Terkini

Friday 8 February 2008

Ucapan Tan Sri Dato' Jaffar Bin Hussein - "Sistem Kewangan Islam Dalam Dekad 1990-an" - USM (1990)

Berikut adalah teks penuh ucapan Allahyarham Tan Sri Dato' Jaffar Bin Hussein, bekas Governor Bank Negara Malaysia di USM pada Pada 9 Mac 1990, jam 8:30 malam di Dewan Tuanku Syed Putra Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang. Ucapan penting ini adalah dianggap penggerak utama kepada perkembangan industri kewangan Islam di Malaysia di mana selepas itu Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) pada tahun 1993 dan kemudiannya dikenali sebagai Skim Perbankan Islam (SPI).

"Tuan-tuan mungkin ingat ucapan Dr. Martin Luther King yang bertajuk I have a dream. Seperti Martin Luther King, saya juga mempunyai satu impian. Impian saya ialah satu hari nanti Malaysia akan mempunyai dua sistem kewangan yang sempurna, iaitu sistem kewangan konvensional dan sistem kewangan Islam. Dan rakyat Malaysia, khasnya yang bukan beragama Islam, memilih sistem kewangan Islam, untuk urusan kewangan mereka. Itulah impian saya."


TEKS PENUH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya berasa amat gembira kerana dapat bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan pada malam yang permai ini dan berasa terharu kerana diberi penghormatan untuk menyampaikan syarahan dalam Siri Syarahan Umum Universiti Sains Malaysia.
Biarlah saya jelaskan terlebih dahulu faktor yang mendorong saya memilih Sistem Kewangan Islam Dalam Dekad 1990-an sebagai tajuk syarahan saya pada malam ini. Sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia, saya sewajarnyalah menyampaikan, dalam syarahan ini, sesuatu yang berkaitan dengan bidang kewangan dan urusan bank. Tetapi, seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, tajuk kewangan dan urusan bank konvensional selalu diperkatakan, dianalisis, dikaji dan dibincangkan dalam berbagai-bagai forum oleh berbagai-bagai pihak. Oleh yang demikian, saya berpendapat eloklah saya memilih tajuk yang juga berhubungan dengan sistem kewangan dan urusan bank, tetapi dalam konteks dan dari perspektif yang berlainan sedikit, iaitu dalam konteks dan dari perspektif Islam.
Sistem kewangan Islam ialah bidang yang sungguh menarik dibincangkan, kerana ia merupakan realiti yang baru yang dipraktikkan semula, iaitu sejak dekad 1970-an, tetapi sayugia diambil ingatan bahawa falsafah dan prinsip sistem kewangan Islam telah pun digariskan dalam al-Quran dan Sunah Rasulullah s.a.w. lebih daripada 1,400 tahun yang lalu.
Saya sedar tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada malam ini terdiri daripada yang beragama Islam dan juga yang bukan beragama Islam. Saya berpendapat tidaklah janggal kita berbicara tentang sistem kewangan Islam dalam satu forum yang disertai oleh hadirin yang berbilangan kaum dan agama, kerana sistem kewangan Islam bukanlah khusus untuk masyarakat Islam sahaja. Sebenarnya seluruh masyarakat Malaysia, walau apa pun latar belakang agama mereka, harus mendapat manfaat daripada sistem kewangan Islam. Sebagai bukti, semakin ramai golongan bukan Islam kini yang berurus niaga dengan Bank Islam Malaysia atas pertimbangan faktor- faktor kos dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Hasrat kita dalam dekad 1990-an seharusnya mewujudkan satu sistem kewangan Islam yang sempurna yang bergerak selari dengan sistem kewangan konvensional. Saya ingin menegaskan bahawa adalah tidak wajar kita bercita-cita, buat masa ini, hendak mengganti keseluruhan sistem konvensional yang ada di Malaysia dengan sistem kewangan Islam. Pelaksanaan sistem kewangan Islam patut dilakukan secara beransur-ansur dan berperingkat-peringkat, umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Ini adalah penting, memandang bahawa Malaysia mempunyai penduduk yang terdiri dari penganut berbagai-bagai agama. Kita mesti mengambil kira perasaan dan sensitiviti masyarakat bukan Islam di Malaysia. Walau bagaimanapun, sayugia disebut bahawa masyarakat bukan Islam harus diyakinkan tentang kelebihan dan kekuatan sistem kewangan Islam dibandingkan dengan sistem konvensional.
Rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam tidak seharusnya bimbang atau risau akan pelaksanaan sistem kewangan Islam di Malaysia. Sebaliknya, mereka patut mengambil kira faedah dan manfaat kewujudan institusi-institusi kewangan Islam dan mencuba memahami konsep-konsep kewangan Islam seperti mudharabah, musyarakah, murabahah atau bai' bithaman ajil. Konsep-konsep ini tidak sukar difahami dan amat mudah dipraktikkan, malah kadang kala lebih mudah daripada konsep-konsep kewangan konven-sional. Institusi-institusi kewangan Islam, termasuk Bank Islam Malaysia, hendaklah mengambil inisiatif untuk menerangkan konsep-konsep kewangan Islam kepada masyarakat bukan lslam supaya lebih erat terjalin persefahaman kita sesama kita.
Saya ingin membahagikan syarahan saya kepada beberapa aspek, iaitu yang berikut:
(i)
Sistem kewangan Islam yang lahir dalam konteks kesemarakan kebangkitan semula Islam ataupun the revival of Islam;
(ii)
Perbezaan asas antara sistem kewangan konvensional dengan sistem kewangan Islam;
(iii)
Cara sistem kewangan Islam di Malaysia dapat diperbaiki, diolah dan dimajukan dalam dekad 1990-an;
(iv)
Suasana yang diperlukan bagi kejayaan sistem kewangan Islam di Malaysia; dan
(v)
Arah sistem kewangan Islam dalam arena antarabangsa dalam dekad 1990-an.
Apabila kita mencuba menyentuh suatu tajuk yang menyentuh Islam masa kini, kita semestinya mengaitkannya dengan kebangkitan semula Islam. Konsep kebangkitan semula Islam membawa kita ke abad-abad permulaan Islam - abad-abad gemilang dengan keagungan kehidupan duniawi dan maknawi, ketika penaklukan dan keilmuan Islam mencapai tahap yang tiada tolok bandingnya. Umat Islam pada zaman itu melangkah dengan gagahnya ke setiap pelosok bumi dengan membawa tamadun kecemerlangan Islam. Empayar Parsi dan sebahagian besar empayar Rom jatuh ke tangan mereka.
Perkembangan Islam yang pesat pada waktu itu membawa satu order baru untuk dunia yang menjangkau dari pergunungan Pyrennees di Eropah hingga pergunungan Himalaya di benua kecil India. Islam telah melahirkan satu empayar yang lebih besar daripada empayar Rom pada zaman keagungannya. Ini disusuli pula oleh penguasaan politik berserta dengan kemakmuran yang melimpah ruah dalam bidang sosial dan budaya. Keagungan Islam pada zaman itu meliputi seluruh aspek kehidupan. Selain mencapai kejayaan dan kemajuan dalam bidang politik dan ekonomi, umat Islam turut mengembangkan seni sastera dan ilmu sains ke dalam setiap ruang kehidupan. Tentera-tentera Islam memenangi peperangan demi peperangan, segala syariat Islam dipatuhi, surat kreditnya diiktiraf, seni binanya hebat, syairnya pula amat indah dan puitis, para ilmuannya bijaksana dan teknologinya mantap.
Di semua daerah yang ditaklukinya, dari Baghdad, Lembah Sungai Nil dan Tigris-Euphrates, Afrika Utara dan Sepanyol ke Asia Tengah dan India, Islam bukan sahaja membawa kemakmuran semata-mata, tetapi membawa bersamanya kejayaan yang asli dan membina.
Sesuatu tamadun lahir daripada inspirasi yang berasaskan gagasan-gagasan pemikiran. Inspirasi dan sumber tamadun Islam amatlah jelas. Ia dibina di atas tapak yang kukuh, iaitu al-Quran dan Sunah Nabi Muhammad s.a.w. Kandungan dan fitrah sumber-sumber agung ini telah melahirkan garis panduan yang sempurna kepada tindakan, tafsiran, kefahaman dan hujah, yang semuanya menyebabkan Islam diterima sebagai satu tamadun ilmu. Dari sinilah pemikiran-pemikiran kritikal, yang sentiasa mencari jawapan-jawapan kepada setiap masalah, bercambah dengan segarnya. Pemikiran inilah yang kemudiannya menetapkan hukum demi hukum untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa dengan cara yang bijaksana dan adil.
Kejayaan ini berteraskan akidah. Kegemilangan umat Islam harus dikaji dari aspek keimanan yang tinggi kepada akidah Islam. Mereka bukan sahaja mencapai kemenangan di medan perang dan kebahagiaan pada masa aman, tetapi juga berjaya mengintegrasikan kehidupan Islam dalam masyarakat dunia kepada satu tamadun Islam. Pelbagai unsur menghasilkan kemunculan tamadun Islam - unsur- unsur budaya Arab, Helleni, Semitic dan budaya tradisi Timur dan Sasani, Iran dan India. Kehebatan umat Islam berpunca daripada kebijaksanaan mereka mengadun dan menyesuaikan segala unsur ini kepada satu bentuk kehidupan yang sama dan menyerapkan unsur-unsur ini kepada perkara-perkara baru. Islam jugalah yang memulakan proses integrasi dan pada masa yang sama memberikan dorongan dan penghayatan untuk mengekalkannya. Dan corak Islam jugalah yang memberikan rasa kesatuan dan kekuatan daya hidup kepada masyarakat.
Pemusatan kepada kehidupan Islam yang lengkap sebagaimana yang disebut tadi ialah syariat Islam. Syariat ini mengatur segala urusan hidup manusia dari ibadah sembahyang hinggalah hak-hak harta. Ia menyatukan juga setiap individu Muslim kerana setiap detik kehidupannya telah diatur untuk membentuknya menjadi insan yang tunduk kepada Penciptanya melalui corak yang suci ini. Melihat sejarah Islam yang gemilang, kita kadang kala hampir-hampir tidak percaya akan keadaan masyarakat Islam hari ini.
Apakah tujuan saya menoleh ke belakang ke abad-abad permulaan Islam? Tujuan saya bukanlah hendak membuat kita merasa lapang dada bahawa Islam pernah menjadi kuasa besar dunia dan umatnya pernah menjadi umat yang amat dihormati dan disegani. Tujuan saya ialah hendak memastikan bahawa dalam perbicaraan kita tentang pelaksanaan prinsip-prinsip Islam, sama ada dalam bidang kewangan ataupun bidang-bidang lain, kita tahu akan tujuannya, kita sedar akan destinasinya, kita faham bahawa dengan berusaha bersungguh-sungguh dan mencontohi perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya, serta dengan berkat Ilahi, kita boleh sekali lagi menjangkau kecemerlangan generasi pertama Islam, yang digelar oleh Sayyid Qutb sebagai Generasi al-Quran yang unik, Insya-Allah.
Untuk menyambung syarahan saya pada malam ini, saya beralih kepada aspek yang kedua. Saya ingin memberikan gambaran, secara ringkas, tentang perbezaan antara sistem kewangan konvensional dengan sistem kewangan Islam. Perbezaan antara dua sistem ini bertitik tolak dari sudut falsafah dan etika. Sistem kewangan Islam wujud berasaskan prinsip-prinsip dan falsafah Islam kerana sistem kewangan Islam ialah juga sebahagian Islam itu sendiri. Dikotomi Barat: Give unto Caesar what is Caesar's, and give unto God what is God's dilarang dalam Islam. Sistem kewangan konvensional, yang berasaskan kapitalisme, memisahkan agama dan urusan-urusan kehidupan yang lain. Sistem kewangan konvensional menegaskan kebebasan mutlak seseorang. Sistem ini menggalakkan supaya keputusan kewangan dibuat hanya berasaskan bottom line considerations. Setiap orang ialah tuan punya hartanya, berhak sepenuhnya atas hasil daripada harta tersebut dan berhak pula membuat sesuka hatinya atas harta dan hasil itu. Prinsip ini berkisar atas dasar keuntungan peribadi sebagai syarat. Sebaliknya, dalam sistem kewangan Islam, seperti yang kita sedia maklum, manusia dianggap sebagai wakil Allah di bumi, dan sebarang harta yang dimiliki oleh manusia hanya merupakan amanah semata-mata dan bukannya milik yang mutlak. Oleh yang demikian, kebebasan menjalankan urus niaga dalam sistem kewangan Islam tidak boleh berasaskan bottom line considerations semata-mata. Keputusan-keputusan kewangan yang dibuat oleh seseorang individu atau syarikat dalam sistem kewangan Islam semestinya berlandaskan panduan yang ditentukan oleh agama Islam, bukannya kepentingan diri sendiri semata-mata. Islam memang tidak melarang kita mencari keuntungan, asalkan tidak mengetepikan kepentingan masyarakat dan negara.
Saya ingin meneruskan syarahan pada malam ini dengan mengimbas kembali institusi-institusi kewangan Islam dan alat-alat kewangan Islam yang sedia ada di Malaysia. Kita mempunyai beberapa institusi kewangan Islam seperti Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Bank Islam Malaysia, Syarikat Takaful serta alat niaga kewangan Islam, seperti Sijil Pelaburan Kerajaan, sekadar memberikan beberapa contoh.
Institusi kewangan Islam pertama yang diwujudkan di Malaysia ialah Lembaga Urusan dan Tabung Haji, yang ditubuhkan pada tahun 1969 untuk menabungkan wang simpanan masyarakat Islam yang ingin menunaikan haji. Segala urusan tabungan daripada hasil simpanan ahli-ahlinya ditadbirkan mengikut hukum-hukum Syariah. Peranan Tabung Haji semakin meningkat, khususnya dalam mempelbagaikan aktivitinya ke arah pelaburan yang dapat menghasilkan pendapatan dan keuntungan. Ini ialah satu langkah yang bijak. Tabung Haji dan anak-anak syarikatnya kini melibatkan diri dalam sektor perusahaan, perladangan, harta benda, pembangunan, kewangan dan saham korporat. Sebagai hasil pelaburan ini, Tabung Haji telah berjaya memberikan pulangan dengan kadar yang memuaskan kepada ahli-ahlinya.
Kejayaan Tabung Haji sesungguhnya telah membuktikan bahawa urus niaga yang berasaskan prinsip-prinsip Islam dapat mencapai kejayaan yang setanding dengan, atau lebih baik daripada yang dicapai oleh syarikat-syarikat yang berurus niaga atas prinsip-prinsip kewangan konvensional.
Penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad pada tahun 1983 menandakan permulaan satu era baru di Malaysia, dengan kelahiran sebuah bank yang beroperasi atas prinsip kewangan Islam. Kerajaan telah meluluskan Akta Urusan Bank Islam 1983 bagi membolehkan Bank Islam Malaysia ditubuhkan dan menjalankan segala aktiviti-aktivitinya berlandaskan Syariah. Dengan penubuhan sebuah bank Islam, masyarakat Malaysia, termasuk masyarakat bukan Islam, dapat menentukan sama ada sistem kewangan Islam itu benar-benar praktikal dan dapat memenuhi kehendak zaman. Masyarakat Malaysia kini telah menerimanya sebagai satu alternatif kepada sistem urusan bank konvensional. Sungguhpun penubuhan Bank Islam Malaysia adalah atas aspirasi umat Islam di negara ini, peranan Bank Islam Malaysia bukanlah untuk kepentingan umat Islam sahaja. Peranannya merangkumi skop yang lebih luas daripada itu. Kewujudan Bank Islam Malaysia adalah untuk memberikan pilihan kepada semua rakyat Malaysia dalam memilih sistem yang dapat memenuhi keperluan mereka dari segi agama, kos dan perkhidmatan yang disediakan.
Setakat ini, Bank Islam telah menubuhkan 25 cawangan. Jumlah aset bank Islam juga telah meningkat menjadi RM1,400 juta dalam jangka waktu yang singkat. Urusan bank Islam, khasnya dalam pembiayaan perdagangan, kini meliputi pelanggan korporat dan organisasi-organisasi antarabangsa. Kebanyakan organisasi korporat dan antarabangsa ini dikendali oleh orang-orang yang bukan beragama Islam. Ini adalah sangat mengkagumkan dan membanggakan, kerana ini membuktikan bahawa, dari segi kos dan perkhidmatan yang disediakan, Bank Islam Malaysia dapat bersaing dengan bank-bank konvensional.
Syarikat Takaful Malaysia, sebuah anak syarikat Bank Islam, memulakan operasinya pada tahun 1985 sebagai syarikat insurans Islam yang pertama di Malaysia. Syarikat Takaful kini semakin kukuh setelah beroperasi selama tiga tahun dan mempunyai tujuh cawangan dan 21 Meja Takaful di cawangan-cawangan Bank Islam Malaysia di seluruh negara. Syarikat Takaful menjalankan aktivitinya mengikut prinsip Takaful dan Mudharabah. Takaful merujuk kepada satu kumpulan peserta yang saling jamin-menjamin antara satu dengan lain, manakala Mudharabah pula ialah kontrak perniagaan yang melibatkan perjanjian perkongsian untung antara peserta dengan pengusaha Takaful. Perbezaan antara Syarikat Takaful dengan syarikat insurans konvensional adalah dari segi pelaburan dan dari segi konsep penjaminan. urus niaga Takaful bukanlah Syarikat Takaful tetapi peserta-peserta itu sendiri. Segala bayaran tuntutan dikeluarkan daripada tabung yang telah terkumpul, sedangkan Syarikat Takaful berfungsi hanya sebagai pengusaha tabung wang peserta-peserta Takaful. Konsep ini berbeza daripada konsep insurans konvensional kerana syarikat insurans itu sendiri yang menjamin peserta-peserta insurans.
Sebuah lagi institusi kewangan Islam ialah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM), yang mengurus sumbangan amal jariah. Yang menarik perhatian saya tentang YPEIM ialah penglibatan institusi ini, bersama-sama dengan tiga badan lain, iaitu Agensi Pembangunan Serantau Pusat Pembangunan Asia dan Pasifik (APDC), Unit Perancang dan Pembangunan Negeri Selangor Darul Ehsan dan Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia, dalam satu projek yang dinamai Projek Ikhtiar. Saya difahamkan bahawa Projek Ikhtiar diurus mengikut konsep qard-ul hassan atau pinjaman kebajikan. Melalui projek ini sebanyak RM420,000 telah dikeluarkan kepada 448 isi rumah miskin di Selangor yang purata pendapatan bulanannya sebelum Projek Ikhtiar dilaksanakan ialah RM173. Selepas pinjaman diberikan melalui Projek Ikhtiar, pendapatan bulanan para peminjam telah meningkat sebanyak 42 peratus menjadi RM246 sebulan. Pulangan kepada modal pinjaman pula melebihi 90 peratus dalam skim ini.
Projek Ikhtiar membuktikan bahawa kemiskinan di negara ini dapat dikurangkan mengikut konsep kewangan Islam. Rakyat miskin juga mempunyai semangat dan kemahuan yang kental untuk membawa keluarga mereka keluar daripada kancah kemiskinan ke dataran keselesaan. Yang diingini mereka ialah mendapat kesempatan, dorongan dan sedikit bantuan. Peranan YPEIM dalam bidang ini haruslah diteruskan hingga meliputi seluruh masyarakat, selaras dengan konsepnya hendak meningkatkan pembangunan ekonomi rakyat. Di sinilah letaknya keindahan cara hidup yang dianjurkan oleh Islam, yang meletakkan keadilan sosioekonomi sebagai salah satu keutamaan dalam pembangunan masyarakat.
Dalam dekad 1980-an juga telah muncul beberapa koperasi yang berlandaskan prinsip Islam. Koperasi-koperasi ini menjalankan urusannya mengikut prinsip-prinsip kewangan Islam, seperti wadiah, mudharabah, murabahah, bai' bithaman ajil dan qard-ul-hassan. Walaupun koperasi-koperasi ini kecil, tetapi, setahu saya, tidak ada sebarang penyelewengan pengurusan yang berlaku di dalamnya.
Sejajar dengan wujudnya Akta Bank Islam 1983, Kerajaan telah meluluskan Akta Pelaburan Kerajaan bagi membolehkan Kerajaan menerbitkan bon berdasarkan prinsip qard-ul-hassan. Bon ini, yang dinamai Sijil Pelaburan Kerajaan, membolehkan Bank Islam Malaysia mematuhi ketetapan undang-undang berkaitan dengan pemegang aset-aset mudahtunai, dan menyediakan satu cara pelaburan secara Islam. Malaysia ialah negara pertama di dunia yang mengeluarkan bon Kerajaan berasaskan prinsip-prinsip Islam dan konsep ini telah menarik minat beberapa buah negara lain yang ingin memperkenal-kannya dalam kewangan mereka.
Malaysia jugalah negara pertama di dunia yang melaksanakan prinsip-prinsip Islam dalam perdagangan antarabangsa. Ini kita laksanakan dalam dagangan kita dengan negara Iran. Untuk maksud tersebut, satu konsortium bank tempatan telah dibentuk dan Bank Islam dilantik sebagai ejen untuk membiayai eksport ke negara Iran atas prinsip Murabahah. Ketika Iran dalam kesusahan berikutan dengan perang Iran-Iraq yang memuncak pada tahun 1988, banyak negara lain tidak terfikir pun hendak menjalinkan hubungan dengan Iran. Sebaliknya, Menteri Kewangan kita, Y.B. Dato' Paduka Daim Zainuddin, telah pergi ke Iran pada waktu itu untuk berunding tentang usaha meningkatkan dagangan antara Malaysia dengan Iran. Ini disusuli oleh pegawai-pegawai Bank Negara kita yang telah pergi ke Iran untuk berunding dengan pegawai-pegawai Bank Pusat Iran. Rundingan terpaksa diadakan di tingkat bawah tanah tingkat bawah tanah bangunan Bank Pusat Iran untuk mengelakkan peluru berpandu yang bersimpang-siur di Tehran pada waktu itu! Saya telah diberitahu bahawa Kerajaan Iran sungguh terharu dengan langkah Malaysia menjalinkan hubungan ekonomi ketika negaranya dalam kesusahan dan dengan usaha Malaysia ingin menjalinkan hubungan dagangan atas prinsip Islam. Hasilnya ialah dagangan dua-hala antara Iran dengan Malaysia kini semakin meningkat.
Kini kita mempunyai Tabung Haji, sebuah bank Islam, sebuah syarikat insurans Islam, beberapa koperasi Islam dan YPEIM, serta alat-niaga kewangan Islam, seperti Sijil Pelaburan Kerajaan. Tetapi elemen-elemen ini, apabila digabungkan, masih belum mencukupi untuk ditakrifkan sebagai satu sistem. Masih banyak lagi ruang yang patut diisi. Inilah yang sepatutnya menjadi tugas kita dalam dekad 1990-an, iaitu mewujudkan institusi-institusi kewangan Islam yang baru dan juga alat-alat urus niaga Islam yang baru. Dekad 1990-an patutlah dijadikan sebagai dekad pelengkap. Sebelum akhir dekad 1990-an, kita patut mempunyai satu sistem kewangan Islam yang merangkumi semua aspek aktiviti kewangan.
Semua kita penganut agama Islam beriman atau percaya bahawa Islam ialah agama yang sempurna yang telah diwahyukan oleh Allah s.w.t. kepada umat manusia melalui Rasul-Nya. Kesempurnaan agama Islam bermakna bahawa Islam mempunyai norma-norma dan peraturan-peraturan untuk dipatuhi dan diamalkan oleh penganut- penganutnya dalam semua lapangan kehidupan dan aktiviti ekonomi yang amat penting dalam kehidupan manusia, khususnya dalam suasana ekonomi moden, seperti yang wujud sekarang dan yang demikian, jika sekiranya Islam sebenar-benarnya satu agama yang sempurna, tentulah Islam mempunyai norma-norma dan peraturan- peraturan yang tersendiri yang praktikal dan pragmatik untuk dipatuhi dan diamalkan oleh penganut-penganutnya dalan sistem kewangan. Saya berpendapat di sinilah letaknya cabaran kita sebagai umat Islam dalam dekad 1990-an.
Dalam usaha kita untuk memajukan sistem kewangan Islam di Malaysia dalam dekad 1990-an, kita seharusnya mengambil pengajaran daripada kelemahan kita dalam dekad-dekad 1970-an dan 1980-an. Salah satu kelemahan yang dialami ialah pegangan yang silap yang saya anggap sebagai the fallacy of misplaced emphasis. Biar saya terangkan kelemahan ini. Seperti yang sedia kita maklumi, pembiayaan kewangan boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu pembiayaan ekuiti (equity-financing) dan pembiayaan hutang (debt-financing). Kedua-dua bentuk pembiayaan ini adalah sama-sama perlu bagi menggemblengkan sesuatu sistem kewangan. Dalam sistem kewangan konvensional yang kita amalkan sekarang, pembiayaan ekuiti dilakukan melalui pengeluaran syer atau saham yang berkemungkinan memberikan hasil dalam bentuk dividen, manakala pembiayaan hutang dilakukan melalui pinjaman yang berasaskan faedah atau interest.
Islam mempunyai norma dan peraturannya yang tersendiri bagi memenuhi kehendak manusia terhadap pembiayaan ekuiti dan pembiayaan hutang dalam sistem kewangannya. Bagi pembiayaan ekuiti, agama Islam menghalalkan "kontrak-kontrak perkongsian untung" (profit-sharing contracts). Dua kontrak yang penting dalam kategori ini ialah mudharabah dan musyarakah. Secara kasarnya, mudharabah ialah pengeluaran syer atau saham yang mempunyai hak mengurus atau mengundi dalam projek berkenaan. Kontrak-kontrak ini mempunyai asas-asas secara langsung daripada Hadis, dan secara tidak langsung daripada al-Quran. Bagi pembiayaan hutang pula, agama Islam menghalalkan "kontrak-kontrak pertukaran" (contracts of exchange) yang melibatkan pembayaran bertangguh (deferred payments). Terdapat banyak bentuk kontrak dalam kategori ini. Saya akan menyebut hanya tiga yang penting sahaja sebagai contoh. Pertama ialah bai' bithaman ajil atau jualan harga tangguh. Di bawah kontrak ini, pengusaha sesuatu projek boleh membeli barang yang dikehendakinya dan membayar harga barang itu secara ansuran. Kedua ialah ijarah atau sewaan. Melalui kontrak ini, pengusaha boleh menyewa barang yang dikehendaki oleh projeknya. Ketiga ialah murabahah atau jualan dengan tambahan untung. Di bawah kontrak ini, yang biasanya digunakan untuk pembiayaan dagangan (trade finance), pengusaha projek boleh membeli barangan mentahnya dengan bayaran sekaligus secara bertangguh, umpamanya selepas 90 hari. Ketiga-tiga bentuk kontrak ini boleh memberikan keuntungan kepada pembiaya melalui harga jaulan dan sewaan yang ditetapkan. Kontrak-kontrak pertukaran ini mempunyai asas-asas secara langsung daripada al-Quran dan Hadis. Ada tiga ayat al-Quran yang secara jelas merujuk kepada kontrak-kontrak ini, iaitu dalam surah al-Baqarah ayat 275 dan 282 dan dalam surah an-Nisa' ayat 29.
The fallacy of misplaced emphasis, yang telah saya sebut tadi sebagai satu kelemahan kita, berkaitan dengan satu "teori" tentang sistem kewangan Islam yang dikemukakan oleh ahli-ahli ekonomi Islam (Islamic economists) sejak tahun 1960-an. Teori ini sebenarnya ialah ciptaan atau rekaan ahli-ahli ekonomi berkenaan berasaskan pemikiran-pemikiran mereka sendiri sahaja. Teori mereka dengan tegas mengatakan: "sistem urusan bank dan kewangan Islam semestinya dibina di atas asas kontrak-kontrak mudharabah dan musyarakah semata-mata" iaitu kontrak-kontrak pembiayaan ekuiti seperti yang telah saya terangkan. Mereka menolak sama sekali kontrak-kontrak pertukaran yang melibatkan pembayaran bertangguh, dan menganggap kontrak-kontrak ini sebagai unIslamic.
Seperti yang telah saya sebut tadi, al-Quran dengan jelas menyatakan kesahihan kontrak-kontrak pertukaran yang melibatkan pembayaran bertangguh sebagai bentuk pembiayaan hutang yang boleh dipraktikkan. Al-Quran ialah kalam Allah s.w.t., yang diwahyukan kepada Rasul-Nya. melalui Jibril. Apabila sesuatu hukum sudah jelas kesahihannya dalam al-Quran, maka kita umat Islam wajib menerimanya. Jadi bagaimanakah boleh ahli-ahli ekonomi berkenaan menolak kontrak-kontrak ini, dan sebaliknya mengecapnya sebagai unIslamic?
Saya telah berkecimpung dalam usaha dunia perdagangan sebagai akauntan, dan terlatih sebagai juruaudit dan akauntan awam selama lebih kurang tiga puluh tahun. Sejak kira-kira sepuluh tahun yang lalu, saya telah menceburi bidang urusan bank, bermula dengan bank perdagangan dan sekarang dengan bank pusat. Dalam tempoh hampir empat puluh tahun itu, saya banyak terlibat sama ada secara langsung dan tidak langsung dengan urusan kewangan syarikat-syarikat bersekutu, syarikat-syarikat persendirian, syarikat-syarikat awam, koperasi-koperasi dan badan-badan amanah. Saya tidak nampak bagaimana sesuatu sistem kewangan dapat dibina berasaskan pembiayaan ekuiti semata-mata dan menolak pembiayaan hutang. Hanya sistem kewangan yang merangkumi bentuk pembiayaan ekuiti dan pembiayaan hutang sahaja yang mempunyai kemampuan memenuhi semua kehendak ahli-ahli masyarakat yang mempunyai kebebasan bekerja, memperoleh pendapatan dan memiliki harta. Ahli-ahli masyarakat yang sedemikian ada kalanya menghendaki pembiayaan ekuiti, dan ada kalanya pula menghendaki pembiayaan hutang. Jika mereka dipaksa mengambil pembiayaan ekuiti semata-mata bagi semua bentuk kehendak kewangan mereka dalam semua keadaan dan pada semua ketika, maka sistem kewangan masyarakat yang sedemikian akan menemui jalan buntu dan aktiviti kewangan akan menjadi kucar-kacir. Hakikat ini sebenarnya sudah pun terbukti dengan merujuk kepada ahli-ahli ekonomi Islam itu sendiri. Walaupun terdapat ramai ahli ekonomi Islam yang berpegang teguh pada teori yang disebut di sini sejak tahun 1960-an lagi, dan mereka telah menulis berpuluh-puluh buah buku dan beratus-ratus kertas kerja tentangnya, tidak ada seorang pun antara mereka yang dapat tampil ke hadapan menubuhkan bank atau institusi kewangan Islam yang berfungsi sepenuhnya atas teori mereka yang disebut tadi. Sebaliknya, sejak tahun 1975, terdapat kira-kira lima puluh buah bank dan institusi kewangan Islam, yang mengamalkan pembiayaan ekuiti dan pembiayaan hutang kedua-duanya sekali, yang ditubuhkan di seluruh dunia dan terus berfungsi hingga hari ini, termasuklah Bank Islam dan Syarikat Takaful di negara kita.
Saya berpendapat bahawa kekeliruan yang timbul di kalangan umat Islam yang telah dicetuskan oleh teori rekaan ahli-ahli ekonomi yang menekankan konsep pembiayaan ekuiti dan menolak konsep pembiayaan hutang ini telah melambatkan perkembangan sistem kewangan Islam dalam tempoh dua dekad yang lalu. Sebaik sahaja kita dapat menerima konsep pembiayaan hutang dalam Islam, seperti yang ditunjukkan dalam al-Quran, banyak ruang yang masih belum terisi dalam sistem kewangan Islam yang akan dapat kita isi. Oleh itu, demi pelaksanaan tanggungjawab kita terhadap Islam, saya ingin menggesa kita semua agar kita menerima konsep pembiayaan ekuiti dan pembiayaan hutang kedua-duanya sekali, konsep-konsep sebenarnya berlandaskan ajaran al-Quran dan Hadis itu, sebagai unsur-unsur asasi dalam pembinaan sistem kewangan Islam yang sedang kita usahakan. Sebarang penyelewengan daripada al-Quran dan Hadis perlulah kita tolak dan tidak kita biarkan menjadi batu penghalang kepada usaha kita yang murni ini.
Sehubungan dengan ini, Bank Islam Malaysia Berhad, seperti bank-bank Islam yang lain di seluruh dunia juga, telah, dari mula penubuhannya lagi, melaksanakan kontrak-kontrak pertukaran yang melibatkan pembiayaan bertangguh, melalui konsep pembiayaan hutang dalam Islam, bagi memenuhi keperluan kewangan pelanggan-pelanggannya. Antara kontrak-kontrak ini ialah kontrak bai' bithaman ajil atau jualan harga tangguh. Sebagai perkembangan lanjut kepada bentuk kontrak ini, sukacita saya memaklumkan bahawa Bank Negara baru-baru ini telah memberi kelulusan kepada Bank Islam untuk bertindak sebagai pengurus utama (lead manager) bagi mengurus pembiayaan bai' bithaman ajil secara bersindiket sebanyak RM100 juta untuk memenuhi permintaan sebuah syarikat multinasional. Bank Islam patut mencuba mendapatkan penyertaan dalam pembiayaan bersindiket seperti ini daripada bank dan institusi kewangan yang lain. Jika berjaya, langkah ini sudah tentu akan membuka pintu kepada usaha pengurusan pembiayaan-pembiayaan bersindiket berasaskan kontrak-kontrak Islam di negara ini.
Sehubungan dengan itu, Bank Negara juga telah memberikan kelulusan kepada Bank Islam untuk mencipta alat niaga hutang dalam bentuk nota pengakuan dan janji membayar hutang pada tempoh tertentu atau promissory note berasaskan pembiayaan bersindiket bai' bithaman ajil yang telah saya sebut tadi. Dengan itu syarikat yang mendapat pembiayaan ini akan mengeluarkan satu siri promissory note dengan amaun dan tempoh matang mengikut jadual bayar balik pembiayaan tersebut. Bank Islam telah dibenarkan menjalankan perniagaan jual beli nota-nota ini di kalangan badan dan institusi yang diluluskan oleh Bank Negara.
Yang baru saya sebut itu ialah langkah permulaan sahaja. Sebenarnya, daripada langkah itu kita patut berusaha pula mencipta alat niaga hutang (debt instruments) yang lain dan seterusnya memperkenalkan dan mengembangkan amalan perniagaan hutang atau debt-trading yang selaras dengan Syariah dalam operasi sistem memperkenalkan konsep bai' al-dayn, iaitu jual beli hutang atau dayn yang timbul daripada kontrak-kontrak yang melibatkan pembiayaan bertangguh di bawah konsep pembiayaan hutang. Mengikut Syariah, hutang yang boleh dijual beli atau diniagakan mengikut konsep bai' al-dayn ini termasuk hutang-hutang bayaran tangguh, seperti kontrak-kontrak jualan harga tangguh (bai' bithaman ajil) dan jualan dengan tambahan untung (murabahah); bayaran secara sewaan (ijarah); hutang tentang pinjaman tanpa riba (qard); dan hutang mahar bertangguh.
Dalam al-Quran dan Hadis, terdapat rujukan yang berulang-ulang kepada "bai" dan "tijarah". Kedua-dua istilah ini bermakna pertukaran atau perniagaan dan perdagangan (trade and commerce), sama ada perdagangan domestik atau perdagangan antarabangsa. Tidak syak lagi bahawa Allah s.w.t. menghendaki supaya perdagangan menjadi tunggak ekonomi masyarakat Islam. Sudah menjadi adat sejak zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w. di Madinah kira-kira 1,400 tahun yang lalu hingga zaman ini, bahawa dalam perdagangan antara pedagang-pedagang, pihak-pihak pembeli biasanya tidak membayar harga barang yang dibelinya secara tunai, tetapi sebaliknya dengan bertangguh umpamanya selepas satu bulan, tiga bulan, atau enam bulan. Dalam beberapa banyak hal, penjual yang menjual barang memperoleh bil-bil perdagangan yang menunjukkan ikrar pembeli tentang amaun serta tarikh bayaran hutangnya berkaitan dengan harga barang yang dibeli. Dengan demikian, timbul kehendak pembiayaan di kalangan penjual-penjual barang untuk menjual bil-bil perdagangan yang dipegangnya bagi memperoleh modal semula untuk memusingkan lagi perniagaan mereka. Setakat ini, bank-bank Islam di Iran telah mempelopori perjalanan sistem kewangan Islam dengan menyediakan kemudahan bagi membeli bil-bil perdagangan tersebut. Bank Islam Malaysia juga patut membuat persediaan bagi menyediakan kemudahan yang sama di bawah konsep bai' al-dayn (perniagaan hutang) yang telah saya sebut.
Melalui bai' al-dayn juga kita boleh memikirkan penubuhan syarikat pemfaktoran Islam. Peniaga atau pengeksport yang memerlukan wang tunai dengan segera boleh mengemukakan invois dagangan kepada syarikat pemfaktoran Islam. Syarikat tersebut kemudiannya akan membeli hutang itu dengan diskaun, dan apabila tiba tempoh penerimaan, syarikat pemfaktoran akan membuat tuntutan kepada jumlah invois yang dikemukakan.
Sehubungan dengan itu, Bank Negara sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan konsep bai' al-dayn ini dalam skim Pembiayaan Semula Kredit Eksport, sebagai alat niaga yang selari dengan alat niaga konvensional. Skim Pembiayaan Semula Kredit Eksport ialah satu insentif kewangan yang bertujuan menyediakan peluang-peluang kemudahan kredit pada kadar pembiayaan kompetitif kepada pengeksport dan pembekal tempatan yang menjual barangan kepada pengeksport sebagai satu langkah untuk menggalakkan eksport. Pelaksanaan prinsip Islam ini dalam mekanisme operasi skim Kemudahan Pembiayaan Semula Kredit Eksport akan membolehkan Bank Islam mendapat peluang yang sama seperti yang ada pada bank-bank konvensional, dan juga membolehkan pengeksport-pengeksport yang beragama Islam membiayai eksport mereka melalui satu sistem yang tidak mengandungi riba. Pengeksport Malaysia yang bukan beragama Islam juga akan berpeluang memilih satu daripada dua sistem pembiayaan.
Dalam dekad 1990-an, boleh juga diwujudkan beberapa institusi lain yang beroperasi atas prinsip Mudharabah dan Musyarakah, seperti syarikat unit amanah dan amanah harta benda. Unit amanah Islam menawarkan sejumlah unit pelaburan kepada para pelabur dan kemudiannya melaburkan unit-unit itu dalam sekuriti tanpa faedah dan dalam Sijil Pelaburan Kerajaan. Perbezaan antara unit amanah Islam dan unit amanah konvensional adalah dari segi pelaburan, kerana unit amanah Islam boleh melabur hanya dalam saham syarikat-syarikat yang menjalankan kegiatan yang tidak bertentangan dengan Syariah Islam. Kegiatan pelaburan unit amanah juga akan diawasi oleh satu majlis pengawasan Syariah bagi memastikan perjalanan kegiatannya sentiasa bergerak di atas landasan Islam.
Amanah harta benda secara Islam merujuk kepada pemilikan harta benda yang pembeliannya dibiayai oleh sebuah syarikat amanah. Syarikat amanah mengenal pasti harta yang berpotensi, yang mampu memberikan pulangan yang tinggi serta tidak melanggar ketentuan-ketentuan Syariah; seterusnya membeli harta tersebut untuk tabung amanah harta benda. Tabung amanah akan menerbitkan unit-unit saham untuk dijual kepada orang ramai dan perolehan yang diterima daripada harta tersebut akan diberikan kepada pemegang-pemegang unit dalam bentuk dividen. Seperti unit amanah Islam, amanah harta benda Islam dibenarkan melabur hanya dalam pelaburan harta benda yang menjalankan kegiatan yang tidak bertentangan dengan Syariah dan tertakluk kepada penilaian dan persetujuan majlis pengawasan Syariah.
Satu lagi alat niaga kewangan yang boleh diwujudkan ialah pajak gadai secara Islam. Institusi pajak gadai secara Islam boleh beroperasi mengikut konsep al-rahan (gadaian). Di sini patut ditekankan bahawa tujuan konsep al-rahan dalam Islam ialah semata-mata hendak memberikan kebajikan dan menawarkan kemudahan kepada orang-orang miskin, bukan untuk memperoleh keuntungan. Pada masa yang sama, konsep ini memberikan jaminan kepada orang yang memberikan hutang (melalui gadaian), bahawa haknya tidak hilang. Sekiranya peminjam tidak dapat menjelaskan hutangnya itu, barang yang digadai akan dijual, biasanya dengan harga yang lebih tinggi daripada harga gadaian untuk menutup hutang. Baki jualan barang gadaian, setelah jumlah hutang ditolak, akan dikembalikan kepada tuan punya. Dalam Islam, institusi yang mempraktikkan konsep al-rahan tidak boleh mengambil keuntungan. Oleh yang demikian, saya berpendapat, Baitulmal atau YPEIM adalah antara badan-badan yang boleh memainkan peranan ke arah pembentukan institusi pajak gadai secara Islam, sesuai dengan Islam itu sendiri, yang meletakkan pertolongan kepada manusia miskin sebagai satu keutamaan.
Seperti yang telah diterangkan awal tadi, dalam sistem kewangan konvensional, setiap alat urus niaga yang baru dibentuk adalah atas dasar bottom line considerations. Sebaliknya, dalam sistem kewangan Islam, alat urus niaga tidak semestinya diwujudkan hanya dari segi bottom line considerations. Alat urus niaga boleh diwujudkan atas dasar memberikan manfaat kepada masyarakat dalam konteks falsafah Islam hendak membina satu masyarakat yang sejahtera.
Memandang bahawa Islam ialah suatu rukun hidup atau a way of life, yang merangkumi segala aspek kehidupan, maka sistem kewangan Islam tidak boleh dipisahkan daripada etika Islam. Sungguhpun Islam, sebagai satu agama yang praktikal, tidak memerlukan masyarakat yang seratus peratus jujur dan amanah untuk membolehkan sistem kewangannya bergerak, eloklah juga kita menggalakkan etika Islam seiring dengan pewujudan sistem kewangan Islam.
Kita patut berusaha membentuk masyarakat yang menghormati kebenaran. Kelalaian manusia daripada prinsip kebenaran mengakibatkan timbulnya kekecewaan dan kemalangan, bermaharajalelanya sifat tidak jujur, membohong, menipu, palsu dan suka berkhayal yang menjauhkan manusia daripada kebenaran. Sekiranya manusia sentiasa berpegang pada kejujuran dan menghayati prinsip kebenaran, setiap masalah dapat dihadapi dan diatasi di atas hukum dan landasan yang benar, kerana kebenaran membawa ketenangan dan dusta itu menimbulkan keraguan dan penyelewengan.
Tuan-tuan tentu masih ingat tentang hal yang telah terjadi pada beberapa koperasi lain dalam dekad 1980-an. Aktiviti koperasi pengambil deposit atau KPD ialah kegiatan yang paling mencabar bagi Bank Negara, yang telah diberi amanah oleh Kerajaan meredakan dan menyelesaikan krisis itu. KPD telah dikenali dengan sifat-sifat penyelewengan dalam pengurusan, kurang kawalan ke atas anak-anak syarikat yang tidak membuat keuntungan, spekulasi berleluasa ke atas saham dan hartanah, ketidakbijaksanaan dalam memberikan pinjaman yang besar kepada pengarah-pengarah dan orang-orang yang berkepentingan dalam KPD, penipuan dan penyalahgunaan tabungan, pecah amanah dan penglibatan secara langsung dalam keadaan-keadaan yang terdapat kepentingan yang bercanggah. Akhirnya mereka sendiri terperangkap, dan yang menyedihkan, aktiviti mereka telah menyusahkan pula orang-orang yang tidak berdosa. Masalah ini timbul kerana adanya golongan, yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam, yang berpegang teguh pada falsafah hidup materialistik, yang menolak pembabitan ekonomi dengan etika, moral dan agama. Falsafah ini melahirkan tamadun manusia yang mementingkan diri, cara hidup yang boros dan berlebih-lebihan, penyalahgunaan kuasa, tingkah laku yang mementingkan keseronokan dan kemewahan serta kehilangan peraturan hidup.
Masyarakat yang beretika sentiasa berusaha membentuk peribadi mereka ke arah aspirasi kemanusiaan yang hakiki, mengamalkan prinsip hidup bermoral tinggi, menghidupkan semangat berdikari, bekerjasama, berbaik sangka, menjalin persahabatan dengan niat yang ikhlas dan berkorban dalam perkara-perkara kebajikan. Suasana dan persekitaran seperti ini sudah tentunya akan memudahkan lagi kejayaan sesuatu sistem kewangan Islam dalam sesuatu masyarakat.
Saya ingin mengalihkan ucapan saya kepada sistem kewangan Islam pada peringkat antarabangsa. Satu kejayaan yang paling cemerlang dalam dekad 1980-an ialah langkah negara Pakistan dan negara Iran mempelopori peralihan daripada sistem ekonomi konvensional kepada sistem ekonomi dan kewangan Islam sepenuhnya. Kejayaan Pakistan dan Iran mempelopori penggunaan sistem ekonomi dan kewangan Islam secara total menjadi bukti yang jelas terhadap kemampuan sistem kewangan Islam.
Yang menarik di sini ialah bahawa kedua-dua negara yang telah melaksanakan sistem kewangan Islam pada keseluruhannya terdiri daripada kalangan negara bukan Arab. Negara-negara Arab nampaknya setakat ini tidak begitu cenderung tentang pelaksanaan sepenuhnya prinsip kewangan Islam di dalam negara mereka, sungguhpun kekuatan petro-dollar negara-negara Arab dalam dekad 1970-an disebut juga sebagai satu faktor yang mendorong ke arah kebangkitan semula Islam. Saya percaya negara-negara Arab akan menggiatkan usaha mereka membentuk sistem kewangan Islam dalam dekad 1990-an. Bagaimanapun, tidaklah wajar kebangkitan semula Islam dihubungkan dengan kekuatan petro-dollar. Kebangkitan semula Islam dalam semua bidang, termasuk bidang kewangan, lahir daripada kesedaran, keinginan dan aspirasi umat Islam di seluruh dunia hendak kembali menghayati ajaran Islam dalam semua aspek kehidupan. Oleh sebab Islam ialah a way of life, tidaklah wajar Islam dihubungkan khusus kepada ibadat semata-mata sedangkan bidang-bidang lain, seperti bidang kewangan, ekonomi, perubatan, sains, komunikasi atau psikologi ditinggalkan begitu sahaja. Kebangkitan semula Islam ialah manifestasi keinginan mengisi kekosongan-kekosongan ini.
Kini bank-bank Islam telah mencapai jumlah hampir 50 buah di seluruh dunia, termasuk di negara-negara bukan Islam, seperti Switzerland, Afrika Selatan, Denmark, Luxembourg dan England. Saya yakin lebih banyak institusi kewangan Islam yang akan diwujudkan di serata dunia dalam dekad 1990-an. Saya berharap kerjasama antara bank-bank dengan institusi-institusi kewangan Islam akan meningkat dalam dekad 1990-an. Peranan Islamic Development Bank (IDB) juga harus ditingkatkan untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan kewangan yang dihadapi oleh dunia Islam. IDB ditubuhkan dalam tahun 1975 dengan matlamat hendak menggalakkan pembangunan dan kerjasama ekonomi antara negara-negara ahlinya. Sebanyak 44 buah negara menjadi ahli IDB. Kini IDB sedang giat memperkembangkan pembiayaan perdagangan asing antara negara-negara Islam. Pembiayaan aktiviti perdagangan asing telah meningkat daripada hanya US$50 juta pada tahun 1977 kepada US$589 juta pada tahun 1988. Selain itu, IDB bergiat juga dalam aktiviti penyertaan ekuiti, pembiayaan melalui mekanisme al-ijarah dan bai-bithaman ajil dan program bantuan teknik serta memperkenalkan dua skim baru, iaitu skim pembiayaan perdagangan jangka panjang dan portfolio bank-bank Islam sebagai langkah mempelbagaikan aktivitinya. Saya berharap IDB akan mempertingkatkan usahanya dalam dekad 1990-an ke arah kerjasama yang rapat antara negara-negara Islam.
Sedang kita berdiri pada fajar dekad 1990-an, kita harus bersikap terbuka dan berpandangan luas dan jauh. Kita perlu mencari arah baru dengan mengalihkan sesuatu yang bersifat abstrak kepada sesuatu yang konkrit. Kita seharusnya juga mengelakkan diri daripada suka membuat hukum tentang sesuatu yang tentangnya kita tidak pasti atau bukan pakar. Kita tidak boleh mengharamkan apa yang dihalalkan Allah. Kita tidak boleh memaksa pandangan-pandangan kita ke atas sistem kewangan Islam tanpa bukti-bukti dan dalil-dalil al-Quran dan Hadis yang kukuh untuk menguatkan hujah-hujah kita. Perkara ini pernah berlaku pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an dalam bidang kewangan Islam, dan merupakan salah satu faktor utama yang melambatkan kemajuan kewangan Islam dalam dua dekad yang lalu. Penyelesaian mudah bagi kehendak umat terdahulu tidak lagi memadai untuk menyelesaikan masalah dunia hari ini yang begitu rumit. Cendekiawan-cendekiawan Islam harus membaharukan pemikiran mereka supaya mereka dapat menghasilkan idea-idea baru, percubaan-percubaan baru dan alat-alat baru dalam pendekatan-pendekatan yang baru. Dan setiap pembaharuan itu perlulah sejajar dengan kehendak al-Quran dan Hadis.
Saya yakin sebelum akhir dekad 1990-an, sistem kewangan Islam di Malaysia akan mencapai tahap kesempurnaan yang membolehkan sistem ini beroperasi selari dan setanding dengan sistem konvensional. Selain Bank Islam Malaysia, mungkin sebuah lagi bank yang beroperasi atas prinsip Islam akan ditubuhkan. Pembiayaan hutang dan perdagangan mengikut prinsip Islam akan bergerak dengan lebih aktif dan inovatif. Ini akan disertai pula dengan syarikat unit amanah, syarikat amanah harta benda, syarikat pemfaktoran dan institusi pajak gadai yang bergerak atas prinsip kewangan Islam. Bon korporat secara Islam akan menjadi satu kebiasaan.
Umpama setitis air yang mengalir dari daun kayu itu tidak berhenti pengalirannya, melalui tasik dan sungai, melalui gua dan saluran bawah tanah, kadang kala naik melalui timba atau sedutan paip, membasahi sawah dan ladang, akhirnya tiba dan bersatu semula di samudera luas. Begitu jugalah halnya sistem kewangan Islam di Malaysia. Dari satu titik permulaan, Insya-Allah, sistem ini akan terus berkembang - mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi dan urusan bank di dalam dan di luar negeri, mengemukakan idea yang praktikal dan realistik, menanam keyakinan kepada seluruh masyarakat, membuktikan kesanggupannya bertahan dalam apa juga suasana.
Walau bagaimanapun, pada hemat saya dekat 1990-an tidak merupakan dekad sistem kewangan Islam mengambil alih keseluruhan sistem kewangan di Malaysia. Sistem kewangan konvensional akan terus memainkan peranannya dari segi pertumbuhan ekonomi dan aliran mata wang di Malaysia. Dari segi ini masyarakat bukan Islam tidak perlu ragu-ragu. Mereka boleh membuat pilihan mereka selanjutnya. Tetapi mereka juga sayugia mengambil tahu dan mempelajari sistem bank Islam untuk membuat pilihan yang waras demi kepentingan dan keuntungan mereka sendiri.
Tuan-tuan mungkin ingat ucapan Dr. Martin Luther King yang bertajuk I have a dream. Seperti Martin Luther King, saya juga mempunyai satu impian. Impian saya ialah satu hari nanti Malaysia akan mempunyai dua sistem kewangan yang sempurna, iaitu sistem kewangan konvensional dan sistem kewangan Islam. Dan rakyat Malaysia, khasnya yang bukan beragama Islam, memilih sistem kewangan Islam, untuk urusan kewangan mereka. Itulah impian saya.

Wabillahi taufig wal hidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment