Terkini

Tuesday 24 September 2013

Wakaf terpinggir dalam sistem kewangan Islam

KUALA LUMPUR - Wakaf merupakan bahagian yang terpinggir dalam sistem kewangan Islam Malaysia meskipun negara menjadi peneraju pasaran dengan pelbagai produk dan perkhidmatan canggih.  
    
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Badlisyah Abd Ghani berkata: "Malaysia mempunyai daripada produk simpanan paling mudah hinggalah kepada sukuk serta banyak produk canggih bagi pelabur institusi, pelanggan korporat, usahawan kecil dan sederhana dan individu.
    
"(Tetapi) apa yang tidak ada dalam pasaran hari ini ialah wakaf secara komersial," katanya kepada pemberita di luar Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur Ke-10 (KLIFF 2013) di sini, hari ini.
   
Wakaf ialah amalan menyerahkan harta wakaf kepada pihak pentadbir bagi tujuan amal dan kepentingan umum.  
    
Badlisyah berkata, untuk menempatkan wakaf dalam pasaran kewangan, perlu ada rangka kerja undang-undang yang kondusif yang akan membolehkan pemerbadanannya dengan secara efektif.
    
"Jika kita ada undang-undang ini, kelaknya, wakaf boleh menjadi komponen pasaran kewangan Islam yang lebih besar, seperti di era kegemilangan tamadun peradaban Islam sebelum ini," katanya.
    
Badlisyah berkata, bagi membentuk rangka kerja undang-undang itu, perlu ada dialog antara kerajaan persekutuan dan negeri kerana undang-undang berkaitan wakaf ketika ini berada di bawah bidang kuasa majlis agama Islam negeri.
    
Dalam ucapan pembukaannya beliau berkata, rangka kerja undang-undang bagi wakaf sekarang tidak membolehkan percambahan wakaf dalam semua bidang ekonomi.
    
Dalam sesi tengah hari, Badlisyah menggesa kerajaan menyediakan insentif dalam Belanjawan 2014 untuk menggalakkan peserta industri menyenaraikan sukuk di Bursa Malaysia, satu langkah yang akan mengukuhkan lagi pasaran sukuk.      

"Sudah tentu, ini perlu disemak semula dan dikaji oleh Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti dari segi daya majunya tetapi kelaknya, ia mewujudkan komunikasi yang baik ke seluruh dunia bahawa pasaran di Malaysia penting kerana ia berada dalam domain awam," katanya.  
    
Badlisyah berkata, sebagai contoh, di London Stock Exchange, mereka mempunyai sukuk bernilai beberapa bilion dolar yang disenaraikan di bursa itu, dan oleh itu mereka mendakwa mereka merupakan satu daripada pasaran sukuk terbesar di dunia, meskipun sesetengah daripada sukuk ini diterbitkan di luar London.  
    
"Ia adalah sama di Malaysia. Kita telahpun mempunyai bilangan sukuk terbesar di dunia, tetapi ia hanya tidak disenaraikan dan tidak berada dalam domain awam," katanya.  
    
Dengan penyenaraian sukuk, ia akan menggalakkan lebih banyak dagangan sukuk oleh individu dan jumpaan harga juga lebih baik kerana ia tersedia kepada umum, membawa kepada pasaran sukuk yang lebih rancak.  - Bernama/24 Sep 2013

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment