Terkini

Saturday, 24 August 2013

Bandar raya Islamik di UIAM Gombak


Kuala Lumpur: Sebuah bandar raya Islamik bernilai RM800 juta berasaskan model Madinah al-Munawarah di Arab Saudi akan dibina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak. 

Apabila siap nanti, ia akan meletakkan UIAM setaraf universiti unggul lain abad ke-21, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meluluskan projek itu. 


“Bandar raya Islamik yang dibina melalui sumbangan pelbagai pihak akan menjadi hab komersial UIAM dan saya harap universiti awam lain akan meneladani usaha murni UIAM ini. Apabila siap nanti ia akan membuktikan Malaysia sebagai negara moden yang menerapkan nilai Islam yang sederhana,” katanya berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan universiti itu di Pusat Kebudayaan UIAM kampus Gombak, dekat sini, semalam. 


Pada majlis itu, Najib melancarkan projek bandar raya Islamik UIAM dan Kongres Sedunia Integrasi dan Islamisasi Ilmu Pengetahuan (FWCII) 2013. 

Bandar raya Islamik UIAM akan dibina di kawasan seluas tujuh hektar berkonsepkan pembangunan bandar atas air dan dijangka siap dalam tempoh lima hingga tujuh tahun. 

Pembangunan bercampur 
Projek itu membabitkan pembangunan bercampur merangkumi pusat Islam, pusat perubatan, pusat persidangan, pangsapuri, hotel, pusat beli-belah dan medan selera. 

Projek usaha sama UIAM dan Gunung Land Sdn Bhd itu terletak di antara Stadium Sayyidina Hamzah dan Jalan Sungai Pusu, kampus Gombak. 

Turut hadir Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim; Rektor UIAM, Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin dan Pengerusi FWCII, Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan. 

Sempena ulang tahun UIAM, Najib mengisytiharkan institusi pengajian tinggi awam itu sebagai Universiti Islam Antarabangsa Premier dengan harapan ia terus melahirkan graduan dalam bidang agama, ekonomi dan politik. 

“Sasaran strategik UIAM adalah untuk mengubah statusnya sebagai universiti Islamik premier dengan pengiktirafan global dalam kegiatan penyelidikan,” katanya. 

Najib turut berharap UIAM akan menjadikan landasan untuk menyatukan kepemimpinan Islam dunia bagi menyelesaikan masalah umat Islam menerusi dialog ilmiah. 

“Ketika negara Islam berhadapan dengan pergolakan, sebaiknya UIAM mengambil langkah untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi ummah,” katanya. (Berita Harian/24 Ogos 2013)


---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment