Pada awal tahun lalu, dunia dikejutkan dengan suasana krisis makanan dan tenaga. Tiba-tiba dunia khususnya di rantau Asia didapati mengalami kenaikan harga makanan, khususnya bijirin yang menjadi bahan ruji bagi para penduduk.
Dalam suasana kenaikan harga makanan dan minyak mendadak naik, maka tidak menghairankan para penganjur Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) meletakkan soal keselamatan makanan dan tenaga untuk dijadikan tema perbincangan bagi tahun ini.
Tetapi keadaan berubah dengan begitu cepat sekali hingga apabila WIEF Kelima yang berlangsung di Jakarta Isnin dan Selasa lalu sudah tidak wajar memberikan perhatian terhadap soal makanan dan tenaga kerana dunia hari ini menghadapi krisis lebih besar, iaitu berkaitan dengan kewangan yang mengakibatkan jutaan orang kehilangan pekerjaan di banyak negara.
Bukanlah bermakna kekurangan makanan dan tenaga sudah tidak menjadi isu. Harga minyak memang turun tetapi bekalan makanan tetap terancam, lebih-lebih lagi dengan perubahan iklim yang membimbangkan. Tetapi krisis kewangan global hari ini adalah lebih perlu segera dihadapi.
Maka benar apabila Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam ketika berucap dalam majlis pembukaan forum menyatakan bahawa tumpuan wajar diberikan kepada menghadapi krisis kewangan global dengan pemahaman bahawa sistem yang ada sekarang telah gagal dan runtuh.
Buat masa ini, tindakan segera yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia ialah mencurahkan dana ke pasaran melalui apa yang disebut sebagai rangsangan.
Stimuli dan mini bajet sudah menjadi istilah yang diharapkan akan dapat menyelamatkan keadaan. Tetapi di sudut hati mereka yang mengikut perkembangan ini, akan terdetik rasa bahawa apa yang berlaku tidak dapat dipastikan. Perasaan optimis yang muncul mungkin untuk menyedapkan hati dan mengelak masyarakat panik.
Sememangnya berperasaan panik tidak akan menyelesaikan masalah dalam apa jua situasi darurat. Otak yang dingin adalah kaedah mujarab, tetapi pada waktu yang sama kedinginan otak tidaklah sampai menjadi beku hingga tidak mampu untuk berfikir.
Maka serentak dengan rangsangan dana untuk menggerakkan ekonomi, apa yang diperlukan ialah rangsangan otak untuk berfikir, bertukar fikiran, berhujah mencari jalan supaya optimisme yang ada itu benar-benar mempunyai isi, dan bukan hanya retorik.
Di sinilah peranan pertemuan seperti WIEF. Pakar-pakar ekonomi dari negara-negara Islam wajar bertemu dan mengambil peluang platform seperti ini untuk mencari idea baru bagi menghadapi cabaran.
Maka umat Islam umumnya yang sudah lama memendam perasaan dengan mencurigai keampuhan sistem kewangan dunia pimpinan Amerika Syarikat seolah-olah ramai-ramai menyatakan "itulah, padan muka." Sistem berdasarkan riba di atas ekonomi yang tidak nyata akhirnya akan tumbang.
Masalahnya apabila sistem kewangan dunia pimpinan Amerika yang intinya daripada kalangan Yahudi itu runtuh, ia akan mengheret sama seluruh dunia Islam. Dan apabila majoriti golongan miskin itu berada di negara-negara Islam, maka merekalah yang paling teruk menghadapi kesusahan dan penderitaan.
Indonesia yang merupakan negara Islam terbesar di dunia, dari segi bilangan penduduk, keluasan dan pengaruh politiknya akan sentiasa menerima tamparan paling hebat, baik apabila menghadapi krisis makanan, tenaga mahupun kewangan seperti yang ada sekarang.
Tetapi apabila Indonesia selesema, negara-negara jirannya juga akan terheret sama, khususnya Singapura dan Malaysia. Ketiga-tiga negara ini, Indonesia, Malaysia dan Singapura tinggal sekampung yang menuntut kerjasama yang maha erat khususnya dalam bidang ekonomi.
Jadi sebagai tetangga, sensitiviti meliputi pelbagai sudut bukan saja ekonomi, politik, bahkan sosial dan budaya.
Tetapi hubungan paling kuat antara Malaysia dan Indonesia adalah dari sudut tradisi keagamaan, yang kedua-dua bangsa ini sentiasa melihat Asia Barat sebagai sumber kiblatnya.
Justeru dunia Islam boleh dilihat memiliki paksi Asia Barat dan Asia Tenggara. Maka apabila aktiviti yang melibatkan dunia Islam, ia tidak akan terlepas daripada paksi ini. Inilah juga yang berlaku dalam forum seperti WIEF.
Maka suasana dewan di Ritz-Carlton, Jakarta yang didominasi oleh paksi ini seolah-olah sepakat tanpa ragu lagi bahawa sistem kewangan global pimpinan Barat sudah gagal dan ia seharusnya digantikan dengan alternatif Islam.
Maknanya dalam keadaan krisis kewangan ini, dunia mendapati bahawa sistem Islam lebih kukuh daripada turut terheret ke dalam kancah keruntuhan. Maka sudah tentu ada istimewanya terhadap sistem Islam.
Bagi umat Islam, soal melaksanakan sistem kewangan Islam tidak perlu didebatkan. Tentu ia mempunyai kebaikan kerana landasannya adalah Islam. Tetapi bagi mereka yang tentunya tidak ada keimanan dari sudut agama, maka akan diteliti ciri-ciri mengapa sistem ini lebih perkasa.
Maka akan muncul tiga aliran dalam melihat persepsi ini. Aliran pertama melihat sistem Barat tetap relevan dan krisis yang ada hari ini adalah sementara kerana peraturan yang longgar serta amalan keterlaluan dalam soal memberi pinjaman. Jika diperketatkan dan diperbaiki, maka sistem Barat akan sekali lagi dapat bangkit.
Aliran kedua pula melihat bahawa perlunya kedua-dua sistem, iaitu Islam dan Barat, yang dinamakan sebagai konvensional itu hidup seiringan dan saling lengkap-melengkapi dalam memperkayakan kegiatan ekonomi dunia.
Maka jika sistem konvensional bermasalah, dunia boleh memilih cara Islam tetapi jika kewangan syariah tidak cukup maju, maka digunakan pula cara Barat.
Sementara aliran ketiga pula mahu hanya sistem kewangan Islam digunakan kerana ia ternyata paling rasional dan beretika. Kalau istilah Islam itu menakutkan orang bukan Islam, maka gugurkan nama-nama berbau Arab dan digantikan dengan istilah neutral.
Apa yang disebut sebagai sistem kewangan Islam pula sebenarnya berasaskan pada asas mudah iaitu keadilan dalam menanggung risiko dan berniaga atas produk nyata, sesuatu yang dapat diterima oleh banyak pihak walaupun di kalangan bukan Islam. Cuma mereka tidak diberi peluang untuk memanfaatkan sistem sedemikian.
Namun begitu, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapannya di WIEF, sistem kewangan Islam mesti menyeragamkan piawainya untuk benar-benar memperoleh wibawa untuk bergerak dalam dunia moden. Selain daripada kreatif menawarkan produk baru.
Akhirnya yang menjadi pesaing bagi sistem kewangan Islam bukanlah dari pihak konvensional atau Barat tetapi daripada kelemahan kepakaran serta kreativiti profesional yang akan mengendalikan infrastruktur dan mekanisme sistem kewangan Islam ini.
Memang benar krisis kewangan global ini membuka peluang bagi sistem Islam tetapi masa berlalu dengan cepat dan jika laluan ini tidak dimanfaatkan segera maka boleh jadi ia terlepas begitu saja.
Lompong yang wujud ini akan diisi oleh sistem yang lebih sesuai daripada konvensional, dan ia tidak semestinya datang dari dunia Islam. Kelewatan mengaut peluang akan pastinya diisi oleh pihak lain.
Sebab itu, pendidikan bagi menghasilkan profesional kewangan Islam amat penting dan perlu segera dilakukan. Malah tidak keterlaluan untuk menyebut bahawa memperjuangkan sistem kewangan Islam merupakan gerakan penting bagi menyelamatkan dunia.
(Utusan)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment