Terkini

Wednesday 20 February 2008

Nilai Masa Wang Dalam Skim Perbankan Islam

Oleh Muhammad Hisyam Bin Mohamad

Dr. Schacht di dalam satu syarahan beliau yang dibuat di Syria pada 1953 telah dilaporkan berkata "Adalah amat jelas sekali walau dengan apa cara perkiraan hisab sekalipun, semua kekayaan akan pergi ke tangan pengamal riba. Ini kerana dalam apa keadaan, dia akan memperolehi keuntungan sedangkan peminjam adalah tertakluk kepada keuntungan dan kerugian."
Malah Paus John Paul II pernah menyatakan bahawa disebabkan amalan riba (oleh negara kaya), modal yang sepatutnya diperlukan oleh negara miskin untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat terpaksa digunakan untuk membayar faedah pinjaman yang dibuat.
Ini merupakan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh dua individu bukan Islam yang bukan calang-calang ketokohan mereka di mata masyarakat dunia. Dr. Schacht sebagai contoh, merupakan bekas Presiden Bank Jerman yang juga merupakan bekas Menteri Ekonomi Jerman semasa zaman pemerintahan Nazi. Manakala Paus John Paul II merupakan bekas pemimpin agama tertinggi masyarakat dunia Katholik.
Kenyataan yang dibuat oleh mereka ini tentang kesan riba bukanlah sesuatu yang baru bagi kita sebagai masyarakat Islam. Ini kerana agama Islam sejak dari peringkat awal lagi telah mengharamkan kewujudan sebarang unsur riba di dalam muamalat harian. Bagi agama Islam, riba merupakan satu bentuk penindasan dan kezaliman yang boleh mencetus ketidakharmornian dan ketidakmakmuran di dalam amalan harian manusia.
Walaupun agama Islam dan sesetengah tokoh bukan beragama Islam memperakui kesan buruk akibat riba ini ke atas sosio ekonomi manusia, namun amalan riba masih lagi berleluasa. Malah umum mengetahui bahawa amalan riba merupakan teras utama dalam urusan perniagaan sektor perbankan di serata pelusuk dunia. Alasan utama yang menyebabkan industri perbankan mengambil pendekatan mengenakan riba ada kaitan dengan faham nilai masa wang (time value of money).
Teras utama konsep nilai masa wang ialah nilai wang yang kita miliki sekarang tidak akan sama dengan nilainya pada masa hadapan. Nilai masa hadapan wang tadi mungkin bertambah jika ia dilaburkan dan memperolehi keuntungan. Ia juga mungkin berkurangan atas sebab tekanan inflasi atau risiko lain seperti penghutang tidak membayar balik wang yang dipinjam.
Berdasarkan kepada unsur kos melepas dan risiko inilah, maka pihak perbankan konvensional mengenakan kadar faedah ke atas pinjaman yang diberikan kepada pengguna sebagai timbal balik kepada nilai masa wang yang sepatutnya ada pada mereka.
Bagaimanapun faham nilai masa wang ini bukan hanya diamalkan di dalam sistem perbankan konvensional. Ia turut digunapakai dalam skim perbankan Islam. Cuma cara penggunaan faham ini adalah berlainan daripada pendekatan yang diambil oleh perbankan konvensional.
Jika di dalam perbankan konvensional, kadar faedah ke atas pinjaman menjadi galang ganti kepada nilai masa yang hilang, akan tetapi di dalam perbankan Islam, galang gantinya ialah keuntungan daripada akad jualan. Hal ini adalah disebabkan kerana faham pinjaman tidak atau jarang digunapakai di dalam perbankan Islam. Sebaliknya, semua adalah berasaskan akad jualan walaupun secara kasarnya pelanggan seolah-olah meminjam daripada pihak bank untuk membuat pembelian rumah rumah, pembelian kereta mahupun untuk keperluan peribadi. Sebagai contoh, untuk pembiayaan aset tetap seperti bangunan atau rumah, skim perbankan Islam menggunakan konsep Istis'na dan Ijarah Muntahiya bi al-Tamlik atau Musharakah Muntaniqisah. Manakala untuk pembiayaan peralatan atau mesin faham-faham ijarah thumma al-bai' digunapakai. Bagi pembiayaan peribadi pula digunakan akad bay' al-inah.
Jadi adalah tidak tepat jika kita mengatakan bahawa skim perbankan Islam sama dengan perbankan konvesional dari segi amalannya kerana semua urusan di dalam perbankan Islam menggunakan akad-akad perniagaan yang diharuskan agama Islam seperti kontrak jual beli manakala perbankan konvensional adalah berasaskan riba semata-mata atas sebab wujud penangguhan pembayaran (riba al-nasiah).
Apa yang jelas, kebanyakan keuntungan yang dijana oleh skim perbankan Islam adalah dihasilkan melalui urusan jual beli iaitu jual beli bertangguh atau jual beli secara berhutang (kredit). Kaedah jual beli sebegini adalah sesuatu yang dibenarkan.
Dalil yang mengharuskan keuntungan diambil menerusi jual beli secara bertangguh (jual beli secara kredit) ini ialah pertamanya corak jual beli sebegini menggalakkan usaha perdagangan kerana ia memenuhi kehendak biasa masyarakat kerana mereka tidak perlu mengeluarkan modal terlebih dahulu untuk mendapatkan sesuatu keperluan atau barangan. Sebaliknya harga tadi boleh dibayar kemudian, baik secara ansuran atau sekaligus.
Keduanya, dalam fasal (clause) jual beli secara murabahah umpamanya, wujud keharusan perbezaan di antara harga tunai dan harga tangguh. Ini secara tak langsung membenarkan amalan pengambilan untung melalui jualan secara hutang atau ansuran.
Malah di dalam satu forum perbincangan yang dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia baru-baru ini, seorang tokoh kewangan Islam terkenal iaitu Sheikh Nizam Yakuby telah mengatakan bahawa semua mazhab utama dalam agama Islam memperakui faham nilai masa wang dalam kontrak-kontrak pertukaran.
Menurut beliau lagi jika kita menghalusi dengan teliti ayat ke-275 di dalam surah al-Baqarah yang menyatakan bahawa ada golongan yang mengatakan jual beli itu seumpama riba sedangkan Allah mengharamkan riba dan sebaliknya mengharuskan jual beli; ayat ini sebenarnya bukan merujuk kepada jual beli secara tunai. Sebaliknya ia merujuk kepada jual beli secara bertangguh atau secara berhutang di mana harga jualan biasanya lebih tinggi daripada harga tunai.
Ini adalah lebih tepat dalam perbandingan yang dibuat kerana kita membuat perbandingan di antara dua benda yang agak setara iaitu peningkatan yang disebabkan penangguhan pembayaran balik (riba al-nasiah) dan peningkatan yang disebabkan oleh jual beli secara bertangguh atau berhutang.
Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah - menurut Sheikh Nizam Yaquby - nilai masa wang adalah diperakui oleh agama Islam. Akan tetapi perakuan ini adalah daripada sudut yang berbeza daripada apa yang diamalkan oleh pandangan Barat. Dalam bidang muamalat, nilai masa wang dalam akad jual beli adalah harus sedangkan nilai masa wang dalam akad pinjaman adalah sesuatu yang ditegah sama sekali.
Walaupun perbankan Islam menggunapakai akad-akad yang diharuskan syarak di dalam urusan perniagaan harian mereka, ini tidak bermaksud mereka seratus peratus menepati apa yang digariskan oleh agama Islam.
Pendedahan yang dibuat oleh Presiden Majlis Am Bagi Bank dan Institusi kewangan Islam, Sheikh Saleh A Kamel baru-baru ini begitu mengejutkan kita sebagai pengguna skim perbankan Islam. Menurut Sheikh Saleh, hasil pemantauan pihak beliau mendapati kira-kira 350 bank yang menawarkan perkidmatan skim perbankan Islam di 75 negara di seluruh dunia menggunakan kaedah kerja (prosedur) yang tidak berlandaskan hukum syarak. Lebih membimbangkan lagi, daripada 350 bank ini, 120 daripadanya beroperasi di negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Pada pandangan penulis, dapatan pemantauan Sheikh Saleh tadi mungkin berpunca daripada keghairahan skim perbankan Islam untuk bersaing dengan perbankan konvensional di mana ia mengambil bulat-bulat apa yang diperkenalkan oleh pesaing konvensional termasuklah kaedah kerjanya sekali. Apa yang diubah mungkin dari segi faham (konsep) yang digunapakai dalam produk-produk yang diperkenalkan sedangkan unsur-unsur pendokumentasian ataupun kaedah kerja dalaman syarikat tidak dibuat pindaan yang sewajarnya agar selaras dengan kehendak syariah.
Apa yang jelas di sini, penggunaan akad-akad perniagaan berlandaskan syariah ke atas produk-produk perbankan Islam bukanlah satu-satunya cara bagi menghapuskan unsur riba dan seterusnya menghalalkan urusan perniagaan skim perbankan Islam. Pihak institusi kewangan yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam sepatutnya turut menghalusi kaedah kerja-kaedah kerja yang digunapakai kerana ia juga merupakan sebahagian daripada unsur-unsur yang membentuk skim perbankan Islam itu sendiri.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


No comments:

Post a Comment