Terkini

Saturday 16 February 2008

Pelabur yakin sistem kewangan Malaysia


Oleh Abdul Halim Hussein

KEYAKINAN Primus Pacific Partners (Primus), firma pelaburan dari Hong Kong untuk mencari tapak di negara ini sedikit pun tidak pudar meskipun sebelum ini gagal memiliki kepentingan dalam Rashid Hussain Bhd. (RHB).

Kini Primus telah melupakan ‘perebutan’ menguasai kepentingan dalam RHB apabila mengambil alih kepentingan EON Capital Bhd. (EON Cap) pada harga RM1.34 bilion.

Pelabur dana dari negara luar itu telah berjaya membeli 20.2 peratus kepentingan dalam EON Cap, pada harga RM1.34 bilion daripada DRB-Hicom Bhd. EON Cap adalah anak syarikat milik penuh EON Bank Bhd. (EON Bank). Ia merupakan kumpulan perkhidmatan kewangan ketujuh terbesar di Malaysia dengan jumlah aset RM38.9 bilion.

Pengarah Urusan Primus, Jeroen Nieuwkoop berkata, mereka berbangga dengan peluang pelaburan jangka panjang dalam industri perbankan Malaysia.

“Kami yakin akan menyumbangkan sesuatu yang bernilai kepada EON Bank serta menyuntik modal baru bagi membantu membangun dan mengembangkan francaisnya,” kata beliau.

Firma pelaburan asing ini juga bersedia menyokong untuk menyuntik modal tambahan, sumber manusia dan kepakaran pembangunan produk kepada EON Cap untuk membolehkannya memanfaatkan peluang dalam sektor kewangan di Malaysia.

Bagi mengelakkan sebarang keraguan, Primus dilaporkan tidak akan menawarkan saham EON Capital. Cara mengumpul modal dan jumlahnya terpulang kepada pengurusan kumpulan perbankan EON. Nieuwkoop menegaskan Primus Pacific adalah pelabur jangka panjang yang memberi tumpuan terhadap usaha menjana nilai dalam pelaburannya.

Apa yang penting kata konsultan kewangan berdaftar, Nor Fuzi Dahalan ialah Primus perlu memanfaatkan kedudukan EON Bank yang baik untuk merebut peluang-peluang dalam industri perbankan di negara ini.

Keyakinan pelabur dana itu bertapak di Malaysia bakal menjadi pemangkin ke arah menjadikan negara ini sebagai pusat kecemerlangan perbankan serantau.


Aspirasi

“Untuk menyumbang kepada inisiatif Malaysia ini, Primus diharap dapat merealisasikan aspirasi menjadikan negara ini sebagai pusat perbankan serantau. Primus juga diharap akan terus bekerja rapat dalam segmen perniagaan bukan hanya menawarkan perkhidmatan kewangan tetapi juga membantu membawa masuk pelaburan terus asing ke Malaysia dan rantau ini,” kata penganalisis kewangan itu.

Menurut seorang lagi penganailis kewangan, dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global pada masa ini, kehadiran pelabur dana asing ke Malaysia dilihat sebagai petunjuk keyakinan terhadap negara ini merupakan lokasi pelaburan yang selamat di rantau ini.

“Dengan jangkaan ekonomi dunia bakal mengalami kemelesetan, pelabur global kini amat berhati-hati memilih lokasi pelaburan yang kurang risiko dan Malaysia merupakan salah satu daripadanya,” kata pengurus dana Amanah Asia, Malek Harun.

Dasar ekonomi makro yang sesuai serta keadaan politik Malaysia yang stabil merupakan antara pilihan utama kemasukan pelabur asing ke negara ini.

“Malaysia, walaupun baru membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya, namun kedudukan parti pemerintah yang kuat selama ini akan terus memastikan kestabilan politik di sini,” kata Malek.

Sebagai perbandingan, katanya, walaupun pilihan raya telah diadakan di Thailand, namun ia gagal memberi gambaran jelas mengenai hala tuju negara itu. Pada masa ini terdapat banyak syarikat tempatan yang mempunyai kepentingan asing sehingga 30 peratus. Jadi, kemasukan pelaburan asing dalam syarikat tempatan bukanlah perkara baru.

Malaysia juga mempunyai banyak kisah kejayaan yang harus diberitahu kepada para pengurus dana dan pelabur asing sebagai galakan untuk mereka meneroka peluang pelaburan yang terbuka luas di negara ini.

Malaysia yang sedang pesat membangun dengan pertumbuhan ekonomi menggalakkan dan politik yang stabil tentu sekali menjadi tarikan bagi pelabur dana dari Hong Kong dan Asia Barat.

“Perkembangan positif ini sangat penting supaya mereka juga dapat mengambil bahagian dalam penjanaan ekonomi negara ekoran keyakinan terhadap pengurusan makro ekonomi negara,” jelas Nor Fuzi.

Malah kesediaan Hong Kong untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang kewangan adalah bukti keyakinan mereka terhadap kemampuan negara.

Menurut penganalisis itu lagi, sejak lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Hong Kong hujung tahun lalu, para pengurus dana Hong Kong dilihat amat berminat bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang perbankan Islam kerana kejayaan negara memajukan rangkaian meluas produk dan perkhidmatan berkenaan.

Barangkali Primus boleh mengambil peluang dalam EON Bank untuk membawa sistem kewangan Islam ke wilayah autonomi China itu, sejajar dengan keyakinan produk perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam itu berpotensi membantu pembangunan Hong Kong dalam bidang kewangan. --(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment