Terkini

Friday 29 February 2008

Saiz pasaran modal Malaysia meningkat lapan kali ganda RM1.7 trilion

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Saiz pasaran modal Malaysia telah merekodkan peningkatan lapan kali ganda kepada RM1.7 trilion dalam tempoh 18 tahun, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Zarinah Omar hari ini.
Beliau berkata, pencapaian memberangsang itu dicapai hasil inisiatif kerajaan melaksanakan reformasi pembangunan pasaran serta penguatkuasaan pasaran bagi meningkatkan kecekapannya.
“Kerancakan pasaran sekunder yang dikendalikan oleh Bursa Malaysia Bhd. telah merangsang peningkatan halaju jumlah dagangan daripada sebanyak 36 peratus pada tahun 2006 kepada 58 peratus pada tahun 2007.
“Jumlah modal pusingan bagi pasaran derivatif pula meningkat sebanyak 49 peratus pada tahun 2007,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pasaran Modal Serantau Tahunan Kedua, di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim.
Menurut Zarinah, tahun lalu juga telah menyaksikan perkembangan memberangsangkan di pasaran bon tempatan.
“Pasaran bon Malaysia merupakan pasaran keempat terbesar di Asia.
“Tahun lalu sahaja, SC telah meluluskan sejumlah RM160.3 bilion terbitan bon berasaskan Ringgit, meningkat kira-kira dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya,” tambah beliau.
Katanya, Malaysia juga telah berjaya menjadi pusat global bagi pasaran modal Islam dengan keupayaan menerbitkan sukuk korporat terbesar di dunia.
“Kedudukan Malaysia sebagai pusat pasaran modal Islam dibuktikan dengan kejayaan menerbitkan sukuk terbesar iaitu sebanyak RM15.4 bilion oleh Binariang dan pelancaran Dana Dagangan Bursa (ETF) Islam terbesar oleh i-Valuecap Management.
“Pasaran saham amanah tempatan juga muncul sebagai pasaran saham amanah terbesar di kalangan negara ASEAN dengan pertumbuhan sebanyak 39 peratus pada tahun 2007 dan kini terdapat lebih daripada 500 dana saham amanah dengan nilai aset bersih (NAB) mencecah RM169 bilion,” katanya.
Menurut Zarinah, sebagai penguatkuasa pasaran modal, SC akan sentiasa memastikan hak pelabur sentiasa dilindungi dan menangani masalah salah laku korporat serta penyalahgunaan pasaran.
“Malaysia kini semakin mendapat pengiktirafan atas usaha-usahanya membendung pelanggaran undang-undang sekuriti dan penguatkuasaan rejim perlindungan pelabur di peringkat global.
“Kita boleh berbangga apabila Malaysia telah disenaraikan di tangga keempat daripada segi perlindungan pelabur di peringkat global selama dua tahun berturut oleh Bank Dunia,” katanya.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


No comments:

Post a Comment