Terkini

Thursday, 5 March 2009

Selaras sistem bank Islam – PM

JAKARTA 2 Mac – Piawaian perbankan dan kewangan Islam perlu diselaraskan supaya sistem itu diterima sebagai alternatif dalam keadaan dunia berhadapan dengan krisis ekonomi global, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Perdana Menteri berkata, selagi pasaran terikat dengan peraturan dan tafsiran piawaian Syariah yang berbeza, adalah sukar bagi kewangan Islam untuk berkembang di luar negara-negara Islam.
“Justeru, adalah penting bagi setiap pembuat keputusan dalam dunia perbankan dan kewangan Islam bekerja keras mewujudkan piawaian seragam supaya ia diterima dan dipatuhi oleh komuniti perbankan Islam secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Kelima di sini.
Abdullah turut menggariskan cabaran kedua kewangan Islam iaitu kegagalan memperkenalkan produk baru yang berdaya saing supaya menjadi lebih istimewa daripada aliran konvensional.
Sehubungan itu, katanya, adalah perlu bagi sektor itu meneroka kaedah mewujudkan pakej-pakej kewangan yang menarik tanpa terpaksa menggunakan galakan kredit dan pinjaman bebas berisiko.
‘‘Tugas ini sukar tetapi saya yakin dengan berusaha secara kolektif, ia bukan di luar kemampuan kita untuk melaksanakannya,” katanya di hadapan para peserta yang terdiri daripada para pemimpin kerajaan dan masyarakat perniagaan pelbagai negara.
Forum yang bertemakan Keselamatan Makanan dan Tenaga - Membendung Kemaraan Krisis Kewangan global itu dirasmikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Turut berucap Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam dan Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Prof. Dr. Ekmeleddin Ihsanoglu. Antara pemimpin negara Islam yang hadir ialah Putera Mahkota Emirat Arab Bersatu, Sheikh Saud Saqr al-Qassimi; Perdana Menteri Maghribi, Abbas El- Fassi; Timbalan Perdana Menteri Yaman, Abdul Kareem Al-Arhabi.
Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri juga yakin kewangan Islam mempunyai masa depan cerah kerana terdapat tanda-tanda menggalakkan bahawa dunia kian menghargai keperluan peraturan alternatif kepada sistem kewangan antarabangsa sedia ada.
“Kewangan Islam semakin memperoleh wibawa sebagai suatu alternatif. Kewangan Islam pada asasnya berdasarkan pada prinsip tanpa risiko, tanpa ganjaran.
“Hanya mereka yang memutuskan untuk mengambil risiko akan memperoleh manfaat. Ini berbeza daripada kewangan konvensional di mana ganjaran besar masih boleh diperoleh tanpa risiko.
‘‘Sistem sebegitu membuka pintu kepada pinjaman tidak bertanggungjawab di mana ketamakan dibenarkan menguasai. Krisis pajakan subprima adalah suatu kes klasik,” ujarnya.
Menurut Abdullah, adalah jelas bahawa sistem kewangan konvensional telah runtuh dengan implikasi serius terhadap ekonomi global.
Banyak negara, katanya, mengalami kesukaran untuk mengatasi kemelesetan dalaman dengan dana besar dicurahkan untuk menggerakkan semula ekonomi masing-masing.
“Dengan tiada pilihan lain, kita telah mewarisi suatu sistem di mana orang boleh berdagang dengan apa yang bukan dimiliki. Maka akibatnya ialah tekanan inflasi dalam pasaran global yang menyebabkan kerosakan besar terhadap kesejahteraan golongan miskin dunia,’’ katanya.
Abdullah turut menekankan dua peluang yang perlu direbut oleh dunia Islam untuk menampilkan sistem kewangan Islam sebagai alternatif dan meningkatkan segera pelaburan dalam pembangunan pertanian dan industri makanan.
“Krisis kewangan telah menghakiskan lagi kuasa pembeli golongan miskin yang membelanjakan 50 hingga 70 peratus pendapatan mereka kepada makanan.
‘‘Pertumbuhan dalam pengeluaran makanan telah membeku ekoran kekurangan pelaburan dalam teknologi pertanian dan pembangunan luar bandar,’’ katanya.
Perdana Menteri berkata, pengeluaran bijirin global yang mengalami pertumbuhan purata tiga peratus pada tahun 60-an dan 70-an jatuh kepada satu peratus sejak 2000.
Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi tugas semua pihak untuk mewujudkan usaha sama sektor awam - swasta yang berkesan sebagai langkah mengatasi krisis makanan. – Utusan
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment