Terkini

Saturday 7 September 2013

PPIM akan wujudkan direktori profil produk dan perkhidmatan Islam

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan mewujudkan satu sistem direktori profil khas untuk produk dan perkhidmatan Islam bagi membantu usahawan terbabit terus berdaya saing dengan produk-produk lain di negara ini.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM kini sedang bekerjasama dengan beberapa pihak lain termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felda, Felcra dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyenarai jenis barangan dan perkhidmatan yang dikendalikan oleh usahawan Islam.
“Pada masa kini, bangsa lain pun boleh membeli atau menubuhkan syarikat dengan menggunakan nama Melayu dan ini mengelirukan umat Islam, justeru dengan wujudnya direktori ini akan menjadi pusat rujukan maklumat untuk semua produk Islam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Usahawan Islam: Bisnes Sebagai Fardu Kifayah anjuran Mentor Niaga Resources dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal dan Anak Yatim Melayu Malaysia (Peyatimas) dan Telekom Malaysia Berhad di sini hari ini.
Nadzim berkata, senario yang berlaku pada masa kini, produk dan perkhidmatan usahawan Islam hanya dapat diperoleh di Pameran Halal Antarabangsa (MIHAS), namun selepas itu, pengguna sukar untuk mendapatkan barangan tersebut di pasaran, baik di kedai runcit mahupun di pasar raya.
“Jika hendak letak produk di pasar raya, usahawan kena bayar yuran penyenaraian, kena letak orang, sehubungan itu sudah sampai masanya diwujudkan sebuah agensi yang menyelaras semua produk Islam di pasar raya, barulah produk mereka mampu bersaing," katanya.
Beliau yang turut menjadi salah seorang panel dalam konvensyen itu berkata, usahawan Islam pada masa kini terpaksa menghadapi pelbagai bentuk cabaran untuk memasarkan produk mereka bukan sahaja kepada luar tetapi dalam kalangan masyarakat Islam sendiri.

(Utusan Malaysia/7 September 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment