Terkini

Tuesday 19 February 2008

Wakaf Tunai : Pendekatan Terbaik Untuk Mewakafkan Harta Masa Kini

Oleh Muhammad Hisyam Bin Mohamad

Dr. Murat Cizakca di dalam tulisannya yang bertajuk A History of Philantrophic Foundations: The Islamic World From The Seventh Century to The Present menyatakan bahawa semasa zaman pemerintahan Ottmaniah di Turki dahulu, amalan wakaf tunai telah berjaya meringankan perbelanjaan kerajaan dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan sebagainya kepada masyarakat.
Pada masa tersebut, sumbangan sukarela yang diterima daripada mereka yang bermurah hati disalurkan untuk membiayai pelbagai bentuk perancangan yang memberi manfaat kepada masyarakat umum.Menurut beliau, secara logiknya, amalan wakaf tunai jika diamalkan pada masa sekarang ia sepatutnya juga mampu memainkan peranan yang sama sebagaimana yang berlaku pada zaman Ottmaniah dan membantu menzahirkan matlamat makroekonomi moden iaitu untuk menurunkan perbelanjaan kerajaan, mengecilkan defisit belanjawan negara dan seterusnya mengurangkan pergantungan kerajaan kepada instrumen hutang atau pinjaman sebagai sumber pembiayaan projek pembangunan.
Apa yang lebih penting daripada itu ialah, jika ekonomi moden mampu untuk meniru pendekatan wakaf tunai Ottmaniah ini, ia mampu untuk mencapai satu lagi matlamat makroekonomi iaitu agihan pendapatan yang saksama dan menurunkan fungsi percukaian daripada menjadi punca utama kepada sumber pendapatan negara kepada satu tahap percukaian yang kurang begitu membebankan kepada masyarakat.
Wakaf sebagaimana yang diketahui umum, adalah satu bentuk kebajikan yang unik yang terdapat di dalam ajaran Islam kerana ia merupakan satu bentuk ibadat yang menggabungkan aspek kerohanian dan kebendaan. Lebih istimewa lagi orang yang mewakafkan hartanya akan memperolehi pahala yang berterusan walaupun selepas ia meninggal dunia selagi mana harta yang diwakafkan tadi memberi manfaat kepada masyarakat umum.
Dari segi aspek sosio ekonomi, sepertimana yang dijelaskan di awal makalah ini, instrumen wakaf sebenarnya mempunyai peranan yang besar dalam membantu pihak kerajaan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang penting seperti pendidikan, kesihatan, perbandaran dan sebagainya kepada masyarakat.
Akan tetapi di Malaysia, instrumen wakaf dilihat sebagai satu bentuk kebajikan di mana ia dilakukan bagi tujuan untuk mendapatkan pahala semata-mata dan ia sering disinonimkan dengan wakaf berbentuk harta tak alih seperti wakaf tanah.
Oleh kerana keterbatasan persepsi yang ada maka harta yang diwakafkan itu ada kalanya tidak memberi manfaat sepertimana yang diharapkan. Ini dapat diperhatikan melalui kes-kes tanah wakaf yang terbiar yang tidak dapat dibangunkan atas sebab-sebab ia tidak ekonomik (kerana saiz tanah yang kecil), lokasi yang tidak strategik dan tidak mempunyai potensi untuk dimajukan. Selain itu, masalah untuk mendapatkan sumber pembiayaan juga dikenalpasti sebagai punca mengapa banyak tanah-tanah wakaf yang terbiar di seluruh negara.
Akan tetapi jika kita berjaya mengubah persepsi masyarakat bahawa amalan wakaf tidak seharusnya terhad kepada harta yang kekal sahaja, malah ia juga boleh dibuat dalam bentuk harta boleh ubah seperti wang tunai, maka masalah yang berkaitan dengan kegagalan fungsi wakaf berperanan dalam memajukan sosioekonomi ummah dapat diatasi.
Selain itu, wang tunai lebih mudah diuruskan berbanding harta tetap seperti tanah dan sebagainya. Bentuk fizikalnya yang mudah alih memungkinkan fungsinya dipelbagaikan. Selain boleh digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan, ia juga boleh dikembangkan lagi melalui instrumen-instrumen pelaburan yang diharuskan syarak. Pulangan daripada pelaburan tadi kemudiannya boleh digunakan untuk projek-projek berkepentingan umum.
Inilah juga sebenarnya antara pendekatan yang digunakan oleh badan-badan kebajikan yang diasaskan di Barat seperti Carnegie Corporation, Rockefeller Foundation mahupun Bill and Melinda Gates Foundation. The Carnegie Corporation sebagai contoh bermula dengan sumbangan derma sebanyak US135 juta oleh jutawan Andrew Carnegie pada 1911. Sekarang aset yayasan ini bernilai lebih kurang US2.5 billion dan setiap tahun ia menyumbang kira-kira US60 juta untuk bidang pendidikan di serata dunia.
Di Malaysia dewasa ini, pendekatan wakaf tunai sudah mula diamalkan oleh beberapa buah majlis agama Islam negeri dan juga syarikat swasta. Apa yang dilaksanakan oleh beberapa buah majlis agama islam negeri (MAIN) seperti di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ialah satu bentuk wakaf tunai yang dikenali sebagai skim saham wakaf.
Melalui konsep skim saham wakaf ini, MAIN akan bertindak sebagai pemegang amanah dan peserta perlu membeli saham-saham wakaf tadi dan kemudian mewakafkannya. Wang sumbangan jualan saham tadi akan dikumpulkan di bawah satu dana khas dan akan disalurkan kepada program-program berbentuk ekonomi, pendidikan, sosial dan am bergantung kepada pilihan yang dibuat oleh peserta tadi.
Walaupun secara amnya skim saham wakaf ini juga merupakan satu bentuk wakaf tunai, tetapi ia dibataskan kepada projek-projek tertentu sahaja dan wang tadi tidak dikembangkan secara terus melalui instrumen-instrumen pelaburan moden. Ini mungkin disebabkan kekurangan kepakaran mahupun kekurangan dari segi sumber dana yang terkumpul.
Bagaimanapun bagi syarikat-syarikat besar masalah dana untuk diwakafkan tentu tidak menjadi satu halangan. Cumanya ia memerlukan kepada kesanggupan pemiliknya untuk menyumbang ke arah kebaikan sejagat. Salah satu institusi korporat yang telah menunjukkan kesanggupannya ialah Johor Corporation Berhad (JCorp). JCorp telah mewakafkan saham-saham miliknya di dalam tiga buah anak syarikatnya yang tersenarai iaitu Kulim (Malaysia) Bhd., KPJ Healthcare Bhd. dan Johor Land Bhd dengan nilai aset bersih berjumlah RM200 juta di bawah kelolaan Kumpulan Waqaf Annur Bhd. Perolehan dividen daripada saham-saham ini akan diagih-agihkan untuk dilaburkan semula, diberikan kepada Majlis Agama Islam dan juga untuk kerja-kerja amal dan kebajikan umat Islam negara ini.
Cumanya sekarang, langkah untuk memasyhurkan pendekatan wakaf tunai dikalangan masyarakat dan syarikat korporat milik orang Islam perlu dipergiatkan. Wakaf tunai sebenarnya lebih senang untuk dilaksanakan berbanding wakaf harta tak alih seperti wakaf tanah. Sesiapa saja yang mempunyai wang- walaupun tidak banyak- boleh berjariah menerusi pendekatan ini. Berbanding wakaf harta tak alih yang sukar untuk dipelbagaikan manfaatnya, ciri mudah cair yang ada pada wang tunai memungkinkan ia disalurkan untuk pelbagai tujuan kebajikan dengan lebih senang dan berkesan. Selain itu juga penerimaan meluas daripada masyarakat terhadap wakaf tunai juga dilihat dapat menyelesaikan masalah kekurangan sumber pembiayaan kepada pembangunan tanah-tanah wakaf terbiar yang berselerak di seluruh negara. Paling tidak, daripada dibiarkan berterusan terbiar tanpa memberi manfaat kepada masyarakat dan juga sipewakaf, mungkin tanah-tanah wakaf terbiar perlu dicairkan dan wang diperolehi dimasukkan ke dalam dana wakaf tunai. Ini lebih berfaedah dan bermanfaat untuk ummah.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment