Terkini

Friday 29 March 2019

Wang simpanan, Tabung Haji berjumlah RM113,000 lesap ditipu Inspektor Narita


29 Mac 2019 (Bernama)

KUANTAN - Wang simpanan seorang guru wanita sebuah sekolah berasrama penuh di sini, lesap selepas dia menuruti arahan daripada anggota sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai 'Inspektor Narita'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusuf berkata, mangsa yang berusia 51 tahun mendakwa wang itu merupakan simpanannya di Tabung Haji dan akaun bank peribadinya termasuk pinjaman yang baharu diluluskan berjumlah RM80,000.

Katanya, mangsa menjadi mangsa sindiket itu selepas menerima panggilan telefon pada 28 Februari lalu, kononnya daripada pegawai bank bahagian pinjaman di Kuala Lumpur yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan selama tiga bulan.

"Mangsa kemudiannya diarahkan berhubung dengan Inspektor Narita yang memberitahu dia terlibat dengan kes penggubahan wang haram bernilai RM1.5 juta dan suspek berjanji akan membantu menyelesaikan masalah itu, jika mangsa menuruti arahannya.

"Suspek meminta mangsa untuk menukar nombor telefon yang didaftarkan pada akaun Tabung Haji dan bank akaun miliknya kepada nombor lain yang diberikan dan dilarang membuat sebarang transaksi bank selama seminggu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd. Wazir berkata, mangsa sekali lagi dihubungi suspek pada 21 Mac lalu dan diarahkan untuk membuat pinjaman daripada bank lain sebanyak RM80,000 kononnya bagi tujuan wang jaminan, yang diluluskan pihak bank pada 27 Mac lepas.

Mangsa telah memaklumkan 'Inspektor Narita' berhubung kelulusan pinjaman itu yang disusuli dengan arahan supaya memindahkan wang tersebut ke dalam akaun bank yang ditetapkan oleh suspek.

"Mangsa berbuat demikian pada 28 Mac lalu dan pada keesokan harinya, telah meminta rakannya yang bekerja sebagai penolong pengurus bank untuk menyemak baki akaunnya.

"Mangsa diberitahu terdapat transaksi pemindahan wang dari akaunnya dan akaun Tabung Haji yang diselaraskan dengan akaun itu ke dalam sebuah akaun lain berjumlah RM113,000 menyebabkan dia berasa telah diperdayakan oleh Inspektor tersebut," katanya.

Mohd. Wazir menambah, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada petang semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

29 Mac 2019 (Bernama)

No comments:

Post a Comment