Terkini

Wednesday 23 April 2008

Perbankan Islam di Asia Timur berkembang - Moody's

KUALA LUMPUR 14 April - Perbankan Islam di Asia Timur sedang berkembang tetapi perlu lebih banyak tindakan oleh pengawal selia untuk mewujudkan rangka perundangan dan kawal selia supaya ia dapat muncul sebagai satu segmen signifikan merentasi rantau ini, demikian menurut Moody's Investors Service.
Kecuali Malaysia, di mana aset industrinya mewakili 15.4 peratus (kira-kira AS$62 bilion atau RM195.9 bilion) daripada aset sistem perbankannya, penerokaan pasaran merentasi rantau ini agak tidak lengkap, kata syarikat itu dalam satu laporan terbaru bertajuk Perbankan Islam di Asia Timur - Berkembang Tapi Tidak Terlepas Dari Cabaran.
"Sebagai contoh, sementara Perbankan Islam telah mencapai penerokaan pasaran yang tinggi secara relatifnya di Brunei dan aset di Indonesia pantas berkembang, perkhidmatan perbankan Islam yang terdapat di Filipina, Singapura dan Thailand kekal kecil segi saiz aset.
"Di sana wujud potensi perniagaan semula jadi bagi perkhidmatan perbankan Islam memandangkan kira-kira 60 peratus daripada jumlah penduduknya ialah orang Islam, tetapi langkah reformasi oleh kerajaan yang diambil 20 hingga 30 tahun lepas sebenarnya yang telah membantu membangunkan rangka perundangan dan kawal selia dan institusi yang sesuai bagi industri untuk berkembang subur," kata penganalisis dan penulis laporan itu, Christine Kuo.
Penggunaan pelbagai insentif, termasuk pengecualian cukai, telah juga ternyata terbukti kritikal dalam menjadikan perniagaan berkembang, kata Kuo.
"Kami percaya pengalaman Malaysia dalam tempoh tiga dekad lepas ini menunjukkan betapa boleh dan perlunya pengawal selia bertanggung jawab supaya sektor perbankan Islam dapat terus berkembang," katanya.
Ini berbanding dengan Indonesia, yang mana agihan pasaran industri masih lagi kurang daripada dua peratus (kira-kira AS$3 bilion atau RM9.5 bilion) meskipun mencatat pertumbuhan cergas dalam tahun-tahun kebelakangan.
Mengikut pandangan Moddy's, penerokaan yang rendah itu adalah sebahagian besarnya disebabkan kadar perubahan kepada perundangan dan institusi yang berkaitan yang lembap meski pun beberapa perubahan penting nampaknya menghasilkan lebihan, kata laporan itu.
PotensiIndonesia mempunyai potensi besar dalam jangka panjang memandangkan lebih 200 juta penduduknya merupakan penduduk Islam, iaitu penduduk Islam terbesar di dunia.
Beliau berkata, bertambahnya penerimaan terhadap perbankan Islam walaupun di kalangan orang bukan Islam, termasuk pengumuman Singapura, Tokyo dan Hong Kong bahawa pusat kewangan itu akan meningkatkan penyertaan mereka dalam pembiayaan Islam, juga telah menggiatkan potensi industri itu.
Bagaimana pun, sedang bank-bank Islam berkembang, ia perlu menguruskan cabaran untuk mengurus pertumbuhannya yang pantas dan bersaing dengan bank-bank konvensional.
Ini termasuk mengatasi isu-isu risiko, khusus berkaitan institusi kewangan Islam, seperti risiko tumpuan disebabkan skop kelas aset yang layak yang terhad, kos yang kian meningkat untuk menguruskan kecairan dan penumpuan terhadap liabiliti.
Bagaimanapun, ianya dapat diuruskan sekiranya bank tidak berada di dalam tekanan untuk mengembangkan asetnya dengan terlalu pantas, demikian menurut Moody's. —
- Bernama
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment