Terkini

Wednesday 27 June 2007

UAE pintas Malaysia jadi pusat kewangan Islam antarabangsa

DUBAI, 27 Jun – Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka memintas Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa apabila terbitan sukuk Islamnya dianggarkan berjumlah 55 peratus daripada jumlah sukuk global menjelang akhir tahun ini. Malaysia mendapat gelaran itu dalam tahun 2006 setelah menerbitkan 60 peratus sukuk Islam global. Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Dubai Saad Abdul Razak berkata, keupayaan UAE menarik kemasukan mata wang asing membantunya menjadi pusat perkembangan produk kewangan yang selaras dengan syariat Islam. Malah menurutnya, sesetengah pakar menjangkakan institusi kewangan Islam dijangka mencatatkan peningkatan perolehan dividen di negara itu akan berterusan untuk tempoh jangka masa pendek dan sederhana. “Mereka turut mengunjurkan akan wujud peralihan dari bank-bank konvensional kepada bank Islam dan peningkatan minat bank konvensional bagi mewujudkan platform pembiayaan Islam,” katanya dalam temubual bersama majalah Islamic Business Weekly edisi Dubai baru-baru ini. Temubual yang disiarkan oleh laman web akhbar Al-Bayan berpusat di sini menyatakan pada tahun 2006 bahawa Bank Islam Dubai (DIB) menguasai lebih AS$10 bilion (RM34 bilion) daripada nilai keseluruhan kira-kira AS$25 bilion (RM85 bilion) pasaran sukuk global. “Dalam tahun ini, bank itu dijangka menguruskan terbitan sukuk bernilai AS$16 bilion (RM54.4 bilion), di UAE, Negara-negara Kerjasama Teluk dan Pakistan” kata Saad. Katanya, pasaran sukuk Islam global mula berkembang pesat sejak beberapa tahun lepas seiring dengan pertumbuhan produk pembiayaan Islam dan telah mencatat pertumbuhan mapan antara 10 dan 15 peratus menjelang akhir tahun 1990 an. UAE pula, katanya mulai muncul sebagai pesaing sengit dalam bidang terbitan sukuk Islam pada awal tahun ini dan seterusnya maju ke hadapan untuk menjadi peneraju pusat kewangan Islam antarabangsa daripada Malaysia. Syarikat-syarikat UAE menguasai hampir suku daripada terbitan sukuk utama dunia dalam tempoh bulan Mac 2006 hingga bulan Mac 2007. Semakan tahun sebelumnya mendapati, Dubai berada di tangga kedua dengan nilai terbitan AS$6 bilion (RM20.4 bilion) selepas Malaysia yang menerbitkan 13 sukuk utama bernilai AS$11 bilion (RM37 bilion) dalam tempoh setahun. Pasaran sukuk dipelopori Malaysia dengan terbitan awal bernilai AS$600 juta pada tahun 2002 dan berkembang meliputi aset hartanah, pengangkutan udara, pembinaan dan petrokimia di beberapa buah negara lain seperti Pakistan, Britain, Singapura, Emirate dan Bahrain. Menurut Saad, kemampuan DIB terus menyerlah, apabila dipilih sebagai salah satu bank suruhanjaya utama untuk mengurus dan menyelia pembiayaan Islam bernilai AS$530 juta bagi projek Qatar Gas 2 selain mengurus terbitan sukuk Islam pertama bagi kerajaan Pakistan bernilai AS$600 juta. Pakar-pakar pembiayaan Islam turut meramalkan saiz aktiviti perbankan Islam di UAE akan berkembang maju menjelang tahun 2012 dari paras kini kepada antara 15 dan 25 peratus nilai keseluruhan perbankan Islam. - (Utusan, 27 Jun 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment