Terkini

Saturday, 30 March 2019

Bagaimana menguruskan faraid


30 Mac 2019 (Utusan Online)

Oleh Ariffin Sabirin

Saya telah berkecimpung dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka ini lebih daripada 20 tahun. Apabila menyampaikan ilmu ini kepada masyarakat, banyak alasan yang saya temui untuk masyarakat mewajarkan kenapa mereka tidak memperdulikan tentang pengurusan harta mereka.

Yang paling popular ialah, “Kitakan ada hukum faraid, buat apa lagi nak fikir tentang pengurusan. Bila dah mati nanti faraid sahajalah. Buat apa nak melanggar hukum Tuhan,” katanya.

Tidak sedikit orang yang bercakap dengan saya sebegini. Maka, saya memang suka bertanya semula kepada orang begini, dia faham atau tidak apakah itu faraid dan kebanyakannya akan menjawab, yang ada dalam Al-Quran tu.
Saya pun tersenyum kerana terbukti orang yang berhujah begini sebenarnya tidak faham pun hukum, persyariatan, hikmah dan jauh sekali kiraan faraid itu sendiri.

Realiti faraid

Pembaca yang dihormati. faraid memang telah lengkap memperincikan hak setiap waris melalui ayat 11, 12 dan 176 Surah An-Nisa’. Ini semua orang Islam tahu (mungkin ada juga yang tak tahu!).

Dari segi hukum, harta pusaka (iaitu harta yang sah milik si mati ketika kematiannya) adalah hak waris-waris ini me­ngikut bahagian masing-­masing. Walaupun begitu boleh saja untuk waris-waris bermuafakat bagaimana harta pusaka ini diagihkan. Perbincangan tentang permuafakatan ini akan disentuh dalam siri yang lain.

Di dalam siri ini, saya ingin menyanggah pandangan ‘tak payah fikirlah, dah mati nanti faraid sahajalah’. Dari sudut hukum agihan pusaka pandangan ini tepat tetapi dari sudut realiti pengurusan harta pusaka di Malaysia, ia tersasar jauh.
Saya tidak menolak faraid kerana ia jelas. Saya hanya sekadar ingin bercerita sisi lain harta pusaka iaitu tentang pengurusannya.

Jika dilukis satu garisan de­ngan titik permulaannya ialah kematian seseorang dan titik pengakhirannya ialah agihan harta secara faraid, kita akan dapati faraid itu menunggu di akhir garisan penamat.
Di antara kematian seseorang sehingga hartanya diagih me­ngikut faraid, ada proses lain yang perlu berlaku. Jika proses ini tidak dilalui, maka tidak sampai kita di garisan penamat iaitu faraid.

Bila berlaku kematian, untuk urusan tuntutan pusaka, waris-waris perlu membuat keputusan siapakah di antara waris yang akan mengambil inisiatif sebagai pemohon.

Kumpul maklumat harta

Pemohon perlu bertanggungjawab mengumpul maklumat harta pusaka (akaun bank, tanah, geran kenderaan, akaun Tabung Haji dan lain-lain) dan hutang si mati, membuat ­ca­rian rasmi di pejabat tanah yang berkenaan, melengkapkan semua dokumentasi berkaitan dan akhirnya memfailkan permohonan bicara kuasa (bagi kes di Pejabat Pusaka Kecil iaitu untuk harta bernilai kurang daripada RM2 juta dan ada harta tak alih).
Semua urusan berkaitan agensi kerajaan atau swasta ini hanya boleh dibuat pada waktu hari bekerja. Maknanya pemohon ini perlu mengambil cuti dan perlu juga berbelanja untuk pergi ke sana ke mari.

Kebanyakan kita bila ibu bapa mati akibat sakit tua, anak-anak berumur di antara 20-an sehingga 50-an. Ketika umur ini, kita sibuk membina kerjaya. Ada anak-anak berjawatan ketua pegawai eksekutif, akauntan, arkitek, jurutera, doktor, pengarah urusan atau bekerja makan gaji.

Bolehkah meluangkan masa mengambil cuti semata-mata untuk menguruskan pusaka ayah dan ibu? Selagi proses yang saya ceritakan ini tidak dimulai, faraid tidak boleh terlaksana.
Faraid hanya akan menjadi formula agihan yang mengikat waris-waris dari segi undang-undang apabila telah diputuskan di dalam bicara kuasa di Pejabat Pusaka Kecil atau di peringkat Distribution ­Order di Mahkamah Tinggi Sivil (bagi harta pusaka bernilai melebihi RM2 juta).

Lantik wasi

Di sinilah pentingnya me­rancang. Wasi atau pentadbir harta pusaka yang dipercayai perlu kita lantik semasa kita hidup lagi supaya tidak timbul isu siapa yang nak mengambil inisiatif sebagai pemohon. Wasi ini boleh terdiri daripada individu yang dipercayai ataupun syarikat amanah profesional.

Dokumen milikan harta dan hutang juga perlu disimpan dengan cermat dan dimaklumkan kepada waris akan keberadaannya supaya mudah untuk wasi mengenalpasti harta dan hutang kita.

Biasa saya temui kes di mana waris langsung tidak tahu apa harta atau hutang yang dimiliki ibu bapanya. Bagaimana nak faraid kalau hartanya pun kita tidak tahu? Jadi nak fikir tentang pengurusan harta atau tidak sekarang?

Jika isu-isu pengurusan ini telah diselesaikan semasa kita masih hidup lagi, barulah harta pusaka kita dapat diwariskan dengan sempurna dan mudah kepada waris.
Waris yang menerima harta pusaka ini pula bolehlah me­rancang bagaimana harta pusaka ini digunakan untuk me­ningkatkan ekonomi diri mereka dan negara. Tentu me­nguntungkan untuk semua pihak, betul tak?

ARIFFIN SABIRIN adalah Pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad

No comments:

Post a Comment