Terkini

Saturday, 28 March 2015

Wakaf Korporat Perkasa Ekonomi Umat Islam

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Konsep 'wakaf korporat' dapat memperkasakan ekonomi umat Islam dan menjayakan jihad bisnes, kata Pengerusi Awqaf Holdings Bhd (Awqaf) Tan Sri Muhammad Ali Hashim.

Muhammad Ali yang juga Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berkata konsep wakaf tidak terhad kepada aspek kebajikan seperti tanah perkuburan, madrasah atau masjid semata-mata, sebaliknya turut sesuai dimanfaatkan untuk mengatasi cabaran ekonomi.

"Orang Melayu khasnya dan umat Islam amnya, lemah dalam perniagaan dan rendah penguasaan korporat, menyebabkan mereka terpinggir dalam arus ekonomi global yang diteraju korporat gergasi antarabangsa.

"Wakaf korporat yang bercirikan pengekalan hak miliknya paling sesuai untuk menangani masalah kebocoran dan ketirisan harta kekayaan. Ia berupaya membanteras kemerosotan hak milik korporat Melayu dan umat Islam, sekali gus menegakkan keadilan ekonomi negara," katanya pada majlis memeterai perjanjian jual beli tanah antara Awqaf dan Putrajaya Holdings Bhd (PjH), di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu antara matlamat utama DPIM memperjuangkan wakaf korporat.

"Kami akui usaha untuk menjayakan wakaf korporat ini bukan suatu yang mudah," katanya yang turut menyeru umat Islam di negara ini menghidupkan semula budaya wakaf termasuk ahli korporat dan perniagaan Melayu yang berjaya dengan berwakaf dan berinfak menerusi Awqaf.

Katanya dana wakaf yang diterima akan diusahakan oleh Awqaf dalam bentuk perniagaan yang akan memberi manfaat kepada umat Islam.

"Semua keuntungan bersih tahunan akan menjadi aset tambahan tanpa diagihkan kepada mana-mana pihak iaitu 70 peratus untuk pelaburan semula dan 30 peratus lagi bagi program fisabilillah," katanya.

Perjanjian hari ini melibatkan pembelian tanah seluas 2.24 hektar berharga RM35 juta di Presint 3 yang akan dimanfaatkan sebagai taman korporat dan Kompleks AWQAF.

Muhammad Ali serta Timbalan Pengerusi Awqaf, Mohamad Sahar Mat Din mewakili syarikat itu manakala PjH pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azlan Abdul Karim dan Pengurusan Besar Jabatan Undang-undang dan Perkhidmatan Korporat Aminah Baba.



(Bernama.Com / 26 March 2015)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment