Terkini

Monday 10 November 2008

Apa yang dimaksudkan dengan Takaful


PENGENALAN TAKAFUL
TAKAFUL berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘saling menjamin’ atau joint guarantee. Ia boleh digambarkan sebagai satu perjanjian antara sekumpulan peserta yang bersetuju untuk saling menjamin mana-mana ahli dalam kumpulan itu yang ditimpa kerugian tertentu.
Konsep takaful ini sudah pun wujud pada asasnya sejak sebelum zaman Islam lagi. Pada masa itu, ia dikenali sebagai sistem ‘aqila’ (tanggungjawab bersama) yang dipelopori oleh kaum-kaum Arab pada waktu itu.
Takaful yang dikenali sekarang beroperasi sebagai satu jenis perniagaan (tijari), dan ia berlandaskan prinsip Syariah, iaitu tiada unsur riba, perjudian atau ketidakpastian dalam kontrak dan pengendalian perniagaan takaful itu.
Dalam kontrak takaful, peserta bersetuju untuk menderma sebahagian daripada caruman mereka untuk membantu peserta-peserta lain yang menghadapi kesulitan/kerugian tertentu (ini di kenali sebagai tabarru’). Ia merangkumi unsur perkongsian tanggungjawab, saling menjamin dan melindung sesama mereka. Ini merupakan teras kepada sistem takaful yang menjadikan unsur ketidaktentuan dibenarkan dalam kontrak takaful.
APA YANG MEMBEZAKAN ANTARA TAKAFUL DAN INSURANS
Pada kacamata seseorang yang bukan dari bidang ini, dia akan melihat tiada perbezaan antara kedua-dua sistem tersebut. Selepas diteliti, pada asasnya perbezaannya hanyalah satu, iaitu sistem takaful berlandaskan prinsip Syariah. Akan tetapi, jika diselidiki lebih mendalam, ternyata ada banyak perbezaan antara dua sistem ini. Perbezaan-perbezaan ini boleh dikategorikan seperti berikut:
1. KONTRAK YANG DIGUNAPAKAI:
Dalam sistem takaful, kontrak yang digunapakai ialah gabungan kontrak tabarru’ (derma) dan agensi (wakalah) atau kontrak berkongsi keuntungan (mudharabah). Kontrak dalam insurans pula ialah kontrak pertukaran (jual dan beli) antara penanggung insurans dengan pelanggan (pihak yang diinsuranskan).
2. TANGGUNGJAWAB PEMEGANG
POLISI:
Peserta takaful membuat caruman ke dalam skim dan saling menjamin sesama sendiri dalam skim ini. Di bawah sistem insurans, pemegang polisi membayar premium kepada penanggung insurans.
3.LIABILITI PENGENDALI TAKAFUL / PENANGGGUNG INSURANS:
Pengendali takaful bertindak sebagai pentadbir skim dan membayar manfaat daripada kumpulan wang para peserta. Risiko tidak berpindah dari peserta kepada pengendali takaful. Walau bagaimana pun, sekiranya berlaku kekurangan dalam kumpulan wang para peserta tersebut, pengendali takaful diwajibkan oleh Bank Negara Malaysia memberi pinjaman (tanpa faedah) untuk menampung kekurangan berkenaan. Manakala insurans, penanggung insurans bertanggungjawab membayar manfaat insurans seperti dijanjikan dan ini akan dibayar kepada pelanggan dari wang asetnya.
4. PELABURAN KUMPULAN WANG:
Caruman yang diterima akan hanya dilaburkan dalam instrumen yang memenuhi kehendak Syariah. Bagi syarikat insurans, tiada sebarang sekatan dalam jenis pelaburan yang dibolehkan, selain sekatan yang dikenakan untuk tujuan kehematan.
Di Malaysia, industri takaful bermula sejak tahun 1985 lagi, dengan tertubuhnya Syarikat Takaful Malaysia Bhd. Ia adalah anak syarikat Bank Islam Malaysia Berhad. Sehingga kini, terdapat sembilan syarikat pengendali takaful yang sudah diberi lesen oleh Bank Negara Malaysia. Pada tahun 2005, penembusan pasaran atau market penetration industri takaful di Malaysia hanyalah 5.6 peratus, berbanding 38.7 peratus untuk industri insurans. Ini menunjukkan bahawa industri takaful mempunyai potensi yang amat luas yang perlu diterokai.
Perlu diingatkan bahawa ada perbezaan business model yang digunapakai oleh pengendali takaful di Malaysia kini. Dua model yang dikenali ialah ‘Model Mudharabah’ atau profit/surplus sharing dan ‘Model Wakalah’ atau agency. Pengendali yang menggunakan model mudharabah tidak memerlukan perkhidmatan ejen atau wakil untuk menjual produknya, tetapi menggunakan kakitangan syarikat untuk memasarkan produk-produknya. Model wakalah menggunakan perkhidmatan ejen atau wakil takaful untuk memasarkan produk-produknya. Terpulanglah kepada pelanggan untuk memilih produk atau syarikat yang disenangi.
(Utusan Malaysia, 9-4-08)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment