Dewasa ini, umat Islam di negara kita dan juga di serata dunia berhadapan dengan satu masalah yang amat sukar untuk dielakkan, iaitu keterlibatan (sama ada secara langsung ataupun tidak) dengan wang atau harta yang diperoleh melalui sumber yang syubhah atau haram.
Perkara ini antaranya berpunca daripada berleluasanya transaksi-transaksi yang tidak patuhi syariah dalam kebanyakan institusi-institusi kewangan konvensional pada hari ini.
Didapati bahawa sebahagian daripada masyarakat Islam pada hari ini menemui kebuntuan dalam mencari penyelesaian kepada saki baki wang syubhah yang dimiliki dalam simpanan mereka. Contohnya seperti wang faedah hasil daripada simpanan dalam bank-bank yang berasaskan riba.
Ada di kalangan masyarakat Islam yang mengambil mudah dalam hal ini dengan menggunakannya tanpa rasa bersalah. Tidak kurang juga ada yang membiarkannya begitu sahaja atas anggapan ia tidak boleh dimanfaatkan secara mutlak. Mana satukah cara yang benar?
Pengenalan
Perkataan syubhah itu sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti samar iaitu tidak jelas. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Halal dan Haram dalam Islam mendefinisikan perkara syubhah ini sebagai suatu perenggan di tengah-tengah halal terang dan haram yang jelas yang masih samar-samar dan mengelirukan manusia, yakni masih samar-samar sama ada ia halal ataupun haram.
Beliau menjelaskan cara yang paling afdal ialah dengan meninggalkan perkara-perkara yang syubhah ini bagi mengelakkan diri daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang memang nyata haramnya. Ini termasuk dalam kaedah saddul-zara'i iaitu menutup pintu-pintu kerosakan.
Dalam perkara ini, Rasulullah SAW. telah bersabda yang bermaksud: Yang halal itu sudah jelas, dan yang haram pun sudah jelas. Dan di antara kedua-duanya itu ada beberapa perkara yang masih samar-samar (syubhah). (riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi)
Kaedah pelupusan wang syubhah dalam Islam
Terdapat khilaf di kalangan ulama berkenaan kaedah pelupusan wang syubhah atau haram mengikut syarak. Sesetengah ulama salaf yang berpendapat ia tidak boleh disucikan dan hendaklah dimusnahkan atau dibinasakan begitu sahaja.
Ada ulama yang berpandangan bahawa ia boleh dimanfaatkan bagi tujuan maslahat umum termasuk diberikan kepada golongan fakir dan miskin. Ada pula yang berpandangan hanya untuk maslahat umum seperti membuat jambatan dan tandas awam sahaja tetapi tidak wajar diberikan kepada fakir miskin kerana ia berasal dari sumber yang haram dan tidak baik.
Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Fatawa Mu'asirah menjelaskan bahawa wang-wang faedah ini selain ia haram untuk dimanfaatkan oleh umat Islam, ia juga haram untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional.
Perbuatan tersebut akan memperkuatkan lagi bank-bank tersebut dan sama seperti menolong bank-bank konvensional yang akan turut menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan-tujuan yang bertentangan dengan syarak.
Tindakan ini tergolong dalam membantu perkara-perkara maksiat, sedangkan membantu dalam perkara yang haram hukumnya adalah haram! Dalam hal ini, Allah SWT berfirman, mafhumnya: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. (al-Ma'idah: 2)
Dr. Yusuf berpandangan, apa yang disyariatkan adalah supaya wang-wang faedah tersebut begitu juga dengan harta-harta lain dari sumber yang haram dibelanjakan kepada perkara-perkara kebajikan. Ini seperti membantu golongan fakir dan miskin, anak-anak yatim, musafir, jihad di jalan Allah, membantu perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat-pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang bersifat kebajikan.
Dalam hal ini juga, Keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Ke-3, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 21 Januari 1971 menetapkan: "Faedah yang diperolehi daripada wang simpanan yang dibuat oleh institusi Islam atau perniagaan atau badan kebajikan yang dianggotai oleh orang-orang Islam dalam mana-mana bank harus diterima oleh badan-badan itu atas alasan kecemasan ekonomi orang-orang Islam pada masa ini" dan "faedah yang diperolehi daripada wang simpanan seseorang muslim dalam mana-mana bank harus diterima olehnya atas alasan kerana kecemasan itu juga, tetapi wang faedah itu hendaklah dimasukkan dalam Baitulmal atau untuk kegunaan muslihat umum".
Wang bercampur aduk antara halal dan haram
Timbul satu persoalan di sini, iaitu apabila wang yang halal dan wang yang haram bercampur aduk dan tidak dapat dibezakan, contohnya wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama, bagaimana ia hendak dijernihkan?
Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang berkaitan iaitu: "Apabila berkumpul perkara yang halal dengan yang haram, maka dimenangkan (dikira) yang haram".
Menurut kaedah ini, apabila perkara yang halal dan haram bercampur aduk dalam sesuatu perkara itu, maka ia dianggap sebagai haram. Ini adalah pandangan yang lebih utama berdasarkan justifikasi bahawa meninggalkan perkara yang harus bagi tujuan menjauhi perkara yang haram adalah lebih baik daripada sebaliknya.
Dalam hal ini, iaitu apabila berlaku campur aduk antara perkara yang halal dengan yang haram dan tidak dapat dibezakan, maka penyelesaiannya adalah dengan mengasingkan nilai atau kadar sebenar yang halal dengan yang haram dengan niat dibahagikan antara kedua-duanya.
Apa yang jelas halal boleh digunakan manakala yang haram itu hendaklah dilupuskan seperti dengan menyedekahkannya kepada fakir miskin atau menyerahkan kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahat ummah.
Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.
Kesimpulan
Sehubungan itu, menjadi tanggung jawab setiap umat Islam untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara syubhah demi menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang haram.
Dengan tumbuhnya pelbagai institusi kewangan Islam pada hari ini seperti bank-bank Islam, syarikat-syarikat pajak gadai Islam (al-rahnu), syarikat-syarikat insurans Islam (takaful) dan sebagainya, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk menggunakan sistem kewangan Islam yang ada ini sewajarnya.
Namun demikian, sekiranya keterlibatan dengan wang syubhah atau haram ini tidak dapat dielakkan, maka hasil-hasil daripada aktiviti syubhah atau haram tersebut hendaklah dilupuskan sewajarnya berlandaskan syarak.
Penyerahan kepada Baitulmal merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta dapat menyumbang kepada kemaslahatan sosio-ekonomi umat Islam.
E-mel: mfadzli@jawhar.jpm.my
(Utusan)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment