Terkini

Saturday 24 May 2014

Almaty Pusat Kewangan Islam

ASTANA (KAZAKHSTAN) 24 Mei- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia akan membantu Kazakhstan untuk menjadikan Almaty, ibu negara lama di bahagian selatan negara itu, sebagai sebuah pusat perbankan dan kewangan Islam.

Perdana Menteri berkata, Bank Negara Malaysia akan menghantar pasukannya ke Kazakhstan dalam waktu terdekat untuk membantu merealisasikan hasrat Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev dan Perdana Menteri, Karim Massimov untuk menggunakan kepakaran Malaysia dalam bidang itu.
"Mereka berdua (Nazarbayev dan Massimov) akui bahawa Malaysia merupakan pelopor dan negara utama dalam perbankan Islam dan kita mempunyai kelebihan, kita mempunyai kepakaran dan kita juga mempunyai produk-produk yang begitu meluas.

"Oleh itu, kedua-dua pemimpin ini mencadangkan supaya Malaysia membantu menjadikan Almaty sebagai pusat perbankan dan kewangan Islam di rantau ini,'' katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasmi beliau ke Kazakhstan.

Najib, yang diiringi isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke sini sejak Khamis dalam usaha meningkatkan lagi hubungan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang antara kedua-dua negara.

Sambil menyifatkan lawatannya ke negara ini sebagai berhasil, Perdana Menteri memberitahu, kejayaan itu dilambangkan oleh suasana persahabatan yang amat akrab di antara kedua-dua pihak serta beberapa kesan yang telah dicapai dalam lawatan itu yang akan membuka peluang untuk Malaysia dan Kazakhstan meningkatkan lagi hubungan dua hala.

"Antara perkara yang kita bersetuju ialah potensi perdagangan antara kedua-dua negara, jumlah perdagangan antara dua negara ini perlu dilonjakkan kerana ia tidak mencerminkan potensi ekonomi antara kedua-dua negara kita.

"Tiga MoU yang telah ditandatangani iaitu satu untuk membina sebuah kilang LPG, satu untuk pembinaan sebuah kilang metanol dan satu lagi untuk penternakan lembu daging, yang bernilai kira-kira AS$1.1 bilion akan memberi peluang kepada usahawan-usahawan dari Malaysia untuk meneroka peluang di negara Kazakhstan ini, yang kaya dengan sumber asli yang banyak dan sudah tentu, ini akan dapat memperluaskan lagi peranan Malaysia di Kazakhstan dan di rantau ini," katanya.

Seperkara yang perlu diambil perhatian, kata Najib ialah bahawa pada 29 Mei ini akan termeterai satu `Customs Union' antara Kazakhstan, Belarus dan Russia yang membuka peluang kepada pasaran 170 juta penduduk dan jika usahawan Malaysia melabur di Kazakhstan, mereka akan mendapat peluang untuk mengeksport tanpa tarif ke dua buah negara yang lain.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, Kazakhstan juga telah menggambarkan kesediaan untuk memberi peluang kepada syarikat minyak negara, Petronas untuk melabur dalam bidang minyak dan gas dari segi pengeluaran dan pelaburan dalam bidang hiliran termasuk petrokimia.

Najib seterusnya memberitahu, Malaysia turut menggalakkan lebih ramai pelajar dari Kazakhstan untuk melanjutkan pendidikan tinggi di Malaysia.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 2,000 pelajar Kazakhstan yang sedang menuntut di Malaysia manakala kira-kira 2,000 lagi mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang bahasa.

Malaysia juga turut menjadi antara destinasi percutian yang digemari oleh rakyat Kazakhstan terutamanya di musim sejuk kerana suhu sejuknya yang terlalu ekstrim.

Astana merupakan ibu kota kedua paling sejuk di dunia dengan suhu paling rendah dicatat pada musim sejuk boleh mencapai -40 darjah celsius. Di musim panas suhunya boleh meningkat sehingga lebih 30 darjah celsius.

(Utusan Malaysia / 24 Mei 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment