Terkini

Friday 7 March 2008

Khazanah terbit sukuk kumpul dana RM2 bilion

KUALA LUMPUR 6 Mac - Syarikat pelaburan kerajaan - Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) telah berjaya mengumpul dana berjumlah AS$647 juta (RM2 bilion) melalui terbitan sukuk menerusi syarikat perbadanan bebas Labuan - Paka Capital Ltd.
Dana itu merupakan gabungan terbitan sukuk berjumlah AS$550 juta (RM1.74 bilion) dan sebanyak AS$97 juta (RM307.1 juta) lagi berupa penempatan serentak saham dalam Parkson Retail Group Ltd. (Parkson), pengendali gedung membeli-belah terbesar di China.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Azman Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, ini merupakan sukuk boleh ubah pertama yang diterbitkan oleh Khazanah di dalam saham yang disenaraikan di luar Malaysia.
Menurutnya, terbitan sukuk itu membolehkan pelanggan mendapat kredit Khazanah sebagai perlindungan dan manfaat daripada pertumbuhan sektor peruncitan di China.
''Sukuk ini yang juga boleh ditukar kepada saham-saham biasa Parkson merupakan yang ketiga diterbitkan oleh Khazanah selepas penerbitan sukuk bernilai AS$750 juta (RM2.4 bilion) pada tahun 2006, yang merupakan sukuk pertama di dunia, diikuti terbitan sukuk kedua bernilai AS$850 iuta (RM2.7 bilion) pada tahun lalu.
'' Sukuk ini akan disenaraikan di Bursa Kewangan Antarabangsa Labuan dan Bursa Saham Hong Kong,'' katanya.
Menurutnya, transaksi itu adalah tepat pada masanya apabila banyak syarikat dan negara berasa bimbang untuk mengenal pasti pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, sukuk itu juga akan mempromosikan negara ini sebagai peneraju kewangan Islam dan menjadi 'Laluan Sutera Baru' yang menghubungkan pasaran China dan Asia Barat melalui Malaysia.
Khazanah melalui anak syarikatnya Pangkor Investment (Cayman Islands) Ltd. juga telah menjual saham-saham Parkson bernilai AS97 juta (RM307.1 juta) pada harga HK$71 sesaham bersamaan dengan 10.6 juta saham dalam modal berbayar dan terbitan Parkson.
Azman berkata, sambutan terhadap sukuk itu amat menggalakkan dan telah mencatat lebihan langganan sebanyak 10 kali, terutama daripada pelabur dari Asia Barat dan serantaunya, termasuk daripada institusi kewangan, pengurus dana, syarikat insurans , dana bersara dan koperasi.
''Sebanyak 50 peratus daripada sukuk itu telah diperuntukkan kepada pelabur Islam dan juga pelabur dari Asia Barat,' 'jelas beliau.
Tambah Azman, hasil daripada terbitan sukuk itu akan digunakan sebagai modal kerja dan aktiviti perniagaan amnya.--(UtusanMalaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


No comments:

Post a Comment