Terkini

Monday, 16 September 2013

Pengenalan Sistem Pusaka Islam

1. Islam Mengambil Berat Mengenai Dengan Ilmu Pusaka
Ilmu Pusaka adalah salah satu dari cabang Ilmu Fiqh yang sangat diambil berat oleh Islam dan dipandang sangat tinggi nilainya.Oleh itu Islam disamping menyuruh umatnya mempertingkatkan sistem pusaka Islam dengan betul, dan meberi amaran keras kepada sesiapa yang cuba meringan-ringankan atau meninggalkan sistem Allah ini ia menyuruh kita mempelajari dan mengajarnya. Antara Dalil-dalilnya ialah seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu majah dan darul Qutni di bawah ini:- 
ﺗﻌﻠﻤﻮا اﻟﻔﺮا ﺋﺾو ﻋﻠﻤﻮهﺎ ﻓﺎ ﻧﻬﺎ ﻧﺼﻒ اﻟﻌﻠﻢ وهﻮ ﻳﻨﺴﻲ وهﻮ اول ﻳﻨﺰع ﻣﻦ اﻣﺘﻲ
"Daripada Abi Hurairah ra berkata, Sabda Rasulallah saw : Hendaklah kamu mempelajari Ilmu Faraid dan ajarkanlah akannya, kerana ia adalah setengah ilmu , ia adalah dilupakan dan ia adalah sesuatu yang mula dicabutkan dari umatku". 
Dan sabdanya lagi:- 
اﻟﻌﻠﻢﺛﻼﺛﺔ وﻣﺎ ﺳﻮى ذﻟﻚ ﻓﻀﻞ أﻳﺔ ﻣﺤﻜﻤﺔ او ﺳﻨﺔ ﻗﺎ ﺋﻤﺔ او ﻓﺮﻳﻀﺔ ﻋﺎدﻟﺔ
"Daripada Abdullah Bin Amru, bahawa Rasulullah saw telah bersabda: Ilmu itu ada tiga macam, dan yang lainnya adalah lebihan, iaitu Ayat Muhkamah atau Sunnah yang tegap atau Faridah(pembahagian Pusaka) yang adil." (Riwayat Abu Daud). 

2. Pusaka Mengikut Syarak 
Ialah suatu hak yang boleh dibahagikan dan sabit kepada yang berhak setelah yang berhak dahulu itu mati, kerana ada hubungan kerabat, suami isteri atau wala’ atau perjanjian. 

3. Maksud hak ialah semua jenis-jenis hak yang merangkumi harta benda dan lainnya seperti hak qisas dan shafaat.

4. Rukun-rukun Pusaka 
Sepertimana ilmu-ilmu yang lain, Pusaka juga mempunyai rukun-rukunnya bagi memastikan pusaka dapat ditentukan dengan sah mengikut hukumnya. Di bawah 
ini dijelaskan rukun-rukunnya iaitu:- 
i.Pewaris ( Si mati) 
ii.Waris ( ahli waris yang berhak ) 
iii.Yang diwaris ( harta atau sebagainya) 

5. Sebab-sebab Pusaka 
Selain daripada rukun, sistem pusaka dalam Islam melihat juga kepada beberapa sebab yang menjadikan seseorang itu berhak menerima harta pusaka keluarganya yang telah meninggal dahulu itu. Dengan sebab-sebab inlah seseorang waris itu boleh mendapat pusaka iaitu:- 
i. Pernikahan 
ii. Kerabat 
iii.Wala’ (pembebasan hamba) 
Ayat An-Nisaa’:12 ini adalah sebagai dalil menunjukkan sebab pernikahan.
Maknanya: 
“Dan bagimu (suami-isteri) seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat seperempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya para isteri memperoleh seperempat harta yang kamu tingalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperoleh seperdelapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan ayah dan tidak 
meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu saja) atau seorang saudara perempuan (seibu saja), maka bagi masing-masing dari kedua jenis saudara itu seperenam harta. Tetapi jika saudarasaudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang sepertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang demikian itu sebagai) syari’at yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.” 

6. Syarat-syarat Pusaka 
Selain daripada rukun dan sebab, sistem pusaka islam juga telah menentukan syarat-syarat bagaimana seharusnya pusaka itu dibahagikan iaitu:- 
i.Pewaris mati dahulu 
ii.Waris hidup semasa kematian pewaris 
iii.Tidak ada perkara yang menegah waris menerima pusaka iaitu:- 
 a.Perhambaan 
 b.Membunuh 
 c.Berlainan agama

7. Apa dia peninggalan si mati (At-Tarikah) 
i. Menurut Mazhab Shafie ialah segala apa yang menjadi kepunyaan si mati di masa hidupnya kemudian ditinggalkan untuk pewaris-pewarisnya samada harta benda, hak kepunyaan, begitu juga apa yang termasuk ke dalam miliknya setelah ia mati. 
Di dalam Nihayah al-muhtaj: 
“Peninggalan si mati ialah apa-apa yang ditinggalkan untuk orang kemudian daripadanya dari suatu hak seperti jenayah, tuduhan berzina, atau ikhtisas, atau mal seperti arak yang telah menjadi cuka setelah matinya, diyat yang diambil dari pembunuhnya, kerana diyat itu termasuk ke dalam miliknya, begitu juga apa yang termasuk ke dalam pukatnya yang telah dipasang di masa hidupnya.” 
Sabda Rasullulah s.a.w. yang maksudnya: 
“Sesiapa yang telah meninggalkan harta atau sesuatu hak maka untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan bebanan atau anak (yang tidak ada sesiapa yang menanggung) adalah kepada saya (saya yang menanggung).”

8. Mempusakai kegunaan dan perkara-perkara harus 
i. Dalam Mazhab Shafie: 
 Kegunaan si mati semasa hidupnya seperti sewaan atau pinjaman atau wakaf yang dimiliki oleh pewaris itu diambil alih oleh waris-warisnya. Dalam Syarh al-Mahalli: “Sewaan tidak terfasakh dengan mati salah seorang dari yang berakad bahkan berkekalan sehingga habis tempohnya dan waris bagi pihak yang menyewa adalah menggantikannya di dalam menyempurnakan kegunaan itu.” 
ii. Perkara-perkara harus tidak diwarisi seperti seseorang mempunyai rumah membenarkan seseorang lain untuk ia menjadi tetamu di dalamnya, kemudian tetamu itu mati, maka pengharusan yang diperolehi ini tidaklah diwarisi oleh waris-warisnya dan mereka tidak boleh mengambil tempat tetamu itu di dalam menjadi tetamu. 

9. Hak yang berkaitan dengan si mati 
Setelah seseorang itu mati, sebelum harta-hartanya dibahagikan mengikut sistem faraid atau pusaka, beberapa hak perlau ditunaikan mengikut tertib seperti berikut:- 
i. Hak ain
Iaitu hak-hak yang berkaitan dengan ain harta-harta yang ditinggalkan oleh si mati. Oleh itu orang yang mula-mula sekali berhak di dalam harta peninggalan si mati ialah orang yang mempunyai hak berkaitan dengan ain harta itu. Umpa seseorang yang membeli sesuatu benda dari kawannya, kemudian dia mati sebelum ia menerimanya dan membayar harganya, maka si penjual berhak dengan benda itu sehingga dijelankan harganya. 
ii Hak persiapan pengkebumian 
Iaitu perbelanjaan yang dikehendaki untuk dilakukan terhadap si mati dari masa mati sehingga dikebumikan. Perbelanjaan yang dimaksudkan ialah belanja memandikannya, mengkafankannya, membawanya ke kubur dan menannamkannya. Perbelanjaan ini hendaklah secara patut dan tidak berlebih-lebihan. Dalam Mazhab Shafie, Syeikh Syarbini al-Khatib ada menjelaskan bahawa mengadakan jamuan makan dari keluarga si mati dan 
menghimpunkan manusia ke atasnya adalah bidah tidak disunatkan. Oleh itu sesiapa yang membelanjakan sesuatu daripada harta peninggalan si mati , hendaklah diganti. 
ii. Hak hutang piutang
Setelah menyelesaikan belanja pengkebumian, jika ada lebih hartanya, hendaklah diselesaikan hutang piutang si mati. Hutang-hutang ini termasuklah hutang dengan manusia dan hutang dengan Allah. Dalam Mazhab Shafie, hutang Allah hendaklah didahulukan daripada hutang dengan manusia. Hutang-hutang Allah ialah seperti zakat yang belum 
ditunaikan, haji yang belum sempat dilaksanakan, kafarah dan nazar. Hutang dengan manusia seperti hutang wang dan sebaginya. 
iv. Hak wasiat
Setelah selesai menyempurnakan hak-hak yang tersebut tadi, barulah kita sempurnakan wasiat si mati jika ada lebihan hartanya dan tidak lebih satu pertiga daripada baki harta tersebut. Sekiranya lebih daripada satu pertiga, adalah tidak sah wasiat itu yang lebihan tersebut kecuali diizinkan oleh ahli-ahli warisnya. 
v. Harta Sepencarian
Seterusnya, jika ada antara waris-waris yang ingin menuntut harta sepencarian bersama si mati, ia hendaklah mengemukakan tuntutannya ke Mahkamah Syariah sebelum harta itu difaraidkan. Harta Sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. 
vi. Hak waris (Harta Pusaka)
Setelah disempurnakan hak-hak yang disebutkan tadi, bolehlah dibahagikan yang baki itu kepada ahli waris si mati yang berhak mengikut syarat dan tertibnya. 

10. Waris-Waris Yang Tidak Terlindung/Terhalang Oleh Sesiapapun 
Terdapat 5 orang waris di dalam sistem pusaka Islam yang tidak dihalangi oleh sesiapapun di dalam pembahagian harta pusaka si mati, iaitu:- 
i. Suami/ Isteri 
ii. Bapa 
iii.Ibu 
iv Anak Perempuan dan anak lelaki 

11. Beberapa Masalah Semasa Berkaitan Dengan Pusaka
i. Masalah Wasiat dan Harta pusaka. 
Seseorang Islam boleh mewasiatkan hartanya kepada selain daripada ahli warisnya dengan tidak melebihi 1/3 keseluruhan hartanya, bukan harta yang diwasiat sahaja. Jika melebihi kadar 1/3, harta yang lebih boleh dimiliki oleh penerima wasiat hanya dengan izin ahli-ahli waris. Jika tidak ada izin, penerima wasiat hanya boleh mengambil 1/3 sahaja. Mewasiatkan harta kepada ahli waris adalah tidak sah mengikut hukum syarak walaupun tidak melebihi 1/3 atau dengan keizinan ahli waris yang terlibat. Diriwayatkan dari Said Bin Abi Waqas r.a bahawa dia pernah bertanya dalam sakitnya "Ya Rasulallah saw, bahawa hartaku banyak dan tidak ada yang diwarisi harta itu kecuali anakku yang perempuan, bolehkah aku mewasiatkan hartaku semuanya ?". Rasulallah saw menjawab:"Jangan. Dia bertanya lagi." Kalau dua pertiga bagaimana?. Baginda menjawab."Jangan.Aku bertanya lagi."Bagaimana 
kalau 1/2?. Beliau menjawab," Jangan.Aku bertanya lagi, "Sepertiga?. Baginda menjawab."Ya boleh dan sepertiga itu banyak.Sesungguhnya apabila engkau tinggalkan ahli waris engkau itu kaya, lebih baik daripada engkau tinggalkan 
mereka dalam kemiskinan meminta-minta kepada manusia." 
Diriwayatkan daripada Abu Umamah r.a berkata ia. Telah bersabda Rasulallah saw di dalam pidatonya dalam haji wida'"Sesungguhnya Allah telah memberikan tiap-tiap orang empunya hak akan haknya,oleh sebab itu tidak boleh berwasiat untuk ahli waris." 
Di dalam kes Sheikh Abdul Latif dan lain-lain lwn. Sheikh Elias Bux (1915) 1 (FMSLR 204)
Telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di Selangor bahawa sahnya wasiat danpembahagian harta seorang Islam hendaklah mengikut undang-undang Islam seperti yang ditadbir oleh Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan di bawah undangundang Islam seseorang Islam tidak boleh mewasiatkan lebih dari 1/3 dari harta kepunyaannya pada masa ia meninggal dunia dan baki hartanya hendaklah dibahagikan kepada ahli warisnya mengikut bahagian yang ditetapkan oleh undang-undang Islam.

Dalam kes ini Sheikh Elias Bux telah membuat wasiat dalam tahun 1913 dan meninggal dunia tahun 1914. Wasiatnya supaya hartanya dibahagikan sama rata antara anak angkatnya, dua balunya dan anak perempuannya. Dia juga ada meninggalkan waris lain iaitu seorang saudara perempuan dan dua orang saudara lelaki. Seorang saudara lelakinya telah menuntut di mahkamah mengatakan wasiat tidak sah dan ia telah diterima oleh Mahkamah dan diperintah supaya wasiat di bahagikan ikut hukum faraid Islam. Rayuan di Mahkamah Rayuan juga telah ditolak. 

Dalam kes Amanullah bin Haji Ali lawan Hajjah Jamlilah (1975) 1MLJ.70. Telah diputuskan di Mahkamah Tinggi bahawa wasiat yang cuba memberi lebih 1/3 dari harta kepada seorang anak lelakinya adalah tidak sah dan diperintahkan diberikan kepada ahli waris yang lain mengikut hukum syarak. 
ii. Menghibahkan Harta Semasa Hidup 
Seseorang Islam boleh menghibahkan hartanya kepada sesiapapun semasa hidupnya, sebahagian atau keseluruhan hartanya. Ini boleh berlaku kepada mereka yang tidak mempunyai anak kandung yang tidak mahu hartanya berpindah secara faraid kepada saudara-saudaranya yang lain. Hibah boleh dibuat dengan menukarkan nama ke dalam geran tanah/rumah/kereta. 
Hibah pada istilah syarak ialah suatu aqad yang mengandungi pemberian milik oleh seorang terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan('iwad). 
Dari segi istilah, hibah adalah berbeza dengan pemberian(gift) dalam undangundang Inggeris, di mana perkataan "pemberian" itu adalah lebih luas pengertiannya jika dibandingkan dengan hibah, di mana istilah"pemberian" itu lebih umum dan merangkumi semua jenis pindak milik. Manakala pengertian hibah adalah sempit dan mempunyai konsep undang-undang yang khusus. 
Dalam Islam, hibah sudah sah dengan adanya ijab dan qabul dengan perkataan yang memberi erti memberi milik harta tanpa balasan.Mengikut mazhab Shafie, bahawa penerimaan (qabul) itu hendaklah diambil kira dalam menentukan sah atau tidaknya hibah. Begitu juga, penerimaan barang adalah satu dari syarat sah hibah. Ertinya, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal. 

iii. Penama(Nominee) Pada Takaful/Wang KWSP/Tabung Haji 
 Dan sebagainya. 
Mengikut hukum syarak, penama yang ditulis di dalam skim-skim wang simpanan seperti Takaful/ KWSP/Tabung Haji dan sebagainya tidak dengan sendirinya menjadi hak milik kepada penama tersebut dan tidak sah menurut Islam. Ia masih tertakluk kepada pembahagian faraid. Oleh itu, wang-wang tersebut menjadi peninggalan harta si mati dan hendaklah dibahagiakan secara faraid. 
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tahun 1973 juga telah memberikan pendapatnya dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 20 Sept.1973 seperti berikut: 
"Penama-penama KWSP, Wang Simpanan Pejabat Pos,Bank, Insuran dan Syarikat Kerjasama adalah sebagai orang-orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati dari sumber-sumber tersebut untuk dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menurut pembahagian Faraid." 
Dalam mesyuarat Majlis Raja-raja(Negeri-negeri yang mengambil bahagian sahaja) yang ke 117 pada 21 Feb. 1980, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah mengemukakan pendapat dan telah dipersetujui oleh Majlis mengenai perkara penama (Nominee). Keputusannya adalah seperti berikut:- 
1. Majlis mengambil ingatan bahawa orang-orang yang beragama Islam tidak boleh melantik penama(Nominee), dan 
ii. Majlis bersetuju YB Peguam Negara menggubal undang- Undang supaya orang-orang yang beragama Islam tidak  Dibenarkan melantik penama (Nominee) Soal penama telah timbul di dalam kes Re Ismail bin Rentah(si mati), (1939) FMSLR. 230. (1940) MLJ. Di dalam kes ini, si mati telah menjadi ahli Syarikat Koperasi Pegawai Melayu Perkhidmatan Awam dan telah menamakan anak perempuannya untuk menerima saham dan faedahnya di dalam syarikat itu apabila dia meninggal dunia. Dia telah meniggal dunia dan telah meniggalkan beberapa ahli waris termasuk ibunya, balunya, anak perempuan, seorang saudara lelaki dan seorang saudara perempuan. Penolong Pendaftar Syariakt di Kuala Pilah telah memerintahkan saham dan faedah si mati dari syarikat itu dibahagikan kepada ahli waris. Penama tidak puas hati dan telah merayu kepada Mahkamah Tinggi dan Hakim Raja Musa telah menolak rayuan tersebut dan memutuskan supaya jumlah wang itu dibahagikan 
kepada semua ahli waris mengikut hukum faraid. (e-Muamalat)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment