Terkini

Wednesday, 20 February 2008

Ekonomi Islam : Tawhid dan Penyusunan Sistem Ekonomi

Nik Mustapha bin Haji Nik Hassan

Tawhid menganjurkan bahawa sistem ekonomi hendaklah berusaha kepada wujudnya suasana al-'Adl wal Ihsan (keadilan dan kerjasama).Prinsip al-'Adl wal Ihsan ini menganjurkan bahawa sistem ekonomi dalam negara Islam mestilah berusaha ke arah pencapaian keadilan ekonomi dan ekonomi kerjasama di kalangan ke semua sektor - awam, swasta dan sukarela. Kedua-dua unsur ini adalah asas pencapaian perjalanan sistem ekonomi yang teratur, cekap dan progresif. Keadilan ekonomi yang menepati prinsip al-'Adl membawa pengertian yang mendalam. Secara ringkas, beberapa ciri berikut dapat menjelaskan keadilan dalam perjalanan sistem ekonomi:


i. Setiap individu sebagai pemegang amanah Allah berhak memiliki harta tertakluk kepada Syariah dan menjaminkan harta sentiasa mengalir dalam sistem ekonomi melalui pencapaian tertinggi kegiatan ekonomi pada tiap masa semungkin. Melalui pencapaian tersebut kestabilan keadaan ekonomi seperti pencapaian gunatenaga penuh, kestabilan paras harga dan pencapaian pertumbuhan ekonomi akan tercapai. Ini memungkin kos sara hidup yang rendah dalam ekonomi.


ii. Setiap individu mempunyai kebebasan dan peluang yang adil dalam menceburi dalam setiap urusan ekonomi yang dibenarkan oleh Syariah. Tidak ada golongan yang boleh menggagalkan kebebasan ini. Negara dengan itu mempunyai tanggungjawab dalam mengawal bahawa kebebasan ini benar-benar dapat dilaksana.


iii. Setiap individu dalam negara Islam semestinya dapat memenuhi keperluan asasinya yang mana tanpa keperluan tersebut, ia akan menjejaskan kebajikannya dan seterusnya masyarakat. Pembasmian kemiskinan adalah usaha ke arah matlamat tersebut. Mengikut Imam Al-Ghazali, keperluan tersebut dapat dipenuhi melalui pemeliharaan keimanan, kehidupan, intelek, keturunan dan kekayaan mereka. Negara bertanggungjawab memastikan matlamat ini tercapai melalui semua dasar-dasar yang dikemukakan.


iv. Setiap faktor yang menyumbangkan kepada proses pengeluaran ekonomi hendaklah mendapat ganjaran yang setimpal dengan sumbangan mereka. Sistem pulangan yang positif kepada faktor modal dengan berlandaskan sistem riba adalah diharamkan. Begitu dengan mekanisme lain yang berunsur exploitatif.


v. Setiap peruntukan sumber negara hendaklah mengikut keutamaan keperluan rakyat semasa dan setempat. Panduan Syariah perlu diikuti dalam hal tersebut.vi. Setiap bentuk pembaziran samada dalam bentuk projek atau perayaan yang hendak dilaksanakan atau pembaziran disebabkan ketidakcekapan yang terdapat dalam proses pengeluaran, pengagihan dan penggunaan mestilah dibasmikan.


Ekonomi kerjasama yang menepati konsep al-Ihsan pada hakikat yang sebenar akan terlaksana dengan wujudnya keadilan ekonomi. Islam menganjurkan bahawa kesemua unit ekonomi bekerjasama dalam menjalankan kegiatan ekonomi. Setiap unit ekonomi samada, sektor awam atau swasta, pengguna atau pengeluar, pekerja atau majikan dan seterusnya, sepatutnya mempunyai matlamat yang satu, iaitu mentaati prinsip agama. Oleh itu, setiap unit ekonomi perlu saling membantu di antara satu sama lain kerana mereka saling memerlui. Pendekatan ini menjamin kestabilan dan keutuhan perjalanan ekonomi.Dari kefahaman dan pendekatan ini, ia akan mengurangkan pertelingkahan di antara pasangan unit ekonomi, seperti sektor awam - sektor swasta; majikan-pekerja; penjual-pembeli; pengeluar-pengguna; dan sebagainya dalam sistem ekonomi yang berasaskan tawhid. Ini adalah kerana kesemua unit ekonomi tersebut mempunyai matlamat dan arah yang sama iaitu mengabdikan diri kepada arahan Allah S.W.T. Dengan itu, dapat kita rumuskan bahawa Islam menganjurkan perhubungan secara kerjasama dan bukan secara persaingan. Bahkan kerjasama adalah inti kepada keutuhan kegiatan ekonomi negara.Di samping itu, pendekatan Islam berkaitan dengan kerjasama dalam sistem kehidupan ini menolak dengan kerasnya pendekatan hidup dalam sistem sekular seperti falsafah Struggle for Existence. Islam menyarankan Cooperation for Existence sebagai asas pegangan hidup, bersesuaian dengan falsafah tauhid. Islam mengutama keharmonian dan keikraban hidup bermasyarakat semoga suasana kestabilan masyarakat dapat dipupuk. Keadaan tersebut sesuai untuk kegiatan ekonomi berperanan secara aktif. Pendekatan ini adalah satu pendekatan yang dinamik yang pasti akan menghasilkan natijah yang positif kepada kegiatan ekonomi negara dan juga kepada kebajikan dan kesejahteraan masyarakat dalam negara.Tawhid juga mengajar manusia pendekatan yang berharmoni dalam perhubungan mereka dengan segala kejadian Allah S.W.T yang lain seperti sumber bumi, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Manusia dalam mengusahakan kejadian Allah S.W.T ini mesti sentiasa mengikuti garis panduan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T seperti mengguna segala sumber dengan secekap yang mungkin dan jangan membazir, dan memperhitungkan kesan luaran yang negatif (negative externality) akibat daripada penggunaan segala sumber tersebut supaya kebajikan masyarakat, umpamanya kekotoran alam (pollution) dan keruntuhan akhlak masyarakat dapat diminimakan. Walaupun kesemua kejadian di bumi dicipta untuk keperluan dan kegunaan manusia, manusia mesti mengguna mereka dengan sempurna semoga ia tidak mendatangkan akibat buruk kepada kebajikan manusia sendiri. Dengan itu, setiap penggunaan sumber oleh manusia dalam kegiatan ekonomi ada ikatan dengan falsafah tauhid.Natijah daripada kefahaman konsep dan pelaksanaan tauhid dalam sesebuah sistem ekonomi itu akan lahirlah satu masyarakat yang mempunyai satu matlamat yang jelas dalam urusan ekonomi mereka iaitu ke arah usaha mentaati perintah agama dan bukan ke arah mengexploitasi di antara satu sama lain untuk kepentingan diri. Oleh itu, sistem ekonomi Islam mesti dibangunkan di atas semangat tauhid.Prinsip dan struktur sistem ekonomi sedemikian akan mempunyai peranannya yang tersendiri dalam rangka menjayakan matlamat yang hendak dihasilkan oleh negara Islam. Pada umumnya, negara Islam bermatlamat untuk mewujudkan satu masyarakat yang adil, aman dan makmur di mana kehidupan rakyat menepati kehendak Allah S.W.T ke atas manusia.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


No comments:

Post a Comment