Terkini

Monday 28 May 2007

Takaful keluarga jadi alternatif insurans nyawa berlandaskan Islam

TAKAFUL KELUARGA
PADA 15 Jun 1972, keputusan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa “Insurans nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insurans yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana akadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu;
a. Mengandungi gharar (ketidaktentuan)
b. Mengandungi unsur judi.
c. Mengandungi muamalah riba.”
Sehubungan itu, apakah alternatif yang ada bagi umat Islam di Malaysia, selain daripada insurans nyawa? Jawapannya ialah takaful keluarga. Apakah itu takaful keluarga? Takaful keluarga dapat memberikan perlindungan serta memperoleh simpanan jangka panjang. Istilah perlindungan bermaksud sekiranya berlaku kematian atau keilatan (hilang keupayaan) dan lain-lain musibah ke atas anda ataupun keluarga anda, maka anda akan mendapat pampasan (biasanya dalam bentuk kewangan) yang bersesuaian dengan bentuk musibah dan perlindungan serta sumbangan yang anda pilih. Yang dimaksudkan dengan simpanan pula adalah anda boleh mendapat semula wang sumbangan anda setelah kontrak perlindungan anda matang dan juga mendapat manfaat mudharabah, iaitu perkongsian keuntungan antara syarikat dan anda. Ini kerana sebahagian sumbangan anda akan di masukkan ke dalam perlindungan sekiranya anda ditimpa musibah, manakala sebahagian lagi akan didepositkan sebagai simpanan dan pelaburan, dan anda berhak menikmati pulangan pelaburan daripada sumbangan simpanan. Berikut adalah skim-skim yang terdapat di dalam takaful keluarga :-
SKIM TAKAFUL KELUARGA INDIVIDU (PERSEORANGAN)
Merupakan satu skim perlindungan bercirikan tabungan yang biasa ditawarkan kepada peserta individu untuk melindungi diri atau ahli keluarga mereka. Skim Takaful Keluarga Individu termasuk pelan pelajaran, gadai janji, kesihatan dan rider. Rider atau manfaat tambahan memberi perlindungan tambahan daripada takaful keluarga asas seperti manfaat hospital dan pembedahan. Pelan pelajaran atau lebih dikenali sebagai Skim Takaful Pendidikan bertujuan mewujudkan tabungan bagi pendidikan anak-anak. Keistimewaan skim ini ialah ia boleh memberi manfaat tambahan kepada peserta dan juga anak tanpa melibatkan pembayaran sumbangan tambahan. Di sesetengah syarikat, peserta di benarkan mengeluarkan sebahagian daripada simpanan tabungan untuk tujuan pendidikan anak-anak ketika mereka berusia 15 atau 18 tahun.
SKIM TAKAFUL GADAIJANJI (MRTA)
Skim Takaful Gadai janji atau MRTA ialah pelan takaful keluarga yang melindungi baki pembelian rumah seseorang individu semasa tempoh pembayaran ansuran kepada pembiaya (institusi kewangan atau pihak bank). Skim ini tiada unsur simpanan dalam perlindungannya. Skim ini akan menyelesaikan baki pembiayaan perumahan peserta sekiranya peserta meninggal dunia atau mengalami keilatan kekal. Apabila pembiayaan perumahan telah ditebus, kediaman tersebut akan ditukar milik kepada peserta atau Waris peserta. Peserta hanya membayar sumbangan sekali sahaja bagi takaful gadai janji apabila mengambil pembiayaan perumahan. Kadar sumbangan bergantung kepada umur peserta, jumlah pembiayaan perumahan, kadar keuntungan dan tempoh pembiayaan tersebut. Peserta layak mendapat balik sumbangan takaful secara pro rata ke atas tempoh takaful yang belum lupus, sekiranya peserta menjual rumah tersebut atau membuat penebusan awal pembiayaan perumahan mereka.
SKIM TAKAFUL KELUARGA BERKUMPULAN
Merupakan skim yang direka khas untuk disertai oleh peserta dalam bentuk berkumpulan seperti Koperasi, Persatuan, Pertubuhan, Kesatuan atau mana-mana organisasi yang ingin memberikan perlindungan kepada ahli mereka. Peserta akan menerima manfaat perlindungan daripada keilatan menyeluruh, manakala waris peserta akan mendapat manfaat apabila berlakunya kematian.
SKIM TAKAFUL ANUITI
Merupakan pelan yang memberi pendapatan tetap selepas peserta bersara.
SKIM TAKAFUL BERKAITAN PELABURAN
Merupakan satu skim di mana sebahagian daripada sumbangan peserta akan digunakan untuk membeli unit-unit pelaburan seperti unit saham atau sekuriti yang diluluskan syariah dan bakinya pula adalah untuk perlindungan takaful merangkumi kematian dan hilang upaya kekal. Bagaimana untuk mendapatkannya? Polisi atau sijil takaful biasanya dibeli melalui khidmat perantara yang dipanggil agen atau wakil yang dilantik oleh pengendali-pengendali takaful untuk berkhidmat bagi pihak mereka. Namun pengguna juga boleh menyertai produk takaful secara langsung daripada pengendali takaful yang tidak menggunakan khidmat perantara. Perkembangan teknologi, perubahan nilai dan cita rasa masyarakat serta kemajuan ekonomi negara telah memberi impak yang besar terhadap perkembangan industri takaful seterusnya kepelbagaian pelan-pelan takaful keluarga masa kini. Sebagai pengguna, anda bebas dan harus bijak memilih perlindungan yang lebih baik terutamanya dari segi keperluan, kos mahu pun kualiti perkhidmatan yang diingini. Kebebasan memilih ini selaras dengan kehendak dan tuntutan Islam yang mengutamakan prinsip adil dan ihsan dalam setiap urusan. - (IBFIM siri)

No comments:

Post a Comment