Terkini

Saturday 24 May 2014

Fungsi Penasihat Syariah

BAGAIMANAKAH kita dapat memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan mematuhi syariah?
Perbankan Islam hanya menawarkan produk dan perkhidmatan yang telah disahkan patuh syariah.
Hal ini kadangkala menjadi tanda tanya masyarakat sejauh manakah proses sesuatu produk dan perkhidmatan yang ditawarkan itu boleh dianggap sebagai mematuhi syariah?
Dalam aspek pematuhan ini, setiap institusi perbankan Islam wajib melantik serta mewujudkan Jawatankuasa Penasihat Syariah selaku badan berkuasa penting bagi pematuhan tersebut.
Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam memasti dan mengekalkan keyakinan pasaran terhadap institusi kewangan Islam.
Ia ditubuhkan di setiap peringkat perbankan, manakala di peringkat Bank Negara pula wujud sebuah Majlis Jawatankuasa Syariah.
Maka, setiap produk dan perkhidmatan perbankan Islam yang dirancang harus mendapatkan kelulusan daripada dua peringkat tertinggi ini sebelum dapat ditawarkan kepada para pelanggan.
Siapakah ahli dalam Jawatankuasa Penasihat Syariah?
Jawatankuasa Penasihat Syariah di peringkat perbankan ini diberikan mandat dalam memastikan perjalanan operasi perbankan Islam selaras dengan prinsip-prinsip syariah.
Bidang kuasanya ialah memberi nasihat kepada pihak pengurusan dalam semua perkara berhubung pembangunan produk patuh syariah yang komprehensif dan bertindak sebagai pusat rujukan dalam semua isu berkaitan syariah.
Jawatankuasa Penasihat Syariah di peringkat perbankan terdiri daripada para ulama Islam dan juga pakar kewangan Islam.
Pihak pengurusan bank akan melantik mereka untuk setiap tempoh dua tahun. Melalui mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Syariah inilah ahli akan bersidang serta membuat kajian dan memberi panduan mengenai isu-isu berkaitan perbankan Islam.
Di samping kewujudan Jawatankuasa Penasihat Syariah di peringkat perbankan, para penasihat akan memberi nasihat mengenai semua aspek syariah berkaitan dengan produk berkenaan, termasuk dokumentasi, penstrukturan dan pelaburan.
Penasihat Syariah perlu memenuhi syarat minimum tertentu untuk layak didaftarkan dengan Bank Negara.
Justeru, apabila satu-satu produk dan perkhidmatan itu dilabel sebagai patuh syariah, para pelanggan boleh yakin bahawa produk dan perkhidmatan itu telahpun mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Penasihat Syariah di peringkat perbankan.
(Utusan Malaysia / 24 Mei 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment