Terkini

Thursday 16 August 2012

Pelaburan hartanah Islam



Ramai yang tidak mengetahui apakah itu Amanah Pelaburan Hartanah (REIT). Ini kerana REIT bukan sahaja merupakan satu instrumen pelaburan baru di negara ini, tetapi juga merupakan instrumen pelaburan baru dalam dunia pasaran modal itu sendiri.

Kini muncul pula REIT Islam, yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan pasaran REIT, yang mengendalikan pelaburan hartanah mengikut hukum syariah.

REIT juga merupakan suatu perkara baru di kebanyakan negara maju termasuk di Jepun.

Malahan di sesetengah negara Eropah ia suatu yang asing sehingga ada negara di benua itu tidak melaksanakan REIT.

Bagaimanapun, kepentingan REIT dalam ekonomi, terutama dalam pasaran modal semakin disedari terutama bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam industri hartanah.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2006 di Terengganu pada tahun lalu, mahu supaya pasaran REIT di negara ini dimajukan lagi.

Menurut beliau ini kerana pasaran REIT berpotensi menjana sewaan yang kompetitif dan meningkatkan nilai pelaburan dalam jangka sederhana dan panjang.

Dalam hal ini, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga kerana kerajaan telah mengambil langkah permulaan yang bijak, bukan sahaja bagi menggalakkan perkembangan industri REIT di negara, tetapi juga mengetengahkan REIT Islam, kerana menyedari kepentingan REIT kepada pasaran modal, malahan sebagai instrumen pelaburan yang boleh membantu menjana ekonomi negara.

Oleh kerana itu, kerajaan telah memperkenalkan garis panduan REIT Islam, sebagai susulan kepada langkah drastik Sekuriti Malaysia pada Januari 2005, membuat perubahan ke atas garis panduan REIT di Malaysia.

Banyak pihak melihat tindakan susulan mengadakan garis panduan bagi REIT Islam adalah tepat pada masanya ke arah meluaskan lagi pasaran REIT.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang menyenaraikan REIT Islam di bawah garis panduan syariah yang jelas dan telus.

Katanya, garis panduan REIT Islam itu seiring dengan matlamat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan dan pelaburan antarabangsa Islam yang utama.

Perintis
Dari segi sejarahnya, Axis REIT Bhd. merupakan REIT pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia iaitu pada Ogos 2005, dan Axis REIT Bhd. telah menjadi perintis kepada syarikat-syarikat lain untuk menyenaraikan portfolio aset-aset hartanah mereka sebagai REIT di Bursa Malaysia.

Walaupun Malaysia baru menceburi pasaran REIT, tetapi Malaysia mampu bersaing dengan pasaran REIT yang sudah mantap di negara-negara lain di rantau Asia kerana memperkenalkan garis panduan yang lebih longgar dan pemberian insentif-insentif menarik kepada pelabur dalam bentuk pelepasan cukai.

Dari segi kedudukan, walaupun pasaran REIT Singapura masih baru, tetapi pasaran REITnya lebih berjaya berbanding Malaysia kerana beberapa insentif menarik yang ditawarkannya kepada pelabur termasuk pengecualian cukai.

Begitu juga dengan Jepun, pasaran REIT di negara itu telah berkembang pesat dengan nilai pasaran mencecah AS$26 bilion dalam tempoh lima tahun.

Hong Kong yang juga masih baru dalam pasaran REIT telah menunjukkan kematangannya dalam pasaran REIT di rantau ini.

Sehubungan itu, Malaysia telah menyusun strategi bagi menjadikan pasaran REITnya lebih cekap dan mampu mengenal pasti peluang pasaran yang semakin berkembang.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara dan Ejen Penilaian Estet Berdaftar, Dr. Ting Kien Hwa berkata, pengenalan REIT Islam di negara ini akan memberikan Malaysia peluang untuk mengembangkan pasaran modal dan saiz pasaran REITnya.

Katanya, perkongsian dalam projek dengan negara-negara Asia Barat akan memberikan lebih banyak kredibiliti kepada REIT Islam itu.

Sebagai contoh, pembinaan bangunanbangunan baru di Dubai boleh diteroka sebagai pelaburan, katanya.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah, Fakulti Seni bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shahrom Md Ariffin pula berkata, tindakan Malaysia menjadikan pasaran modal dan industri kewangan serta perbankannya, terutama yang berteraskan Islam lebih menarik.

Ini adalah bagi menyaingi negara-negara lain termasuk negara-negara Barat termasuk Amerika Utara, United Kingdom dan Eropah yang sejak kebelakangan ini serius melaksanakan sistem perbankan dan kewangan Islam serta memperluaskan produk-produk perbankan dan pelaburan sekuriti berlandaskan syariah, katanya.

Langkah mereka itu bertujuan menarik minat pelabur-pelabur dari negara Islam, terutama negara-negara Arab, di samping pelabur-pelabur tempatan yang beragama Islam, katanya.

Negara-negara Barat menyedari danadana yang besar dan kecairan yang banyak dari negara-negara Islam ini memerlukan instrumen pelaburan yang patuh syariah untuk dilaburkan, sama ada dalam sekuriti seperti saham, ekuiti, bon, saham amanah, REIT atau pelaburan secara langsung dalam hartanah, tambah beliau.

Beliau berkata, negara-negara Barat menyedari bahawa mereka tidak boleh lagi terlalu sentimental terhadap sistem ekonomi Islam kerana sikap itu akan merugikan mereka memandangkan kini terdapat 1.6 bilion pengguna Islam yang bergantung kepada pasaran, produk-produk kewangan serta perbankan dan pelaburan Islam.
Shahrom berkata, sebelum ini, ketiadaan sistem perbankan dan kewangan Islam serta produk-produk perbankan dan pelaburan Islam telah mendorong pengguna Islam bergantung sepenuhnya kepada sistem perbankan konvensional yang mengamalkan riba, atau terlibat dengan unsur perjudian atau kesamaran (gharar)

Syariah
Penubuhan panel-panel penasihat syariah di dalam pasaran modal dan kewangan di negara-negara Barat dengan melantik ulama-ulama Islam menunjukkan kesungguhan mereka untuk mengembangkan dan memantapkan pasaran pelaburan dan kewangan Islam di negara mereka, katanya.

Beliau berkata, Dow Jones misalnya telah melantik beberapa ulama terkemuka bagi menganggotai panel penasihat syariahnya (Dow Jones Islamic Index Syariah Board), yang membuktikan negara-negara barat, yang sebelum ini menolak sistem ekonomi Islam, kini tunduk kepada kehendak pasaran di kalangan umat Islam dengan menyediakan prasarana dan produk-produk kewangan dan perbankan serta pelaburan yang mematuhi syariah.

Sebagai negara Islam, Malaysia menjadi pelopor kepada produk-produk perbankan dan pelaburan Islam dan terus melaksanakan pelbagai dasar bagi memantapkan lagi sistem pasaran modal Islam di negara ini.

Maka REIT Islam adalah sebahagian daripada produk pelaburan Islam selain bon Islam, sekuriti bersandarkan aset (sukuk), unit amanah Islam, indeks syariah, waran (TSR), waran panggilan dan kontrak niaga hadapan minyak kelapa sawit mentah, katanya.

Utusan Malaysia-Mustafa Kamal Basri-19 April 2007)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment