Terkini

Saturday, 5 April 2008

Musyarakah mutanaqisah untuk pembiayaan rumah

KUALA LUMPUR 26 Mac - Musyarakah mutanaqisah boleh digunakan bagi produk pembiayaan rumah mengikut konsep pemilikan bersama institusi perbankan dengan pelanggan menyumbang bahagian modal masing-masing yang diperlukan untuk memperoleh harta berkenaan menurut persetujuan kedua-dua pihak pada permulaan kontrak.
Bank Negara Malaysia dalam Laporan Tahunan 2007 yang dikeluarkan di sini hari ini berkata, musyarakah mutanaqisah ialah suatu bentuk perkongsian dengan salah satu rakan kongsi berjanji untuk membeli bahagian pemilikan rakan kongsi yang lain secara beransur-ansur sehingga ia memiliki sepenuhnya objek perkongsian.
Setelah pelanggan memperoleh sepenuhnya bahagian milik institusi perbankan terhadap harta berkenaan, perkongsian tersebut berakhir dan pelanggan menjadi pemilik tunggal harta itu, kata bank pusat.
Kontrak itu mengandungi unsur-unsur kontrak jual dan pajak (ijarah) yang menjadi keperluan asasi untuk memastikan riba (faedah) tidak wujud langsung dalam urus niaga musyarakah mutanaqisah itu.
Selain itu, pengalaman prinsip-prinsip Syariah dalam kontrak musyarakah mutanaqisah mewujudkan hubungan, hak dan kewajipan khusus bagi setiap pihak yang memeterai kontrak.
Hasilnya, institusi perbankan terdedah kepada risiko pasaran yang berkaitan dengan pemilikan bersama aset berkenaan serta risiko kredit yang berkaitan dengan kewajipan pelanggan untuk memperoleh pemilikan aset dan kewajipan institusi perbankan untuk menjual bahagian pemilikannya terhadap aset tersebut.
Menurut Bank Negara, institusi perbankan perlu menggunakan kaedah yang lebih kukuh disebabkan pendedahan kepada risiko sedemikian, kaedah berkenaan perlu disokong oleh data dan sistem yang telus dan mantap yang mampu mengesan dan memberikan anggaran terbaik tentang kerugian yang mungkin ditanggung akibat perkembangan negatif profil kredit pelanggan.
Proses dan infrastruktur pengurusan risiko institusi perbankan yang menawarkan produk seperti itu perlu dinamik dalam mengenal pasti, mengukur, mengawal dan mengurus semua risiko utama dan amalan pengurusan risiko pada setiap peringkat urus niaga musyarakah mutanaqisah.
BNM berkata, beberapa buah negara juga telah menerapkan keperluan pengawal seliaan tertentu untuk memastikan pengurusan yang bersesuaian terhadap risiko berkaitan dengan kontrak tersebut.
Sebagai contoh, di negara yang menerima pakai rangka kerja kecukupan modal berdasarkan Standard Kecukupan Modal yang dikeluarkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam, kata Bank Negara.
Institusi perbankan Islam dikehendaki memperuntukkan modal pengawalseliaan yang mencukupi bagi menampung pendedahan terhadap risiko harga berdasarkan bahagian yang dimiliki oleh institusi perbankan dalam aset yang mendasari kontrak berkenaan dan risiko kredit yang berpunca daripada sewa terkumpul yang perlu dibayar oleh pelanggan.
Bank Negara berkata, sejajar dengan pengurangan bahagian pemilikan institusi perbankan dalam aset, keperluan modal bagi risiko harga akan berkurang secara beransur-ansur sepanjang tempoh kontrak.
Perkembangan kewangan Islam sebagai suatu bentuk pengantaraan kewangan berdaya maju dengan ciri-ciri khas serta sekatan dan imbangan yang terkandung di dalamnya dapat menyumbang ke arah mempertingkatkan kestabilan kewangan.
- Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

1 comment:

  1. salam...sejauh manakah perkembangan sistem sukuk musyarakah mutanaqisah dan sukuk ijrah d Malaysia kini??

    ReplyDelete