KUALA LUMPUR 16 April 08- Affin Holdings Bhd. (Affin) merancang untuk menembusi pasaran kewangan Islam di China ekoran kedudukan Bank of East Asia Ltd. (BEA) yang kukuh di negara tersebut.
BEA mempunyai kepentingan sebanyak 15 peratus dalam Affin dan merupakan rakan strategik syarikat itu.
Pengarah Urusan Affin, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, langkah yang bakal diambil itu merupakan cara terbaik untuk menyokong BEA.
''Affin melihat potensi pasaran kewangan Islam boleh dikembangkan di negara tersebut memandangkan jumlah penduduk Islam negara tersebut adalah ramai.
''Selain itu, ia merupakan langkah wajar memandangkan kami tidak mungkin bersaing dengan BEA tetapi lebih kepada mencari sesuatu yang baru untuk diperkenalkan,'' katanya selepas mesyuarat agung tahunan Affin di sini hari ini.
Affin sedang dalam proses perbincangan dan meneliti garis panduan dengan pihak berwajib di China, sebelum meneruskan hasrat menyediakan perkhidmatan perbankan Islam di sana, jelasnya.
Lodin berkata, kedudukan modal Affin yang kukuh serta hutang semakin berkurang membolehkan ia berada di landasan yang baik untuk mempelbagaikan perniagaan, termasuk mengambil alih syarikat di luar negara.
''Kami sedang meninjau pasaran serantau terutama di kawasan Asia Tenggara seperti Vietnam dan Indonesia yang mempunyai prospek cerah. Namun kami tidak akan terburu-buru membuat keputusan tersebut kerana sasaran kami adalah untuk mengambil alih syarikat yang mempunyai kedudukan kukuh bukan memiliki syarikat yang tenat dan sukar untuk dibangunkan,'' katanya.
Selain itu, Affin telah menerima kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggabungkan tiga entiti perbankan iaitu Affin Bank, Affin Investment dan Affin Islamic di bawah Affin Capital Sdn. Bhd.
''Penggabungan itu, akan dapat menawarkan pilihan produk perbankan dan pelaburan yang memenuhi keperluan ekonomi negara yang sedang pesat,'' katanya.
Tambah Lodin, mereka yakin momentum pertumbuhan syarikat akan dapat diteruskan pada tahun kewangan ini.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com
No comments:
Post a Comment