerja bersama dalam pasaran antarabangsa," katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur Rabu.
Beliau berkata rantaian global itu akan meluaskan kewangan Islam dan meletakkannya pada tahap yang sama dengan kewangan konvensional atau menawarkannya sebagai satu alternatif supaya dapat diterima di peringkat antarabangsa.
"Kami mahu bekerjasama, dan jika ada pihak yang memerlukan bantuan, pengawal atur dan persatuan itu sedia membantu," katanya.
Penceramah utama pada forum itu termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Ranjit Ajit Singh, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa Prof Datuk Rifaat Ahmed Abdel Karim, penerima Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam Iqbal Khan, dan CEO Bank of London and The Middle East Plc Humphrey Percy.
Acara kemuncak forum itu termasuk sesi khusus mengenai pembangunan pasaran untuk rantaian global, forum perbankan dan Kewangan Islam, forum pengawal atur, rundingan meja Bulat CEO dan dialog pembiayaan hijau.
Redza berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Sultan Badlishah dijadual berangkat dan menyampaikan Anugerah Diraja bagi Kewangan Islam GIFF2014 kepada tokoh Kewangan Islam berwawasan yang telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial dunia.
Forum itu dianjurkan bersama oleh BNM, SC, Persatuan Takaful Malaysia, Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan dalam Kewangan Islam, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia.
(Agenda Daily / 26 Ogos 2014)
---
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment