Terkini

Wednesday, 3 June 2015

Bank Islam perkenal tiga akaun pelaburan baharu

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd memperkenalkan tiga produk akaun pelaburan baharu dikenali Akaun Pelaburan Khusus (SIA Mudarabah), Akaun Pelaburan Waheed (WIA Wakalah) dan Akaun Al-Awfar.

Pengenalan tiga produk baharu itu bagi memenuhi peraturan baharu di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) yang membezakan akaun pelaburan dan deposit. 

Ketua Pegawai Strategi Bank Islam/Ketua Pejabat Pengarah Urusan, Hizamuddin Jamalluddin, berkata SIA Mudarabah dan WIA Wakalah ditawarkan kepada pelanggan korporat, manakala Akaun Al-Awfar untuk pelanggan individu dan institusi runcit.

Katanya, SIA Mudarabah dan WIA Wakalah terletak di bawah Akaun Pelaburan Tidak Terhad (URIA) yang mana pemegang akaun pelaburan menyediakan bank mandat untuk membuat keputusan bagi pihaknya tanpa menyatakan sebarang had atau syarat tertentu.

 "Pelaburan minimum bagi SIA Mudarabah dan WIA Wakalah ialah RM500,000, manakala Akaun Al-Awfar ialah RM100," katanya pada taklimat media mengenai akaun pelaburan baharu itu di sini hari ini.

Hizamuddin berkata, bagi SIA Mudarabah dan WIA Wakalah, Bank Islam menggunakan portfolio pembiayaan selamat iaitu portfolio pembiayaan rumah yang mana mengurangkan tahap risiko.

Katanya, pulangan bagi kedua-dua produk pelaburan itu akan setimpal dengan profil risiko aset.

Secara umumnya, beliau berkata, Bank Islam menjangkakan kadar pulangan bagi produk pelaburan akan lebih tinggi berbanding produk deposit.

Bagi Akaun Al-Awfar, Hizamuddin berkata, produk itu sebelum ini adalah produk simpanan dan kini diberi nafas baharu dengan terma dan ciri baharu serta diklasifikasikan sebagai akaun pelaburan.

Katanya, keistimewaan produk itu ialah pemegang akaunnya mempunyai peluang untuk memenangi hadiah bulanan dan sukuan serta tunai bernilai RM1 juta.

Pemegang Akaun Al-Awfar juga akan terus menikmati manfaat kad debit seperti pengeluaran tanpa had berdasarkan baki dan boleh membuat pengeluaran di mana-mana mesin ATM atau ATM visa di seluruh negara.

"Ketika ini kami mempunyai 1.2 juta pemegang akaun Al-Awfar dengan dana bersaiz RM2 bilion," katanya.

Sementara itu, mengenai prospek pertumbuhan Bank Islam tahun ini, Hizamuddin berkata, pihaknya mengunjurkan pertumbuhan 15 peratus tahun ini, meskipun berdepan persekitaran yang mencabar dalam industri perbankan.

Beliau berkata, segmen runcit kekal sebagai penyumbang utama kepada Bank Islam tahun ini.

(BH Online / 01 Jun 2015)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment