MUHAMMAD Quraish Syihab dalam tafsirnya berkata: Ayat yang lalu menegaskan bahawa Allah SWT mengetahui segala apa yang dikerjakan oleh manusia, yang nyata mahupun yang tersembunyi. Dalam ayat ini, Allah SWT menegaskan kekuasaan-Nya di seluruh jagat raya, dan apa pun yang dikerjakan manusia, baik yang nyata mahupun yang tersembunyi, maka semua akan dipertanggungjawabkan termasuk apa yang dihuraikan oleh ayat yang lalu, yakni menyembunyikan persaksian.
Dapat juga diperkatakan, bahawa setelah dalam ayat yang lalu Allah SWT menegaskan keluasan ilmu-Nya, maka di sini dijelaskan keluasan kekuasaannya dalam rangka membuktikan bahawa Dia Yang Maha Kuasa itu menyandang segala macam kesempurnaan yang layak bagi-Nya. Ini kerana pada hakikatnya semua kesempurnaan dapat tergambar melalui kekuasaan dan pengetahuan. Demikian al-Biqa’i menghubungkan ayat ini dengan ayat yang lalu.
Firman Allah SWT: Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu.
Sayyid Qutub berkata: “Demikianlah kesimpulan al-Quran yang dibuat dalam pembicaraannya mengenai undang-undang madani atau sivil itu dengan mengemukakan bimbingan yang ditujukan kepada hati nurani dan menghubungkan di antara undang-undang kehidupan dan Allah SWT yang menciptakan kehidupan itu dengan tali ikatan yang kukuh yang terdiri dari perasaan takut dan harapan kepada Allah SWT yang memiliki bumi dan langit”.
Ini bererti al-Quran menambahkan jaminan-jaminan daripada hati nurani di samping jaminan undang-undang, sedangkan jaminan hati nurani itu merupakan jaminan yang amat kuat dan istimewa bagi syariat Islam di dalam hati kaum muslimin yang hidup dalam masyarakat Islam.
Jaminan hati nurani dan undang-undang di dalam Islam merupakan dua perkara yang sepadu. Sebabnya Islam menciptakan hati dan mengaturkan undang-undang untuknya dan juga Islam menciptakan masyarakat dan menyusun undang-undang dan peraturan untuknya.
Itulah ciptaan Allah SWT selama-lamanya sepadu dan seimbang. Itulah tarbiah (didikan) di samping undang-undang. Itulah rasa takwa di samping kuasa undang-undang. Itulah sistem hidup manusia dari ciptaan Allah SWT yang menciptakan manusia.
Ketahuilah bahawa kecelakaan umat manusia berlaku apabila umat manusia lari dari sistem hidup dan syariat yang diatur oleh Allah SWT. Di dunia Barat, kecelakaan itu bermula dari pelarian mereka dari pengaruh gereja yang zalim dan dari tuhannya.
Gereja mendakwa bahawa ia bercakap atas nama tuhan lalu ia mengharamkan manusia dari berfikir dengan teliti, mewajibkan orang ramai dengan menggunakan nama tuhan supaya membayar rasuah-rasuah yang tinggi dan bertindak terhadap mereka dengan menggunakan kuasa yang sewenang-wenangnya.
Apabila orang ramai mahu menyelamatkan diri mereka daripada momok yang menakutkan ini, mereka terus melarikan diri dari gereja dan kuasanya, tetapi mereka tidak terhenti setakat garis yang sederhana sahaja.
Malah mereka terus melarikan diri daripada tuhan gereja itu sendiri dan kuasanya kemudian melarikan diri daripada segala agama yang memimpin kehidupan mereka di bumi ini dengan undang-undang dan peraturan Allah SWT. Akibatnya mereka menempuh kecelakaan dan malapetaka.
Namun, bagi kita para penganut Islam, mengapa pula kita bertindak begitu juga? Mengapa kita juga bertindak lari dari Allah SWT? Lari daripada sistem hidup dan syariat yang diatur oleh-Nya?
Mengapa kita bertindak begitu, sedangkan agama kita agama yang toleransi dan lurus. Ia tidak sekali-kali mewajibkan ke atas kita melainkan amalan-amalan yang boleh menyelamatkan kita daripada belenggu-belenggu khurafat, menggugurkan beban-beban (dosa) dari pada kita dan melimpahkan ke atas kita rahmat, hidayat, kemudahan, kejujuran dan keteguhan sikap mengikut jalan yang membawa kepada Allah SWT, kepada kemajuan dan keberuntungan di akhirat?
Firman Allah SWT: Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Al-Maraghi berkata: Maksud ayat ini adalah, dengan rahmat-Nya Dia mengampuni orang yang dikehendaki dan dengan keadilan-Nya juga Dia akan menghukum orang yang dikehendaki. Allah SWT hanya menghendaki agar sesuatu itu sesuai dengan dasar kemurahan dan keadilan-Nya.
Dengan keadilan-Nya, Dia menghukum orang yang berdosa sesuai dengan dosanya dan memberi pahala sesuai dengan kebaikannya. Akan tetapi dengan kemurahan-Nya pula, Dia melipatgandakan pahala kebaikan sebanyak 10 kali atau lebih, tetapi tidak pula melipatgandakan hukuman terhadap sesuatu dosa.
Dosa yang diampun ialah orang yang Allah SWT berikan jalan kepadanya untuk berbuat kebaikan, sehingga kebaikannya mengatasi dosanya. Ia bukan seperti anggapan orang yang bodoh, bahawa masalah pengampunan terhadap dosa ini mudah, sehingga mereka berani membuat dosa dengan terus-menerus tetapi pada masa yang sama, dia berharap akan diampunkan oleh Allah SWT.
(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment