Terkini

Tuesday 26 February 2008

Yayasan Wakaf Malaysia dilancar

Wakaf merupakan suatu pemberian atau sumbangan ikhlas sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan oleh syarak.


Harta wakaf boleh disumbang dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah contohnya dengan mendirikan projek komersial seperti hotel, pusat-pusat perniagaan, projek sosial seperti rumah anak yatim dan pusat perlindungan di atas tanah wakaf.


Bagi membangunkan semula harta-harta wakaf yang tidak diusahakan, satu yayasan ditubuhkan untuk menjana sumber ekonomi serta pembangunan sosial umat Islam.


Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) yang dilancarkan baru-baru ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berperanan sebagai satu badan yang akan menggembleng sumber-sumber wakaf. Ia agar dapat dijadikan sumber modal ekonomi berpotensi bagi dimanfaatkan oleh semua umat Islam.
YWM juga ditubuhkan bagi memastikan penggemblengan sumber wakaf selaras dengan pensyariatan wakaf.


Pada majlis pelancaran YWM tersebut di Putrajaya baru-baru ini, Abdullah menandatangani Surat Ikatan Amanah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah. Seramai 21 tokoh terkemuka daripada pelbagai latar belakang dilantik menganggotai Lembaga Pemegang Amanah YWM. Bilangan itu termasuk ahli korporat, wakil agensi kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).


Menurut Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Dr. Sohaimi Mohd. Salleh, YWM tidak akan mengganggu bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri.


Katanya, yayasan ini adalah lebih kepada pemuafakatan untuk membangunkan tanah wakaf.
“Oleh sebab itu, yayasan akan mendapatkan penglibatan MAIN sebagai Pihak Berkuasa Wakaf Negeri dan badan-badan dan individu Islam yang komited dalam kemajuan dan pembangunan wakaf.
“Masalah pertindihan tugas antara MAIN dan YWM dalam pembangunan wakaf tidak akan berlaku kerana banyak tanah wakaf tidak dapat dibangunkan oleh MAIN disebabkan oleh faktor kekurangan sumber kewangan,” katanya selepas pelancaran YWM.
Tambah Sohaimi, Kerajaan Persekutuan menyediakan dana sebanyak RM250 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membolehkan yayasan itu memulakan operasinya.
“Tahun ini yayasan ada 15 projek yang akan dijalankan seperti penubuhan ruang niaga, asrama anak yatim, hotel, pusat-pusat kesihatan, sekolah, rumah flat sederhana dan kompleks mualaf.
“Kita juga dalam proses membina sebuah hotel wakaf di Kuala Terengganu yang melibatkan kos RM20 juta,” katanya.
Sohaimi berkata, hotel wakaf di Terengganu itu merupakan perintis kepada beberapa hotel wakaf lain yang akan di bina di Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau lagi, tanah wakaf di Malaysia ini dianggarkan sebanyak 35,000 hektar yang bernilai kira-kira RM1.2 bilion.
Beliau berharap YWM dapat membantu umat Islam daripada segi sosial dan ekonomi manakala tanah-tanah wakaf yang terbiar akan dapat diusahakan untuk pembangunan ummah.--(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment