Terkini

Sunday 27 April 2008

Perspektif IKIM: Memastikan keadilan dalam urus niaga

Oleh Mohd Noor Omar

Ekonomi Islam utama kesaksamaan harga, elak unsur penindasan terhadap pengguna

ISLAM menyeru umatnya untuk menegakkan keadilan dalam apa saja urusan, tidak terkecuali dalam muamalah. Meletakkan sesuatu pada tempatnya amat penting termasuk dalam bidang pasaran membabitkan permintaan serta penawaran.

Tekanan pasaran tidak boleh membenarkan berlakunya penindasan dari segi harga atau usaha mengaut keuntungan yang melampau. Kunci kepada penegasan ke atas keadilan dapat dicerap daripada pengharaman riba iaitu mengenakan lebihan kepada satu pihak lain dalam urus niaga.




Hadis Rasulullah SAW menegaskan mengenai imbuhan harga atau imbangan pertukaran yang setimpal dalam pertukaran jual beli. Pendekatan sama digunakan Khalifah Umar al-Khattab dalam menetapkan kadar diyat (pampasan) baru apabila nilai dirham jatuh akibat kenaikan harga barang.

Persoalan imbangan penukaran yang adil menjadi asas kepada pertukaran barang rosak atau ada kecacatan. Jika berlaku kerosakan barang pertukaran, harga asal bagi barang itu tidak boleh dijadikan lagi asas pertukaran kerana sudah menjadi tidak adil.

Tindakan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggenapkan kepada lima sen terdekat bagi harga barang baru-baru ini satu tindakan yang wajar.

Namun, pengguna atau pembeli harus berwaspada helah peniaga dan peruncit. Bukan bermakna mereka penipu, tetapi sekurang-kurangnya pembeli berwaspada supaya tidak diperdaya dengan helah mengaut keuntungan pihak tidak bertanggungjawab.

Apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana jika berlaku kenaikan harga yang tidak wajar ke atas sesuatu barang dagangan asas (komoditi) seperti kenaikan harga beras yang bakal mencetuskan krisis alami (global) akibat kurangnya bekalan.

Thailand dilaporkan menganggarkan kenaikan harga beras sebanyak 25 peratus tahun ini. Sementara mi dan barang berkaitan juga dilaporkan meningkat sekitar 20 sen hingga 70 sen bagi setiap sekilogram.

Dari masa ke masa, harga barang naik mengikut musim tertentu. Bermula musim harga gula naik hinggalah kepada ayam dan kini tepung. Adakah benar kekurangan bekalan menjadi punca utama atau ada sebab lain yang perlu diberi tumpuan?
Bagaimana dan apa usaha yang boleh dilakukan untuk mengelak daripada kenaikan itu memberi penindasan dan tekanan kepada pihak tertentu. Menjawab persoalan ini adalah tanggungjawab kita memahami ruh Islam sebagai keutamaan.

Ramai berfikiran perkara ini remeh. Jika dikaji, tidak pernah berlaku kekecohan harga barang turun akibat lambakan sesuatu barang. Adakah kita hanya mengaitkan tekanan pasaran jika harga barang naik, tetapi tidak ada perubahan harga pasaran jika ada kelebihan penawaran atas permintaan.

Apabila berlaku kenaikan harga, keseluruhan harga tambahan itu dipindahkan kepada pengguna. Pemborong, pengedar dan peruncit akan memindahkan kepada pengguna, manakala kadarnya pula bergantung kepada jenis barang atau perkhidmatan.

Kebiasaannya, bagi barang keperluan, semua beban kenaikan diletakkan di atas bahu pengguna atau pembeli akhir. Akibatnya, mereka terpaksa membeli dengan harga yang mahal hanya kerana pemborong atau peruncit menaikkan harga barang.

Keseluruhan pusingan keadaan itu memberi peluang kepada peniaga dengan alasan harga barang mentah naik mengenakan harga lebih tinggi. Kadar inflasi dan nilai kuasa beli pengguna akan menghadapi masalah. Masalah ini berlaku di negara lain.

Jika kita tinjau kaedah pemikiran ekonomi cendekiawan Islam silam, kita dapati persoalan agihan pemilikan harta dan kesaksamaan harga diberi perhatian dalam urusan seharian negara dan pemikiran mereka turut terkenal di negara Barat.

Pada prinsipnya pemikir ekonomi Islam bersetuju tidak meletakkan satu asas keputusan bagi penentuan harga dan memadai berpandangan bahawa pasaran yang akan menentukan harga barang.

Rasulullah SAW tidak memberi apa-apa bantahan atau persetujuan ketika diajukan persoalan penetapan harga. Mereka juga tidak menolak kepentingan berpegang kepada syura, kerjasama, adil dan telus.

Mengulas hal itu, unsur riba diletakkan sebagai asas utama mengelak berlakunya penindasan. Amalan riba mengakibatkan berlakunya imbuhan tidak wajar sejak awal permulaan sesuatu usaha pengeluaran, agihan dan perkongsian.

Bermula daripada perkongsian menghasilkan sesuatu, imbuhan berlebihan dalam usaha itu menaikkan harga barang atau perkhidmatan dihasilkan.

Jika amalan riba pada peringkat awalan sudah menjejaskan rangkaian keseluruhannya, bagaimana amalan riba yang berlaku di setiap cabang perusahaan dan pertukaran.

Amalan perbankan perlu diperhalusi supaya berdiri atas falsafah sebenar ekonomi Islam dan tidak membiarkan pasaran menentukan keseluruhannya. Permintaan kepada modal dan penawaran jenis perkhidmatan dalam pasaran modal meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama.

Jika ada sebarang pertikaian antara akad asal dengan apa yang ingin ditawarkan, usaha pengubahsuaian akan dibuat supaya membolehkannya. Jika kita perhalusi akad yang ada antaranya dipanggil qard al-hasan, bai' inah dan murabahah atau bai' bithamanil ajil dalam pasaran perbankan, tiada beza seperti pinjaman konvensional biasa.

Walau bagaimanapun, ini bukan bermakna akad itu batal, tetapi perlu diperhalusi apakah helah di sebalik akad itu supaya pengguna tidak terdedah kepada risiko tidak patuh syariah.

Ada bank perdagangan Islam menawarkan skim pinjaman qard al-hasan berdasarkan kepada jual beli mata wang asing. Qard al-hasan (pinjaman tanpa bunga) yang diberi kepada peminjam sebanyak RM150,000 contohnya, perlu membeli daripada bank mata wang Saudi riyal 100,000.

Bank akan membeli mata wang Saudi riyal itu kemudian dengan harga RM100,000 dan membayar dengan harga RM100,000 kepada peminjam. Peminjam kemudian membayar balik kepada bank kadar pinjaman asal yang diberikan iaitu RM150,000 secara bertangguh yang dipanggil qard al-hasan.

Perkara begini yang diberi nama lain berlaku dalam sesetengah akad pinjaman peribadi dan diamalkan bank. Dengan mengambil fahaman hadis Rasulullah SAW mengenai riba dan membuat sedikit penyelarasan kepada keadaan perkhidmatan, bank berjaya memberi pinjaman yang pada luarnya sah di sisi syarak, tetapi mengenakan kadar lebihan yang sudah semestinya menekan peminjam yang mendapat wang tunai RM100,000 dan perlu membayar RM150,000 bagi tempoh tertentu.

Menetapkan kadar harga kepada barang atau perkhidmatan amat penting daripada menamakan barang atau perkhidmatan, atau menentukan jenisnya kerana ia boleh membabitkan isu mencabar keadilan.

Seterusnya, kesan cariknya keadilan agihan dan imbuhan akan membawa kepada tergugatnya keadilan kemasyarakatan. Jika falsafah keadilan dikesampingkan oleh ummah, bagaimana Islam dapat teguh berdiri.

Menghapuskan ketidakseimbangan dalam muamalah tidak terhenti kepada bentuk barang dan perkhidmatan, tetapi lebih menyeluruh sifatnya terutama memperhalusi falsafah dan faham keadilan.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia


INTI PATI:
  • Tekanan pasaran tidak boleh membenarkan berlakunya penindasan dari segi harga atau usaha mengaut keuntungan yang melampau.
  • Persoalan imbangan penukaran yang adil menjadi asas kepada pertukaran barang rosak atau ada kecacatan.
  • Pembeli perlu berwaspada supaya tidak diperdaya dengan helah mengaut keuntungan pihak tidak bertanggungjawab.
  • Pemikir ekonomi Islam bersetuju tidak meletakkan satu asas keputusan bagi penentuan harga dan memadai berpandangan bahawa pasaran yang akan menentukan harga barang.
  • Unsur riba diletakkan sebagai asas utama mengelak berlakunya penindasan dalam urus niaga.
  • Amalan perbankan perlu diperhalusi supaya berdiri atas falsafah sebenar ekonomi Islam dan tidak membiarkan pasaran menentukan keseluruhannya.
  • Kesan cariknya keadilan agihan dan imbuhan akan membawa kepada tergugatnya keadilan kemasyarakatan.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


No comments:

Post a Comment