Terkini

Friday 17 August 2012

BIMB Holdings untung RM340.6 juta


KUALA LUMPUR 16 Ogos 2012 - BIMB Holdings Bhd. (BIMB Holdings) mencatatkan keuntungan sebelum Zakat dan cukai (PBZT) bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2012 sebanyak RM340.6 juta atau RM40 juta lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
BIMB Holdings dalam satu kenyataannya berkata, pencapaian itu membolehkan syarikat itu merekodkan pulangan atas aset (ROA) pada 1.74 peratus dan pulangan atas ekuitinya (ROE) pada kadar 18.36 peratus.
Dalam tempoh tersebut, keuntungan bersih syarikat berjumlah RM238.6 juta iaitu meningkat 6.7 peratus.
Operasi perbankannya menerusi Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) pula mencatatkan PBZT sebanyak RM278.4 juta atau RM26.2 juta lebih tinggi berbanding separuh pertama tahun lalu.
Dalam tempoh enam bulan tersebut, pembiayaan bersihnya meningkat RM2.2 bilion mencecah kepada RM16.4 bilion sehingga hujung Jun 2012. Deposit pelanggannya tumbuh 19.4 peratus atau RM4.6 bilion dengan nilai terkumpul berjumlah RM28.7 bilion sehingga Jun lalu.
Dalam kenyataan itu, Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, beliau yakin Bank Islam mampu mencapai sasaran PBZT setengah juta ringgit untuk tahun kewangan penuh walaupun pertumbuhan ekonomi dunia dijangka perlahan.
Bank itu juga akan meneruskan usaha meluaskan operasinya kepada pelanggan dengan menambah lapan lagi cawangan baru tahun ini, menjadikannya jumlah keseluruhannya 133 cawangan.
Operasi Takafulnya menerusi Syarikat Takaful Malaysia Bhd. (Takaful Malaysia) pula mencatatkan pendapatan operasinya meningkat 37.6 peratus kepada RM875.2 juta, berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM636.2 juta. Peningkatan itu disumbangkan oleh jualan menerusi produk Takaful Keluarga dan pendapatan pelaburan yang tinggi.
Dalam tempoh enam bulan itu, Takaful Keluarga mencatatkan sumbangan perolehan kasar sebanyak RM529.3 juta, manakala Takaful Am mencatatkan sumbangan perolehan kasar RM215.1 juta.
Takaful Malaysia mencatatkan PBTZ sebanyak RM63.9 juta iaitu peningkatan 28.1 peratus berbanding RM49.9 yang dicatatkan pada tahun lalu.
Dalam kenyataan itu juga, prospek perniagaan Bank Islam bagi baki tahun ini dijangka kekal positif ekoran aktiviti pembiayaan kepada pelbagai projek di bawah Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan pengenalan beberapa produk baru.
Hal yang sama juga dijangka berlaku ke atas Takaful Malaysia melalui pengenalan produk baru, penambahbaikan perniagaan menerusi Internet dan pengambilan ejen baru serta ikatan perniagaan dengan bank islam tempatan. (Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment