Terkini

Friday 28 March 2008

Suruhanjaya Sekuriti (SC) luluskan sukuk RM121.3 bilion tahun 2007


KUALA LUMPUR 27 Mac – Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah meluluskan sukuk bernilai RM121.3 bilion pada tahun lalu.


Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Datuk Zarinah Anwar berkata, jumlah tersebut merupakan 76 peratus daripada permohonan terbitan bon yang telah diluluskan dalam tempoh berkenaan.
‘‘Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, Malaysia terus menjadi peneraju sebagai penerbit sukuk terbesar di dunia yang menguasai lebih daripada 60 peratus pasaran sukuk di dunia pada akhir tahun lalu,’’ katanya semasa berucap pada Forum Pasaran Modal Islam Antarabangsa, di sini hari ini.


Pada majlis tersebut juga, SC telah menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) masing-masing dengan Universiti Malaysia (UM) dan Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan SC, Datuk Dr. Nik Ramlah Mahmood dan Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim dan Pemangku Pengarah Institut Kajian Pengurusan Fatwa Dunia USIM, Profesor Dr. Abdul Samat Musa.


MoU itu adalah untuk SC dan UM bekerjasama bagi melaksanakan Program Lawatan Cendekiawan Pasaran Modal Islam dan MoU keduanya dengan USIM pula untuk menjalankan usaha kompilasi fatwa pertama di dunia.


Menurutnya, nilai sukuk korporat terbesar di dunia yang telah diterbitkan di negara ini adalah bernilai RM15.4 bilion (AS$4.8 bilion).


Selain itu, beliau berkata, industri saham amanah Islam juga turut berkembang dengan pesat melibatkan sebanyak 128 produk pada akhir tahun lalu berbanding hanya tiga pada tahun 1993.
‘‘Nilai aset bersih pasaran saham amanah Islam kini adalah berjumlah RM16.9 bilion,’’ jelasnya.
Ketika ditanya mengenai usaha melaksanakan kompilasi fatwa pertama di dunia itu, Zarinah berkata, ia merupakan salah satu langkah yang diambil SC untuk merancakkan lagi pembangunan pasaran modal Islam di negara ini.


Katanya, edisi pertama kompilasi yang dijangka diterbitkan menjelang awal tahun 2009 dan dibantu oleh pihak lain daripada pelbagai bidang serta perunding luar itu akan diterbitkan dalam beberapa edisi dalam tempoh tiga tahun.


Inisiatif seterusnya ialah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Antarabangsa (IAC) yang akan dianggotai oleh Cendekiawan Syariah Arab Saudi, Dr. Mohamed Ali Elgari, Pengasas Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Fajr Capital, United Kingdom, Iqbal Khan.

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment