Terkini

Saturday 31 May 2014

Ambil peluang fahami sistem kewangan Islam

BANGI 31 Mei - Komitmen berterusan kerajaan dalam memberi ruang kepada pembangunan sistem kewangan Islam perlu diambil peluang oleh umat Islam untuk memahaminya agar pelaksanaannya dapat dilakukan secara proaktif.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana pelbagai dana dan bantuan kewangan meliputi pelaksanaan kajian serta prasarana telah disalurkan kepada institusi berkaitan.

Katanya, adalah menjadi kewajipan masyarakat di negara ini untuk memahami sistem kewangan berlandaskan syariat secara jelas agar dapat menyemarakkan budaya ‘celik muamalat’ dalam kalangan umat Islam.

“Kerajaan bukan sahaja telah menbina institut pendidikan dan latihan malah menyediakan dana bernilai jutaan ringgit bagi menperkasakan sistem kewangan Islam ini.

“Oleh itu, tiada sebab orang Islam tidak mahu memahami sistem kewangan ini memandangkan pelbagai program telah kita laksanakan bagi memberi pendedahan kepada mereka," katanya ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Muamalah Kewangan Islam sempena Program Dakwah Negara 2014 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Program yang bertujuan memberi kefahaman umum tentang kepentingan kewangan Islam dalam kehidupan itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Dalam pada itu, beliau berkata, Yadim akan meneruskan usaha untuk memberi kefahaman tentang sistem kewangan Islam bukan sahaja kepada pemain industri malah golongan masyarakat.

Beliau yakin, program seumpama itu mampu meningkatkan dan memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan muamalat Islam sekali gus mampu mengamalkannya dalam kehidupan.

“Konvensyen ini memfokuskan empat perkara iaitu pengurusan kewangan, takaful, perbankan Islam dan pelaburan yang meliputi urusan umat Islam seharian,"jelasnya.

(Utusan Online / 01 Jun 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment