Terkini

Friday, 7 December 2007

Salah faham perbankan Islam

KERAP kali kita mendengar orang Islam membandingkan kadar keuntungan yang diambil oleh bank-bank Islam dan kadar riba haram (interest) yang dikenakan oleh perbankan konvensional.Ikhlas saya katakan, ia adalah satu perbandingan yang amat tidak benar dan tidak wajar. Seorang lelaki berkata: “Saya rasa kepemimpinan George Bush ada persamaan dengan Nabi Muhammad daripada sudut penguasaan ahlinya.”
Apa perasaan anda bila dibandingkan Nabi Muhammad SAW, seorang Rasul dan kekasih Allah dengan seorang manusia seperti George Bush? Bagi yang sensitif, perbandingan itu tidak wajar sama sekali daripada sudut spiritual dan fizikal. Bagaimanapun, bagi yang sudah hampir mati spiritualnya, perbandingan itu dilihat wajar dan adil.Tindakan membandingkan apa yang ditawarkan oleh bank Islam dan bank konvensional ternyata silap, iaitu daripada sudut:1) Spiritual - kerana membandingkan perkara yang halal dan yang haram. 2) Fizikal - kerana cuba membandingkan dua benda yang mempunyai bentuk yang berbeza.Ia boleh dianggap sebagai cuba membandingkan kadar keuntungan yang diambil oleh bank Islam dalam produk pembiayaannya dan kadar faedah riba yang dikenakan oleh bank konvensional.Kesilapan menjadi semakin ketara apabila orang ramai yang tidak faham menyamakan secara umum kononnya bank Islam mahal dalam semua produknya sedangkan kadar pembiayaan kereta adalah sama dan sangat hampir dengan bank konvensional.Malah, sesetengah produk pembiayaan korporat di bank-bank Islam jauh lebih murah daripada konvensional.Jika pembiayaan rumah pula, yang biasanya dijadikan ukuran oleh orang ramai, kadar harga adalah berbeza-beza mengikut lokasi rumah yang ingin dibeli, kemampuan pelanggan, peratusan pinjaman atau pembiayaan yang dipohon dengan kadar bagi pinjaman 90 peratus adalah berbeza daripada pinjaman 50 atau 70 peratus selain tempoh jangka pembiayaan dan banyak aspek serta perkiraan lagi.Sebarang perbandingan mestilah mengambil kira semua faktor itu sebelum ia dibuat. Perbandingan yang dibuat secara umum pasti akan menunjukkan kelemahan diri dalam ilmu perbandingan.Berikut adalah beberapa fakta yang menyebabkan dakwaan bahawa pinjaman perumahan bank konvensional lebih murah daripada dalam perbankan Islam adalah silap dan tidak tepat sama sekali:1. Perbandingan Kiraan Yang SilapOrang ramai tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, perbankan Islam hanya mengenakan 7.5 peratus, sebagai contoh dari tahun ketiga sehingga tahun ke-30. Ini bermakna kadar berkenaan tidak akan bergerak sehingga 30 tahun.Berbeza dengan pinjaman perumahan oleh produk konvensional dengan hampir semuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama dan kedua, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR (Base Lending Rate) atau Kadar Pinjaman Asas ditolak dengan peratusan tertentu sebagai contoh 0.25 peratus. Yang pasti, kadar dikenakan tidak tetap.Bagaimana apabila peratusan BLR melambung tinggi sebagai contoh 10 peratus seperti yang berlaku ketika krisis ekonomi? Bukankah ketika itu, kadar faedah yang perlu dibayar oleh pelanggan juga amat tinggi.Ini tidak akan berlaku dalam praktis bank Islam kerana di awal kontrak lagi menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam memberikan rebat (Ibra’) apabila pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal.Perlu dingat BLR naik beberapa kali sepanjang tahun lalu dan tahun ini daripada enam peratus sehingga 6.75 peratus. Ia juga boleh melonjak lagi mengikut keadaan ekonomi.Ada pihak yang mendakwa kadar BLR sekiranya naik sekalipun ia tidak akan berpanjangan.Jika anda melihat statistik, kadar BLR melebihi lapan peratus bermula 1995 sehingga 1998. Ini bermakna 36 bulan anda dikehendaki membayar dengan kadar yang amat tinggi. Ia mungkin mampu ditanggung oleh orang yang berada, tetapi tidak bagi orang yang sederhana dan mempunyai gaji yang sekadar cukup makan setiap bulan.Perlu diingat juga, jika dalam tempoh berkenaan anda tidak boleh membayar, anda akan dikenakan penalti yang tinggi oleh bank konvensional dan jumlah pinjaman pokok akan bertambah `menggunung’.Ketika itu kadar BLR yang telah jatuh semula tidak banyak memberikan manfaat, kerana tiga tahun kadar BLR tinggi itu telah menjadikan pembayaran anda selama ini seperti ‘membuang duit di dalam sungai’ kerana ia akan menaikkan semula jumlah pinjaman pokok anda. Saya akan mendedahkan mengapa ia berlaku selepas ini.Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi bagi dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang tidak tepat dan tidak logik untuk diperbandingkan. Cuba lihat Jadual 1 bagaimana perbandingan boleh dibuat terhadap tawaran dua bank berikut ketika ini Jika anda dapat melihat kedua-dua tawaran di atas, bagaimana mungkin anda boleh mengetahui yang mana satu lebih murah? Memang benar bank Islam menetapkan daripada awal harga jualan rumahnya kepada pelanggan kerana ia adalah kewajipan dalam syariah.Berikutan itu, seseorang menyangka bank Islam lebih mahal kerana menjual sebuah rumah berharga asal RM130,000 dengan harga RM260,000 sedangkan pemberitahuan harga begini memang diperlukan bagi sebuah transaksi Murabahah dan Al-Bai.Sebarang pembelian aset yang tidak diketahui harganya adalah diharamkan di dalam Islam seperti: “Saya jual sofa ini kepada anda dengan harga bergantung kepada BLR. Minggu pertama BLR tolak empat peratus, minggu kedua BLR tolak tiga peratus dan lain-lain.” Transaksi jualan aset sebegini adalah disepakati haramnya oleh seluruh ulama silam dan terkini. Tahap haramnya bertambah tinggi apabila sebuah pinjaman dengan riba yang tidak diketahui pula jumlah bayaran semula yang dikenakan tatkala pinjaman dibuat. Ia adalah riba dan Gharar. Yang jelas dalam hal di atas, perbandingan antara harga yang diletakkan oleh bank Islam dan bank konvensional tidak boleh dibuat lagi kerana jumlah keseluruhan yang perlu anda bayar kepada bank konvensional tidak akan dapat diketahui sehingga tempoh pinjaman anda tamat.Perbandingan ini menjadi salah kerana bank konvensional bergantung sepenuhnya kepada kadar BLR yang berubah-ubah. Bagaimana anda boleh membandingkan benda yang tiada dengan yang sudah ada? Kecuali jika individu berkenaan tidak mempunyai pengetahuan mengenai kewangan.Malangnya, kebanyakan umat Islam di Malaysia kelihatan berfikiran jangka pendek. Mereka hanya melihat pembayaran di hadapan mata mereka tanpa melihat jauh ke hadapan berbelas tahun lagi.Ini menyebabkan mereka sering terperangkap dalam perbandingan yang silap.Saya tegaskan sekali lagi, jika anda ingin mengatakan kadar faedah bagi bak konvensional berdasarkan contoh di atas adalah sama untuk tahun kedua dan ketiga iaitu 4.75 peratus, anda telah tersilap kerana ia belum dapat dipastikan lagi sehingga tahun depan barulah ia akan diketahui kadarnya. - (Harian Metro) BERSAMBUNG....

No comments:

Post a Comment