Terkini

Friday 21 November 2008

Kukuhkan kewangan Islam: Ke arah kestabilan kewangan sejagat


KUALA LUMPUR 20 Nov. - Usaha perlu dilakukan untuk terus membina kekukuhan kewangan Islam dan memantapkan struktur sokongannya dalam memastikan ia terus menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan sejagat.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan bagi menghadapi sistem kewangan antarabangsa yang semakin mencabar.
Beliau menjelaskan, pertumbuhan pesat dalam kewangan Islam adalah berpunca daripada minat yang tinggi daripada masyarakat Islam dan bukan Islam.
''Ini (minat yang tinggi) tidak akan terjadi sekiranya kewangan Islam tidak berupaya untuk memenuhi keperluan pasaran yang pelbagai dan juga tidak kompetitif daripada produk kewangan lain,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Persidangan Institut Kewangan Antarabangsa (IIF) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB), di sini hari ini.
Persidangan satu setengah hari itu telah di anjurkan oleh IIF dan IFSB manakala BNM adalah tuan rumah kepada majlis berkenaan.
Zeti berkata, pasaran kewangan Islam, secara tidak langsung boleh menerima impak daripada kegawatan kewangan semasa seperti mana yang pernah berlaku pada 1997 hingga 1998.
Beliau berkata, dalam usaha menghadapi ke arah pertumbuhan pesat kewangan Islam, hala tuju strategik industri untuk ke hadapan perlu disertakan dengan kecekapan pelaksanaan regim perundangan, kawal selia dan penyeliaan, termasuk mengadakan rangka kerja pengurusan dan pencegahan krisis.
Beliau berkata, ketika kekuatan dan peluangnya diiktiraf, ciri-ciri asas kewangan Islam perlu dipelihara untuk membolehkannya mengekalkan daya tahan dan kestabilan.
Menurut Zeti, dalam usaha membolehkan kewangan Islam disepadu dengan sistem kewangan antarabangsa, asas sistem kewangan tersebut perlu mantap.
Katanya, penggabungan tersebut akan membentuk sistem kewangan Islam yang lebih kebal untuk menghadapi persekitaran global yang lebih mencabar.
Beliau berkata, terdapat dua dimensi penting dalam membuat penilaian terhadap kemampuan sistem kewangan Islam sedia ada untuk menghadapi ujian daripada krisis kewangan dan keduanya, potensi risiko yang bakal dihadapi dalam persekitaran krisis.
Katanya, dengan menerima pakai ciri-ciri penting dan objektif Syariah secara sepenuhnya dan juga amalannya yang sebenar, daya ketahanan sistem kewangan Islam dapat di perkukuhkan.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment