Terkini

Friday 4 July 2008

Al-Rajhi lancar khidmat terus ke rumah


AL-RAJHI Bank Malaysia meluaskan lagi capaian produk perbankannya dengan melancarkan promosi 'perkhidmatan peribadi' yang menyediakan keselesaan kepada pelanggan membuat permohonan pinjaman peribadi secara terus ke rumah atau pejabat.

Ketua Perbankan Runcitnya, Sabry Ghouse, berkata pelanggan hanya perlu melaksanakan tiga langkah mudah untuk membuat permohonan itu tanpa perlu meninggalkan rumah atau pejabat mereka.

Katanya, pelanggan hanya perlu memuat turun borang permohonan daripada laman web bank, mengisi dan menghantarnya menerusi e-mel atau faks bersama salinan kad pengenalan.

Selepas diluluskan, beliau berkata, kakitangan jualan bank akan melawat pemohon sama ada di rumah atau pejabat untuk melengkapkan prosedur akhir, yang mana jumlah pinjaman akan diberikan keesokannya.

“Ini bermakna, pelanggan tidak perlu membuang masa melawat cawangan Al-Rajhi Bank untuk menghantar borang permohonan, malah kami menawarkan perkhidmatan persendirian yang pantas dan mudah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sabry berkata, prosedur yang mudah itu membolehkan pelanggan mengurangkan perjalanan, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan bakar.
Katanya, promosi itu didatangkan bersama kadar keuntungan istimewa sebanyak 7.99 peratus, iaitu antara yang paling menarik dalam industri.

“Tawaran ini diperluaskan ke seluruh negara, kecuali Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Al-Rajhi Bank komited dalam menawarkan inovasi produk yang memberi keselesaan dan mampu memenuhi keperluan pelanggannya.

“Ini adalah cara bank menukar nilai, iaitu kebenaran, penghargaan dan penghormatan kepada produk kami. Justeru, menetapkan produk terpuji yang inovatif adalah tanda aras kami dalam memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan,” katanya.
Sabry berkata, bank melaksanakan promosi perbankan hujung minggu yang kreatif dan pantas dan dengan adanya promosi terbaru itu, ia menetapkan satu lagi tanda aras baru.

“Pelanggan pasti menantikan perkhidmatan inovasi seterusnya dari kami. Ia akan memberikan kami kelebihan dalam pasaran untuk membentuk ruang baru dan menjadi model contoh perbankan Islam di negara ini,” katanya.

Beliau menambah, Al-Rajhi yakin tawaran terbaru itu akan menerima maklum balas memberangsangkan daripada pelanggan, sama seperti maklum balas diterimanya daripada promosi perbankan hujung minggu.

Promosi ‘perkhidmatan peribadi’ Al-Rajhi Bank bermula 30 Jun lalu dan akan berakhir 11 Julai ini.
(Berita Harian)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment