Terkini

Tuesday 26 February 2008

Kewangan Islam tingkatkan penyertaan sektor ekonomi

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Malaysia telah membuktikan kewangan Islam bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan kewangan tetapi turut membolehkan lebih banyak sektor ekonomi menyertai sistem kewangan, demikian menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.


Pembabitan secara meluas kewangan pembiayaan Islam telah memberi manfaat khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pembiayaan mikro, kata Dr Zeti pada Simposium Kewangan Islam Nikkei 2008 yang berlangsung di Tokyo pada hujung minggu lepas.
"Ini telah menyaksikan sistem kewangan yang lebih pelbagai yang telah meningkatkan daya ketahanannya secara keseluruhan. Keduanya, ia turut meningkatkan hubungan antarabangsa," kata beliau.


Beliau berkata, kewangan Islam telah menjadi bidang pertumbuhan baru yang begitu rancak menjana pendapatan, kekayaan dan pekerjaan.


Selain itu, ia juga mempunyai peranan dari segi mengeratkan lagi hubungan kewangan dan proses integrasi kewangan serantau, tegas beliau.


Mengenai potensi penyertaan Jepun dalam kewangan Islam, Dr Zeti turut bercakap bagaimana institusi kewangan, pihak berkuasa dan perbadanan Jepun boleh mendapat faedah dan manfaat daripada kewangan Islam, terutamanya dalam pasaran-pasaran modal Islam.


Menyedari akan hubungan dagangan dan pelaburan kukuh Jepun di rantau Asia dan Malaysia khususnya, beliau berkata kewangan Islam boleh mengukuhkan lagi hubungan kewangan yang berkaitan.


Infrastruktur untuk hubungan telah pun tersedia ada seperti memorandum persefahaman BNM dengan Japan Bank for International Cooperation dan pakatan strategik antara salah sebuah kumpulan insurans terbesar Jepun dengan syarikat insurans di Malaysia yang menyaksikan penubuhan sebuah syarikat takaful.


"Mengukuhkan lagi rantaian baru dalam hubungan ini dan prospek bagi integrasi yang lebih hebat akan menyumbang ke arah merungkai peluang-peluang berpotensi bagi kemakmuran bersama rantau ini.


"Usaha-usaha juga boleh ditumpukan kepada mempermudahkan penyenaraian bersilang sukuk (bon-bon Islam) dalam pelbagai bidang kuasa. Jepun juga boleh menggunakan Malaysia sebagai wadah untuk inovasi dan penyelidikan dalam kewangan Islam.


"Oleh itu, adalah diharapkan yang penyertaan Jepun dalam pasaran-pasaran kewangan Islam boleh menyumbang ke arah integrasi kewangan antarabangsa seterusnya dan sekaligus mencapai peruntukan sumber sempadan bersilang yang lebih cekap dan berkesan," katanya.
- Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


No comments:

Post a Comment