Terkini

Monday, 11 March 2019

Memantapkan pengurusan zakat

Bebas News (10 Mac 2019)

Oleh Ismail Ibrahim

NEGARA-NEGARA Islam pada keseluruhannya adalah lemah dan miskin. Tetapi negara Islam yang kaya pula, sungguh pun bilangannya adalah kecil, namun sekiranya kekayaan itu diuruskan dengan bijaksana, maka negara Islam akan dapat tegak sebagai kuasa ekonomi dunia yang kuat.

Sebuah akhbar Saudi (Al-Ukaz) pernah memberitakan bahawa orang Islam di Saudi Arabia yang membayar zakat fitrah secara individu beberapa tahun yang lalu telah sampai ke tahap yang berjumlah kira-kira 300 juta riyal Saudi setahun.

Jika hal ini dijadikan perbandingan, maka jumlah zakat harta bagi individu yang kaya di negara tersebut, dan ditambah pula dengan jumlah syarikat-syarikat gergasi milik orang Islam, zakat pendapatan daripada gaji yang tinggi, dan jumlah simpanan wang yang tersimpan di dalam bank umpamanya, maka jumlahnya mungkin akan sampai ke tahap berbilion-bilion riyal pada setiap tahun.

Ini hanyalah satu contoh daripada negara kaya di Teluk yang dikurniakan Allah dengan hasil bumi yang mewah dan makmur, dan ini hanyalah anggaran kasar keluaran zakat yang mungkin dilakukan oleh para pembayar zakat secara sukarela dan kesedaran sendiri.

Malah perangkaan yang saya bentangkan disini adalah berdasarkan masa lampau yang agak lama dulu, yang sekiranya dilihat kepada jumlah dan statistik masa kini, maka jumlah itu tentulah berlipat ganda banyaknya.

Kuasa ekonomi negara Islam sebenarnya dapat memartabatkan ummah sekiranya kekayaan itu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh negara tersebut bagi kepentingan umat dan negara Islam sendiri.

Pada tahun-tahun tujuh puluhan, ketika berlaku krisis antara negara Islam dan negara Barat, iaitu pada zaman pemerintahan Al-Marhum al-Malik Faisal, maka terdapat kenyataan yang memeranjatkan pihak Barat, iaitu pihak negara Islam mungkin terpaksa memberhentikan ekspot minyaknya ke negara Barat sekiranya krisis ini tidak diselesaikan secara saksama.

Negara Islam dengan itu telah menggunakan taktik ugutan memberhentikan ekspot minyak ke negara-negara Barat, sebagai senjata yang berkesan untuk menentang Barat.

Hal ini sekiranya berlaku, tentulah akan memberi kesan negatif kepada ekonomi Barat, kerana pembangunan ekonomi dan industri mereka sebahagian besarnya adalah bergantung kepada kuasa petrol daripada negara-negara Islam. Oleh itu, pihak Barat terpaksa bertolak ansur.

Sebaliknya dukacita sekali, bahawa dunia Islam, sekurang-kurangnya di Asia Barat, amat bergantung kepada kuasa negara Barat, terutama Amerika Syarikat, dalam pembangunan ekonominya.

Sejarah krisis antara Israel dan Palestin umpamanya membuktikan hal ini, iaitu setelah Hamas memenangi pilihan raya dan berjaya membentuk Kerajaan di Semenanjung Gaza, beberapa tahun dulu, menunjukkan bahawa umat Islam amat bergantung kepada Amerika Syarikat dan Barat sebagai punca kewangannya.

Israel mengambil keputusan membekukan wang kutipan duti kastam yang dipungutnya bagi pihak Palestin setiap bulan yang berjumlah AS$50 juta.

Amerika Syarikat memberhentikan bantuannya kepada Palestin, malah menuntut kembali wang yang telah diberikan kepada Palestin sebelum ini sebanyak AS$50 juta, sedangkan jumlah ini adalah terlalu kecil bagi AS sebagai kuasa besar tunggal dunia. Kesatuan Eropah pula mengugut Palestin untuk memberhentikan bantuannya.

Pendeknya kuasa Barat dan Israel, benar-benar telah bertindak tegas terhadap negara Palestin dengan cara memiskinkannya secara serta merta dengan kuasa ekonomi yang berada pada tangan mereka.

Malah bukan hanya sekadar melakukan tindakan yang mengaibkan itu sahaja, tetapi telah bertindak lebih jauh lagi dengan menggunakan kuasa politik mereka agar negara Islam yang kaya juga tidak membantu kerajaan baru Palestin yang memenangi pilihan raya tersebut secara demokratik, seperti yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat sendiri.

Hal ini berlaku ialah kerana kelemahan negara Islam sendiri dalam bidang ekonominya, yang membawa kepada kelemahannya dalam bidang politik antarabangsa.

Kuasa ekonomi yang sepatutnya berada pada tangan orang Islam, tidak terurus dengan baik dan produktif, dan pada masa yang sama, kekayaan sesetengah negara Islam tidak dapat dimanfaatkan oleh sesama orang Islam yang seharusnya dibantu, kerana tekanan politik asing, dan politik individualistik negara-negara Islam sendiri.

Inilah sebenarnya falsafah dan hikmah institusi zakat dalam Islam, iaitu mewujudkan semangat kerjasama dan bantu membantu untuk kekuatan sesama umat Islam.

Inilah sebenarnya konsep Baitul Mal yang dianjurkan oleh Islam, yang penah berfungsi secara aktif sejak zaman para sahabat Rasulullah saw.

Zakat dapat menggemblengkan kekayaan umat Islam menjadi kuasa ekonomi yang gagah sekiranya urusan institusi ini dijalankan secara sepadu oleh semua kalangan umat Islam di mana sahaja mereka berada.

Malah saya percaya sekiranya kita mempunyai tabung zakat yang kukuh pada peringkat negara-negara Islam seluruh dunia, maka tabung yang kukuh itu tentunya akan dapat membantu rakyat dan kerajaan Palestin, dan negara Palestin tidak mungkin dapat dimiskinkan dengan amat aib begitu rupa yang amat menjatuhkan maruah umat Islam keseluruhannya.

Malah lebih memalukan lagi, jika diperiksa segala akaun di luar negara bagi orang-orang kaya Islam yang lebih berminat menyimpan dan melabur di Barat, maka jumlah wang jutawan Islam di luar negara itu tentulah amat besar, yang sekiranya wang itu dizakatkan, bukan hanya Palestin akan mendapat manfaatnya, tetapi banyak lagi negara Islam lain yang miskin akan mendapat faedahnya.

Dari sudut yang lain pula, keutuhan kuasa ekonomi negara Islam, terutama dalam kuasa membeli dan konsumerisme nampaknya disedari Barat dalam contoh yang berikut.

Apabila berlaku krisis terakhir akibat daripada lukisan kartun yang menyentuh kemulian Nabi Muhammad SAW oleh pihak media Barat, di Denmark, dan berlakunya bantahan secara sepadu oleh umat Islam seluruh dunia di Timur dan di Barat, serta terdapat masyarakat Islam yang mengambil tindakan memulau barang-barang keluaran negara Barat tertentu, maka keadaan ini segera mencemaskan pihak Barat, kerana selama ini pasaran bagi barang-barang keluaran negara tersebut adalah besar di negara-negara Islam.

Akibat daripada pemulauan barang-barang keluaran negara Barat yang terlibat itu, maka mereka mengalami kerugian berjuta-juta dolar, mengikut dakwaan mereka sendiri.

Sebab itulah negara yang terlibat, dan Kesatuan Eropah sendiri telah mengambil tindakan mendadak untuk mententeramkan suasana dan membina kembali jambatan mesra antara Barat dan dunia Islam, sedangkan yang bertindak memulaukan barang-barang itu hanyalah merupakan tindakan orang awam, bukan kerajaan Islam yang memutuskan untuk mengambil tindakan itu.

Hal ini menunjukkan bahawa kuasa ekonomilah yang sebenarnya menguasai minda dan pergerakan manusia pada hari ini, termasuk negara Barat tersebut, yang hanya terjejas dengan kadar yang amat minimum dengan ugutan dan perbuatan memulaukan barang-barang keluarannya oleh segelintir masyarakat Islam sahaja, tetapi mereka telah merasakan hal itu sebagai ancaman yang besar terhadap pasaran dan ekonomi mereka, lalu segera mengundang mereka untuk memohon maaf kepada masyarakat Islam, dan pemimpin-pemimpin mereka pula bergegas menemui pucuk pimpinan OIC, berjumpa Sheikh Al-Azhar dan lain-lain lagi.

Kuasa ekonomi inilah yang seharusnya dibina melalui kesepaduan usaha bagi menginstitusikan sistem zakat dalam kalangan umat dan negara Islam pada hari ini.

Tetapi sayangnya, zakat hanya menjadi satu amalan sukarela dalam kalangan sebahagian besar orang Islam, dan zakat lebih banyak merupakan ibadat simbolik setahun sekali menjelangnya Hari Raya Aidilfitri.

Selepas berakhirnya Ramadan dan berakhirnya Hari Raya Puasa, maka berakhirlah ibadat zakat, sehinggalah menjelangnya Ramadan dan hari raya pada tahun yang berikutnya.

Pada pandangan saya, sekiranya para ulamak dapat berijtihad dan mendapatkan satu kata putus yang merupakan ijmak yang tertentu terhadap beberapa perkara yang dapat mengukuh dan memperkemaskan lagi sistem zakat sekarang, dan menjadikan institusi zakat sebagai satu institusi global, ia dapat memberikan satu kekuatan kepada masyarakat dan negara Islam.

Di negara kita juga, seperti yang terbukti dalam sejarah kita, urusan zakat merupakan kewajipan individu yang menunaikan zakat atas kesedaran sendiri, dan pelajaran yang didapatinya secara terhad dalam menunaikan zakat ini akan terlaksana dengan cara yang berlaku mengikut tradisi dalam sesuatu masyarakat itu.

Sebelum ditubuhkan sebarang pusat untuk mentadbirkan zakat oleh kerajaan negeri di negara kita umpamanya, maka orang Islam akan mengeluarkan zakat kepada pihak yang berhak menerimanya secara peribadi.

Pesawah akan mengeluarkan zakat padinya kepada sesiapa yang dirasanya berhak menerima zakat mengikut pelajaran yang dipelajarinya, dan demikian juga apabila tiba bulan puasa, dan menjelangnya hari raya, maka ia akan membawa segantang beras untuk diberikan kepada guru agama, atau sesiapa yang perlu, sebagai zakat fitrahnya.

Oleh itu, ijtihad ulamak yang membenarkan penubuhan pusat zakat adalah merupakan satu kemajuan baru yang diwujudkan untuk menginstitusikan sistem zakat dan mentadbirkannya secara profesional yang diambil langkah pertamanya oleh negara kita sendiri.

Para ulamak dan pengkaji bidang keislaman dalam melaksanakan ijtihad ini tentulah telah mengkaji tafsiran ayat-ayat al-Quran tentang hal ini, umpamanya ayat 103 dalam surah al-Taubah;

“Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu, kamu membersih dan mensucikan mereka, dan mendoakan untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Dengan itu, pemerintah mempunyai kuasa untuk memungut dan mentadbirkan zakat itu, kerana salah satu fungsi pemerintahan Islam ialah mendidik masyarakat supaya umatnya dapat membersihkan diri mereka daripada sifat bakhil dan kikir, juga cinta yang melampaui batas terhadap harta kekayaan mereka.

Maka ayat ini telah menjelaskan fungsi zakat sebagai satu cara pendidikan dalam menyuburkan sifat kebaikan di dalam hati umat dan memperkembang harta benda mereka.

Hal ini diperkuat lagi oleh firman Allah SWT dalam surah Al-Ma’arij, ayat 24 dan 25 ketika Allah SWT memberikan beberapa panduan untuk manusia menghilangkan sifat kikirnya.

“… dan orang-orang yang dalam hartanya terdapat bahagian tertentu, bagi orang (miskin) yang meminta, dan orang-orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak meminta).”

Maka untuk menjamin keadilan sosial antara rakyat yang terdiri daripada berbagai-bagai golongan dan kadar pendapatan mereka, pemerintah haruslah menjalankan tugasnya dalam bidang ini, termasuk dalam urusan zakat yang telah diwajibkan oleh Allah SWT.

Kita mungkin tidak terlalu bercita-cita tinggi dalam merealisasikan mekanisme ini, dengan mengharapkan bahawa semua negara Islam di dunia ini akan mewujudkan sebuah Baitul Mal agong untuk semua negara Islam.

Hal ini mungkin akan menjadi angan-angan yang tidak akan tercapai oleh tangan kita pada masa yang terdekat ini.

Tetapi cita-cita untuk mewujudkan sebuah badan zakat Asia Tenggara haruslah kita pupukkan, supaya agenda ini akan menjadi satu kenyataan, melalui semangat persaudaraan dan persefahaman antara negara-negara di rantau ini.

Saya pernah terdedah kepada idea ini ketika terlibat dalam satu jawatankuasa Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan, agak lama dulu, seramai 22 orang peserta dari Institut Manajemen Zakat, Jakarta, telah mengunjungi PPZ untuk lawatan sambil belajar.

Di dalam lawatan itu mereka telah menyatakan kekaguman mereka dengan perjalanan PPZ dan hasil pembangunan ummah yang berjaya dilaksanakan untuk mereka pelajari dan kemudiannya akan cuba bergabung untuk bekerjasama antara dua buah negara serumpun ini.

Mengikut rekod laman web Pusat Pengutan Zakat Wilayah Persekutuan yang saya layari satu ketika dahulu, iaitu pada 24 Februari 2006, PPZ Wilayah Persekutuan berjaya memungut zakat harta pada tahun 2005 sebanyak RM126.7 juta, meningkat sebanyak 19 peratus berbanding RM106.7 juta bagi tahun 2005.

Jumlah ini telah meningkat dengan berlipat ganda menjelang tahun-tahun terakhir ini. Sumber tidak rasmi PPZ menyatakan bahawa pada tahun 2017 pungutan zakat telah meningkat ke jumlah kira-kira RM610 juta dan bagi tahun 2018, RM650 juta.

Peningkatan jumlah zakat yang dipungut dari setahun ke setahun merupakan satu perkembangan positif terhadap kesedaran orang Islam untuk berzakat, dan peningkatan jumlah syarikat Islam yang menyedari kewajipannya untuk mengeluarkan zakat atas nama syarikat.

Hakikat ini akan menjadi lebih ketara lagi apabila ekonomi umat lebih meningkat di samping kesedaran mereka untuk menunaikan zakat, juga apabila lebih banyak umat Islam yang menerajui syarikat-syarikat perniagaan yang komited kepada ajaran Islam tentang kewajipan berzakat ini.

Malahan individu Muslim yang komited dengan kewajipan berzakat ini nampaknya semakin meningkat atas kesedaran yang didorongkan oleh ajaran Islam yang semakin menyerlah di negara kita ini.

Yang tinggal kepada kita ini, hanya lapisan seterusnya dari pihak yang berkuasa agama, termasuk Kerajaan Negeri dan Persekutuan, untuk menjadi lebih kreatif, dinamik dan amanah dalam pengurusan dan peningkatan agenda dalam pembangunan ekonomi umat Islam sendiri di dalam negara kita.

— BebasNews

No comments:

Post a Comment