SETELAH hampir 23 tahun sistem perbankan Islam dilaksanakan dengan jayanya di Malaysia, persoalan apakah perbankan Islam ini dijalankan dengan secara Islam masih lagi kedengaran dan berlegar di fikiran umat Islam. Kepastian adakah perbankan Islam dijalankan secara Islam perlu dikaji secara menyeluruh, bukan sekadar memastikan produk yang dihasilkan oleh sesebuah institusi kewangan memenuhi kehendak syariah. Malah keprihatinan orang awam serta mereka yang bertanggungjawab di institusi kewangan juga sememangnya diperlukan. Penguasaan ilmu pengetahuan mengenai perbankan Islam adalah satu perkara penting yang sering menimbulkan masalah kepada kakitangan sesebuah institusi kewangan itu sendiri dalam membina, melaksana serta memasarkan produk perbankan mereka. Kita tidak rela nanti perbankan Islam di Malaysia diibaratkan seperti hidup segan, mati tidak mahu. Perlu diingatkan bahawa perbankan Islam merupakan satu sistem yang tersendiri dan menyeluruh seperti yang sering ditekankan oleh Pengarah, Jabatan Penasihat dan Perunding Cara Perniagaan, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Roslan Abdul Razak. Kata beliau : ‘‘Sekiranya kita hanya beranggapan perbankan Islam hanya satu produk baru di antara produk-produk konvensional, maka sudah pasti ia akan gagal dilaksanakan menurut lunas-lunas syariah”. Sebagai contoh, pembiayaan secara Islam adalah amat ketara bezanya dengan pinjaman konvensional. Sekiranya anda membuat pinjaman, institusi kewangan akan meminjamkan wang kepada anda untuk membeli sesuatu aset dan seterusnya mengenakan faedah atau riba ke atas sejumlah wang pinjaman. Amalan ini jelas bertentangan dengan syariah yang mengharamkan riba. Sebaliknya jika pembiayaan dibuat menerusi institusi kewangan Islam, institusi kewangan itu akan membeli aset tersebut daripada penjual aset dan menjualkan kepada anda dengan harga kos campur keuntungan. Transaksi ini adalah transaksi jual-beli yang sememangnya digalakkan dalam Islam. Jadi, sistem perbankan Islam amat berbeza dengan sistem perbankan konvensional. Perbezaan ketara ini bukan sahaja dari aspek asas transaksinya, malah segala dokumen, pengasingan dana, perakaunan dan cara perlaksanaannya juga adalah berbeza. Semuanya beredar dan berlegar di ruangan satu sistem yang tersendiri yang dikenali sebagai Sistem Perbankan Islam. Salah satu aspek yang masih ketinggalan dan perlu diberi perhatian ialah ‘kepastian’. Kepastian di mana pihak-pihak yang berkenaan mahupun dari institusi kewangan itu sendiri atau pun dari pihak-pihak yang berwajib untuk memastikan segala urusan berjalan lancar dan tidak melencong dari landasan telah dibina sebelumnya. Lencongan dari landasan ini akan mengundang akibat amat parah yang bakal mengheret perbankan Islam jauh dari tujuan asal. Sikap sambil lewa pihak-pihak tertentu dalam pengesahan sesuatu produk perbankan Islam juga merupakan faktor yang menyemarakkan lagi tuduhan-tuduhan kepada perbankan Islam. Tanpa pemeriksaan rapi ke atas kertas kerja berserta dengan ilmu operasi perbankan yang sedikit telah membuka peluang kepada golongan yang mahukan produk mereka dilancarkan secepat mungkin kepada pelanggan, memanipulasikan fakta yang sebenar dalam kertas kerja mereka untuk memudahkan mendapat pengesahan. Perkara-perkara sebegini perlu diberi perhatian yang serius secepat mungkin sekiranya kita mahu berjaya dan mengembalikan kepercayaan awam terhadap produk perbankan Islam. Sekiranya kita meneliti transaksi yang dijalankan di institusi kewangan sekarang, terlalu banyak kealpaan telah berlaku dan akan terjadi. Kealpaan yang mungkin tidak disengajakan atau buat-buat disengajakan oleh pihak-pihak yang tertentu. Kealpaan ini sering dikesan berlaku di dalam aplikasi sesuatu kontrak yang diguna pakai di dalam sesuatu produk terutamanya dari segi transaksinya mahupun dokumentasinya. Apa yang perlu dikhuatiri adalah apabila isu-isu ini dibangkitkan oleh pelanggan yang ingkar (default customer) di mahkamah sivil. Kita perlu sedar, kontrak Bai’ Bithaman Ajil yang diguna pakai sekarang memang banyak pertikaian mahupun dari penggunaan kontrak tersebut mahupun amalannya walaupun kontrak ini telah diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Kebangsaan, Bank Negara Malaysia. Dalam usaha untuk membantu mengurangkan kritikan ini, pihak institusi kewangan perlu memastikan transaksi kontrak dilaksanakan dengan baik dan kemas seperti mana yang digariskan oleh Bank Negara Malaysia. Jangan biarkan nila yang setitik itu tumpah ke belanga kerana nila tersebut akan merosakkan kesemua susu dalam belanga. Penggunaan kontrak tersebut secara elok dan pemantauan yang serius perlu dilaksanakan. Mudah kata, ia adalah seruan kepada pihak-pihak berkenaan untuk lebih serius dalam memastikan transaksi perbankan Islam dilakukan seperti mana yang tercatat di dalam Panduan Perbankan Islam itu sendiri. Semakan yang terperinci kepada segala dokumen serta perjalanan urusan perbankan Islam adalah amat perlu. Yang baik kita jadikan cemerlang agar perbankan Islam di Malaysia gemilang serta mempunyai produk-produk terbilang yang patuh syariah. Sementara itu, yang salah kita perbaiki dan jadikan sempadan supaya kesilapan sama tidak berulang. Tugas yang mencabar ini dicadangkan perlu dipertanggungjawabkan kepada bahagian audit dengan kerjasama Penasihat Syariah sesebuah institusi kewangan. Sekiranya aspek ini diberi penekanan, sudah pasti soalan-soalan seperti adakah perbankan Islam tidak dijalankan secara Islam akan berkubur dengan sendirinya. Marilah kita sama-sama berusaha memadamkan soalan-soalan seumpama itu kerana ia tidak sepatutnya bermain-main lagi di telinga, apatah lagi setelah hampir 23 tahun perbankan Islam bertapak di Malaysia.
No comments:
Post a Comment