Terkini

Thursday, 1 August 2013

Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Pasaran Kewangan Islam Malaysia memperkenalkan identiti jenama ikonik baharunya iaitu 'Malaysia: Pasaran Kewangan Islam Dunia' yang diyakini mampu meletakkan negara ini sebagai satu daripada peneraju dalam komuniti kewangan global.
Selaras dengan pelancaran ikonik baharu itu, kerajaan berharap lebih banyak transaksi pelbagai mata wang merentas sempadan akan dijalankan di negara ini memandangkan Malaysia memiliki pasaran kewangan Islam yang komprehensif dan menunjukkan peningkatan sejak 30 tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan pelancaran tersebut berkata, tahap kecanggihan yang terdapat dalam Pasaran Kewangan Islam Malaysia hasil pencapaian dan usaha gigih semua komuniti industri kewangan Islam kini tersedia untuk seluruh dunia.
"Saya ingin mengambil peluang untuk mempelawa komuniti kewangan global datang ke Malaysia untuk memanfaatkan pasaran kewangan Islam kami. Hasrat kami adalah agar lebih banyak transaksi pelbagai mata wang merentas sempadan akan dijalankan di sini.
"Kini terpulang kepada peserta dan peneraju pasaran untuk membangun dan memacu industri ini selain meningkatkan saling hubungan demi kemajuan pasaran kewangan Islam global," katanya semasa merasmikan pelancaran tersebut di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan diberi taklimat hampir dua jam oleh Lembaga Pengarah Bank Negara diketuai Zeti Akhtar mengenai perkembangan terkini ekonomi, kewangan serta prospek masa hadapan.
Mengulas lanjut Najib berkata, bakal pengguna kewangan Islam global yang menjalankan aktiviti perniagaan di Malaysia akan menikmati persekitaran yang cukup kondusif hasil rangka kerja pengawal seliaan, syariah serta undang-undang mantap di negara ini.
"Pasaran Kewangan Islam di Malaysia menyediakan kepakaran, produk inovatif dan aktiviti pelaburan yang aktif. Platform kewangan Islam juga amat luas untuk dimanfaatkan oleh para peserta sejagat meliputi antaranya bidang perbankan, sukuk, ekuiti dan takaful," katanya.

(Utusan Malaysia/1 Ogos 2013)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment