Terkini

Saturday, 17 November 2018

30 individu rugi RM22 juta labur bitcoin


19 November 2018 (Utusan Online)

KAJANG 19 Nov. - Sebanyak 30 individu membuat laporan polis berhubung penipuan skim pelaburan menggunakan bitcoin melibatkan kerugian kira-kira RM22 juta di Balai Polis Kajang di sini, sebentar tadi.

Seorang daripada mangsa, Mohd. Alif Basari, 27, berkata, dia mula membeli 20 bitcoin bernilai RM63, 000 bermula April sehingga Julai 2016.

“Saya membeli bitcoin tersebut secara berperingkat dan melaburkannya menerusi skim yang diasaskan seorang produser sebuah filem pecah panggung.

“Berikutan tawaran pulangannya menarik, saya turut mengajak beberapa rakan sekerja lain untuk melabur sehingga terpaksa berhenti kerja berikutan malu akibat mereka juga turut sama ditipu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, modus operandi digunakan skim tersebut adalah mengumpul semua bitcoin dibeli mangsa dan memberikan pulangan yang dijanjikan dalam beberapa bulan pertama sebelum mula berdolak-dalik selepas empat bulan beroperasi.

“Berdasarkan aduan yang pihak kami terima, sehingga hari ini lebih 300 mangsa terlibat dengan skim penipuan ini membabitkan jumlah kerugian sehingga berbilion ringgit.

“MCCA akan bawa mangsa secara berperingkat untuk membuat laporan polis supaya produser filem tersebut (suspek) akan nampak usaha kami untuk membawanya ke muka pengadilan,” ujarnya.

Menurutnya, MCCA turut menggesa kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas untuk menilai keburukan dan kebaikan bitcoin sebelum merealisasikan penggunaannya di negara ini.

“Sehingga kini, terlalu banyak pendapat berkenaan penggunaan bitcoin dan masing-masing bercanggah.

“Saya sarankan kerajaan melibatkan pertubuhan bukan kerajaan, pakar ekonomi, ahli agama serta agensi keselamatan untuk buat kajian kerana bukan sahaja penipuan akan berlaku malah, bitcoin ini juga menggalakkan gejala rasuah sekiranya tidak ada sebarang mekanisme untuk mengawal penggunaannya,” tegasnya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment