Terkini

Friday 27 January 2012

Waris jahil punca pusaka tertangguh

Kes bertingkat amat kompleks, sukar ditadbir disebabkan kematian berlapis
SIRI terdahulu pada musim pertama telah memberi penjelasan terperinci mengenai harta pusaka simati (harta alih dan harta tak alih) hutang atau liabiliti simati serta proses berkaitan, langkah demi langkah yang perlu dilakukan waris serta jenis seksyen terpakai untuk mentadbir harta pusaka.
 Mengapa ini semua perlu dijelaskan dengan terperinci? AmanahRaya sebagai agensi milik kerajaan paling berpengalaman lebih 90 tahun dalam bidang Pentadbiran Pusaka, Amanah dan Wasiat turut berdepan pelbagai permasalahan dan berjaya menyelesaikannya ketika mentadbir kes berkenaan.
 
Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutangnya. - Surah al-Nisa', ayat 1
 
Permasalahan utama adalah pergaduhan dan persengketaan dalam kalangan ahli waris beberapa generasi akibat daripada kecuaian serta kegagalan ahli waris pertama melaksana tanggungjawab menyelesai pusaka simati pada masa itu menyebabkan tertangguh untuk beberapa generasi.
Akibatnya, apabila mereka sendiri meninggal dunia, pusaka mereka juga turut tertangguh dan tergantung. Adakah ini yang kita mahukan, membiarkan keharmonian keluarga musnah? Gejala ini amat menakutkan jadi kita perlu mengambil iktibar dan tidak mengulangi perkara sama. 
Persoalan penting yang masih tidak dijawab hingga hari ini, adakah kita bersedia mengambil langkah untuk mengubah sikap, pendirian dan mengaku kecuaian ini? Adakah gejala ini disebabkan kurang kefahaman dan juga maklumat berkaitan.
Ini akan menjadi inti pati perbincangan untuk beberapa siri akan datang. Perkara ini penting bagi mengelakkan sikap ambil mudah terus berpanjangan. Masalah suka bertangguh menyelesaikan pusaka semakin kritikal dan boleh mencapai tahap membimbangkan jika tidak ditangani dengan baik.
Ini dapat dilihat melalui kes pusaka bertingkat atau berlapis yang diterima AmanahRaya. Kes sebegini biasanya amat kompleks dan sukar untuk ditadbir kerana membabitkan kematian berlapis kalangan ahli waris yang berhak. 
Keadaan ini membawa kebimbangan pentadbir pusaka seperti AmanahRaya kerana memerlukan tempoh lebih lama bagi membuat siasatan dan pengesahan waris, harta pusaka, wasiat, hutang dan liabiliti sebelum pembahagian dapat dibuat. 
Kebiasaannya apabila perkara ini berlaku, waris perlu menunggu lebih lama dan ini akan memudaratkan banyak pihak termasuk kerajaan kerana tiada bayaran boleh dibuat, juga pengesahan aset, harta dan liabiliti tidak dapat diperoleh dengan tepat serta disahkan.
Contohnya, apabila banyak harta lebih daripada satu daerah, maka lebih masa diperlukan mungkin disebabkan dokumen membabitkan aset atau harta pusaka simati tidak lengkap. Senario ini amat membimbangkan kerana waris tidak sedar mereka akan berhadapan masalah lebih besar apabila membuat permohonan sendiri atau di AmanahRaya. 
Paparan rencana ini diharapkan dapat membantu ahli waris membuat penilaian seterusnya mengambil keputusan tepat sama ada masih mahu berlengah atau tidak, dan apakah cara terbaik mendapat bahagian masing-masing.
Firman Allah yang bermaksud: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutangnya.” (Surah al-Nisa’, ayat 1) 
Berdasarkan kes yang ditadbir AmanahRaya, masih ada waris enggan membayar hutang simati menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan. Namun, ada yang mahu semua hutang dan wasiat simati diselesaikan segera dan bakinya dibahagikan dalam kalangan waris. 
Ini semua tanggungjawab waris dan sebagai pentadbir, AmanahRaya menjalankan tanggungjawab berdasarkan undang-undang dan keputusan waris simati. Ini termasuk membuat penyiasatan dan pengesahan status wasiat, hutang serta liabiliti simati bagi memastikan tiada pihak dinafikan haknya.
Oleh itu, pentadbir pusaka perlu mengetahui kesan atau risiko diambil mereka dalam mentadbir harta simati di dunia serta akhirat. Pembahagian harta simati hanya selepas waris menyelesaikan wasiat dan membayar hutang.
Perlu diingat, wasiat dan hutang simati adalah tanggungjawab mutlak waris dan satu amanah besar sama seperti pembahagian harta pusaka. 
Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang berkhianat menggelapkan sesuatu harta (kepunyaan semua), dia akan datang menanggung apa yang dikhianatkan itu pada hari Kiamat; kemudian akan dibalas tiap-tiap seorang apa yang telah dikerjakannya, sedang mereka tidak dianiayai.” (Surah Ali-Imran, ayat 161) 
Keperluan dan kewajipan melaksanakan amanah ini perlu diseimbangkan dengan niat mendapat keredaan Allah serta mengangkat darjat simati. Pada masa sama, kejayaan menyelesaikan pusaka akan memberi ketenangan rohani dan jasmani. Dalam konteks ini, bukan hanya waris perlu bersikap amanah tetapi juga pentadbir pusaka. 
(Berita Harian/27 Januari 2012) 
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

Wednesday 25 January 2012

Dosa tidak berzakat

Hati mana yang tidak sedih melihat paparan di media berkenaan kemiskinan dan kemelaratan yang berlaku dalam masyarakat. Dalam dunia moden hari ini, masih lagi terdapat orang yang tinggal dalam kotak, menginap bawah jambatan, dalam kandang haiwan dan sebagainya.
 
Diberitakan juga kisah-kisah pesakit kronik yang terlantar tanpa bantuan, orang kelainan upaya dan kanak-kanak terbiar tanpa perlindungan. Demikianlah episod-episod sedih dalam sebuah kehidupan di alam realiti.
 
Bagi membendung masalah kemiskinan dan kemelaratan hidup, Islam telah mendatangkan penyelesaian yang sangat tepat dan berkesan. Islam telah menjadikan zakat sebagai kewajipan kepada umat sehingga ia termasuk dari rukun Islam.
 
Zakat adalah ketetapan Ilahi. Ini bererti, tidak sempurna keislaman seseorang itu apabila enggan mengeluarkan zakat setelah cukup syarat-syaratnya.
 
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Islam dibina atas lima: Bersyahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan dan haji ke baitullah bagi sesiapa yang mampu mengunjunginya. (riwayat Muslim)
 
Sebab itu, Abu Bakar As-Siddiq r.a telah mengisytiharkan perang kepada golongan yang enggan membayar zakat walaupun mereka menunaikan kewajipan yang lain seperti solat.
 
Walaupun tindakan Abu Bakar untuk memerangi mereka itu tidak dipersetujui oleh para sahabat di peringkat awal, tetapi akhirnya mereka bersetuju secara ijmak setelah diberikan penjelasan oleh Abu Bakar.
 
Allah SWT sering menggandingkan kewajipan mengeluarkan zakat bersama dengan perintah mendirikan solat.
 
Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: Dan dirikan solat, serta tunaikan pembayaran zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk. (al-Baqarah: 34)
 
Islam telah mengajar kita cara berekonomi dan penggemblengan modal menerusi pengumpulan dana sama ada yang bersifat sukarela (derma dan wakaf) atau wajib (berzakat). Sehingga Allah menjanjikan ganjaran yang amat besar sekali kepada mereka yang melakukannya dan azab yang amat dahsyat kepada yang mengingkarinya.
 
Ia sebagaimana firman-Nya menegaskan: Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu, sebab itu akan Aku sediakan bagi mereka yang bertaqwa, mereka yang mengeluarkan zakat dan mereka yang beriman dengan keterangan-keterangan Kami (Allah). (al-A'raf: 156)
 
Walaupun kutipan zakat melalui pusat-pusat zakat semakin bertambah dari tahun ke tahun, namun ia masih lagi belum mencapai tahap yang memuaskan.
 
Jumlah zakat dilihat tidak seimbang dengan bilangan masyarakat Islam yang berkemampuan di negara kita. Ini menunjukkan kesedaran tentang pembayaran zakat perlu diperluaskan dan diperhebatkan lagi untuk memberikan kefahaman dan untuk memurnikan salah faham tentang zakat.
 
Sebagai contoh, terdapat golongan yang beranggapan bahawa zakat yang diwajibkan hanyalah zakat fitrah yang ditunaikan pada bulan Ramadan.
 
Sedangkan banyak lagi jenis-jenis zakat yang difardukan kepada mereka yang telah memenuhi syarat-syaratnya seperti zakat pendapatan, simpanan, perniagaan, tanaman, haiwan ternakan, galian, emas dan perak.
 
Orang yang tidak mengeluarkan zakat sedangkan mempunyai kemampuan yang cukup akan dikenakan seksaan yang amat pedih di akhirat kelak.
 
Penderitaan tersebut dikenakan kepada mereka disebabkan sikap pentingkan diri sendiri yang ada dalam diri sehingga sanggup untuk melihat kemiskinan terhampar di hadapan matanya, padahal mereka mempunyai kemampuan dengan rezeki yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (al-Taubah: 34-35)
 
Begitu juga dengan ancaman berat yang diberikan oleh Nabi SAW terhadap mereka yang enggan mengeluarkan zakat. Hadis nabi SAW yang bermaksud: Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50,000 tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hamba-Nya. (riwayat Muslim)
 
Zakat agih kekayaan
 
Zakat dengan konsepnya yang tersendiri mampu mengatasi masalah pengagihan kekayaan dalam masyarakat. Lapan asnaf yang ditetapkan oleh Allah SWT dalam ayat di atas adalah segmen-segmen penting dalam masyarakat untuk diprioritikan bantuan kepada mereka.
 
Mereka adalah golongan yang perlu diberi perhatian sebagai sebagai sebuah komponen yang unik dalam masyarakat.
 
Zakat juga penting bagi tujuan pembinaan ekonomi negara. Ini adalah kerana, zakat dapat menjadi sumber kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan modal.
 
Modal ini boleh digunakan sebagai permulaan untuk perniagaan bagi menjana pendapatan. Pusat Zakat di bawah Majlis Agama Islam Negeri menyediakan pula khidmat nasihat dan pemantauan terhadap operasi perniagaan mereka dari masa ke semasa.
 
Apabila mereka sudah mencapai tahap yang memuaskan dalam perniagaan yang dijalankan, maka tibalah giliran mereka pula untuk mengeluarkan zakat bagi membantu asnaf-asnaf lain.
 
Namun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat di kalangan golongan asnaf yang tidak mampu untuk bekerja kerana penyakit kronik atau kecacatan anggota badan.
 
Justeru, zakat yang dikumpulkan akan digunakan bagi menyara kehidupan mereka termasuklah makan-minum, pakaian, tempat tinggal dan kos perubatan.
 
Kesimpulannya, zakat adalah penting sebagai sumber perekonomian masyarakat Islam. Ia bukan sahaja dapat membantu golongan yang tidak bernasib baik, bahkan ia juga dapat merancakkan kegiatan dan pertumbuhan ekonomi umat Islam.
 
Apa yang berbaki adalah, sama ada kita yakin atau tidak.

(Berita Harian/Wan Jemizan & Ahmad Termizi/25 Januari 2012)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com