Terkini

Monday 3 March 2008

Hasil sukuk ringgit IDB habis digunakan dalam 2 tahun

KUALA LUMPUR 2 Mac - Bank Pembangunan Islam (IDB) yang beribu pejabat di Jeddah yakin pendapatan daripada bon Islam, sukuk dalam mata wang tempatan pertama bernilai RM500 juta yang bakal ditawarkannya, akan digunakan sepenuhnya dalam tempoh tidak sampai dua tahun.


"Insyallah, kurang daripada itu," kata Presidennya, Dr Ahmed Mohamed Ali, apabila ditanya sama ada pendapatan daripada bon Islam setengah bilion ringgit itu boleh digunakan sepenuhnya untuk membiayai projek-projek dalam tempoh dua hingga lima tahun.
Institusi pembiayaan pembangunan pelbagai hala itu menjangka dapat menerbitkan sukuk berkenaan di Malaysia dalam dua hingga tiga bulan lagi.


"Kebanyakan daripada jumlah itu akan dilaburkan di Malaysia dan jika ada lebihan, ia mungkin digunakan di luar negara ini," katanya, baru-baru ini.
Dr Mohamed Ali berkata, IDB telah mengenal pasti beberapa projek di Malaysia yang boleh dibiayai dengan menggunakan pendapatan daripada hasil jualan sukuk itu, dan ia sedang mempertimbangkan untuk menerbitkan lebih banyak sukuk di Malaysia.


Pengarah pejabat serantau IDB di Kuala Lumpur, Ahmed S. Hariri berkata sebahagian besar daripada sukuk bernilai RM500 juta itu akan digunakan bagi membiayai projek berharga kurang daripada AS$100 juta hingga AS$150 juta (RM320 juta hingga RM480 juta) yang diperuntukkan bagi Malaysia tahun ini.


Kebanyakan daripada peruntukan itu adalah bagi dua koridor ekonomi, iaitu Wilayah Pembangunan Iskandar dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
"Kami berhubungan dengan Khazanah Nasional dan Petronas, peneraju koridor-koridor itu.
"Tumpuan kami ialah pendidikan, kesihatan dan prasarana asas," katanya.
Sekiranya hasil sukuk itu digunakan sepenuhnya dalam tempoh dua tahun, IDB tidak akan teragak-agak untuk menerbitkan sukuk baru yang lebih besar dalam nilai ringgit, kata Hariri.
"Sudah tentu. Kenapa tidak," tegasnya.
Bagaimanapun, katanya, itu bergantung kepada keperluan dan kewujudan projek-projek yang memerlukan pembiayaan ketika itu.
Bercerita lebih lanjut, Hariri berkata, IDB tertarik untuk menerbitkan sukuk dalam nilai ringgit di Malaysia disebabkan kejayaan dan pengalaman negara ini dalam menerbitkan bon Islam bagi syarikat dan juga organisasi antarabangsa.
"Sistem dan prosedur yang ada melalui Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia sangat baik dan sempurna, membuatkan kami percaya dan yakin," tegas beliau.
Beliau berkata, sukuk RM500 juta itu merupakan terbitan bon Islam keempat bank itu kerana sebelum ini ia telah menerbitkan tiga sukuk dalam pasaran antarabangsa.
- Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


No comments:

Post a Comment