Terkini

Saturday 29 September 2007

Soal-Jawap Kewangan Islam - Siri 1

SIRI 1:
KAMI mengucapkan terima kasih kepada para pembaca yang mengikuti ruangan kewangan Islam ini dan juga kepada yang menghantar soalan-soalan melalui e-mel kepada kami. Isu yang ditimbulkan serta artikel jawapan kami akan diketengahkan mulai minggu ini untuk dikongsi bersama. Kami berharap melalui isu dan jawapan yang disediakan dapat membantu para pembaca sekalian memahami lagi industri ini. Yang sempat dimuatkan minggu ini adalah seperti berikut: Soalan: Saya dan rakan-rakan masih musykil tentang struktur dan arah-tuju industri insurans Takaful di Malaysia. Mohon penjelasan, termasuk perkembangannya yang terkini. Jawapan: Tadbir Urus Syariah sebagai Komponen Teras Sistem Takaful. Perkembangan industri takaful di Malaysia pada awal tahun 1980-an ialah hasil daripada keperluan umat Islam pada ketika itu untuk mempunyai alternatif kepada insurans konvensional yang memenuhi kehendak Syariah serta bagi melengkapkan operasi bank Islam yang ditubuhkan pada tahun 1983. Kewujudan industri takaful dipengaruhi sebahagian besarnya oleh keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Malaysia yang memutuskan bahawa insurans hayat dalam bentuk yang ada ialah suatu kontrak yang tidak sah kerana mempunyai unsur-unsur Gharar (ketidaktentuan), Riba’ dan Maisir (perjudian). Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan oleh Kerajaan pada tahun 1982 untuk mengkaji daya maju penubuhan syarikat insurans secara Islam. Berikutan syor Pasukan Petugas ini, Akta Takaful telah dikuatkuasakan pada tahun 1984 dan pengendali takaful yang pertama telah diperbadankan di Malaysia pada bulan November 1984. Secara umum, takaful ialah satu skim perlindungan yang menyediakan perlindungan bersama di kalangan para peserta skim takaful tertentu. Konsep sumbang-menyumbang dan lindungmelindungi berkenaan dalam kalangan peserta takaful adalah unik berbanding dengan kebanyakan skim insurans konvensional kerana kontrak takaful adalah di kalangan para peserta sesama mereka sahaja. Syarikat pengendali takaful sebenarnya bukanlah pihak yang memberikan perlindungan tetapi pihak peserta takaful sesama mereka, masing-masing merupakan pihak yang dilindungi dan pihak yang memberikan perlindungan. Pihak syarikat pengendali takaful sebenarnya hanya bertindak sebagai pengurus yang aktif berkenaan skim perlindungan yang tersebut. Kontrak utama dalam takaful ialah kontrak tabarru‘at iaitu derma di mana segala sumbangan merupakan sumbangan derma para peserta kepada dana takaful untuk digunakan bagi tujuan perlindungan bersama apabila peserta menghadapi risiko yang telah dinyatakan di dalam aqad perjanjian takaful. Kontrak-kontrak sokongan yang mempertautkan antara para peserta, dana takaful dan pengendali takaful biasanya akan melibatkan kontrak mudharabah ataupun wakalah. Akta Takaful 1984, Seksyen 2 menjelaskan konsep takaful sebagai: “Suatu skim yang berasaskan persaudaraan, perpaduan dan bantuan bersama yang menyediakan pertolongan dan bantuan kewangan kepada peserta-peserta yang memerlukan di mana peserta sama-sama bersetuju untuk memberi sumbangan bagi maksud itu.” (“A scheme based on brotherhood, solidarity and mutual assistance which provides for mutual financial aid and assistance to the participants in case of need whereby the participants mutually agree to contribute for that purpose”). Seksyen 2 ini juga menegaskan ruang lingkup perniagaan takaful iaitu perniagaan berkaitan takaful yang tujuan dan pengendaliannya tidak melibatkan apa-apa elemen yang tidak diluluskan oleh Syariah (“business of takaful whose aims and operations do not involve any element which is not approved by the Syariah”). Definisi sedemikian lebih berbentuk “regulatory” dan bukannya menjurus kepada penjelasan substantif tentang bagaimana secara operasionalnya pengurusan dan pengendalian perniagaan takaful harus dilakukan. Pola pendefinisian perniagaan takaful hampir menyerupai pola pendefinisian perniagaan Bank Islam oleh Akta Bank Islam iaitu perniagaan bank yang tujuan dan pengendaliannya tidak melibatkan apa-apa elemen yang tidak diluluskan oleh agama Islam - Seksyen 2 Akta Bank Islam 1983 (Akta 276)). Bagi memastikan perniagaan takaful dari segi tujuan dan pengendaliannya tidak melibatkan apa-apa elemen yang tidak diluluskan oleh Syariah, suatu kerangka tadbir urus Syariah yang melibatkan pihak pengawal selia industri takaful iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) dan pihak pengendali takaful diperkenalkan dan diterima pakai oleh industri takaful di negara ini. Tadbir Urus Syariah: Rangka kerja Syariah yang kukuh meningkatkan keyakinan pengguna dan memberikan fleksibiliti yang lebih luas kepada pengendali takaful untuk berinovasi dalam ruang lingkup Syariah. Struktur rangka kerja Syariah dua-peringkat yang sedia ada yang diperkenalkan oleh BNM adalah seperti yang berikut: Majlis Penasihat Syariah BNM: Majlis Penasihat Syariah BNM ditubuhkan pada bulan Mei 1997 dengan objektif untuk menentukan keputusan Syariah mengenai urus niaga perbankan Islam, kewangan Islam dan takaful yang dijalankan oleh institusi kewangan di bawah kawal selia BNM. Majlis ini mempunyai kuasa mengharmonikan apa-apa perbezaan pentafsiran Syariah bagi perkara-perkara di bawah bidang kuasanya. Akta Bank Negara Malaysia 1958 dan Akta Takaful 1984 telah dipinda pada tahun 2003 bagi memperkukuh peranan Majlis Penasihat Syariah BNM serta memberikan pengiktirafan undang-undang sebagai badan yang mempunyai kuasa mengenai perkara-perkara Syariah yang berkaitan dengan perbankan dan kewangan Islam. Di samping itu, status Majlis Penasihat Syariah BNM telah dinaik taraf sebagai tempat rujukan oleh mahkamah dan penimbang tara dalam apa-apa pertikaian yang melibatkan isu Syariah mengenai kes-kes yang melibatkan perbankan dan kewangan Islam. Jawatankuasa Syariah: Pengendali takaful dikehendaki di bawah undang-undang untuk menubuhkan Jawatankuasa Syariah sebagai sebahagian daripada tadbir urus dalaman bagi memastikan pematuhan terhadap Syariah. Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan mengenai Tadbir Urus Jawatankuasa Syariah bagi Institusi Kewangan Islam untuk terus memperkukuh tadbir urus Syariah bagi institusi kewangan Islam. Garis Panduan ini dikeluarkan untuk meningkatkan keseragaman keputusan Syariah dengan caramenyelaraskan fungsi dan kewajipan Jawatankuasa Syariah dalam industri dengan Majlis Penasihat Syariah. Garis Panduan ini juga menetapkan tahap kompetensi setiap ahli Jawatankuasa Syariah sebagai usaha menambah ahli Syariah yang kompeten dalam perbankan Islam dan takaful. Selain daripada rangka kerja Syariah, beberapa inisiatif lain telah dilancarkan untuk memperkukuh daya tahan industri takaful, dan dengan itu mempersiapkan Malaysia untuk menjadi pusat takaful dan takaful semula antarabangsa. Inisiatif ini, yang antara lain menekankan peningkatan keefisienan operasi, pengukuhan tadbir urus korporat dan pengurusan risiko, serta memperbaik amalanamalan pasaran dan kesedaran pelanggan, telah menjadikan industri takaful Malaysia lebih teguh sebagaimana yang dicerminkan oleh prestasi lebih mantap sektor takaful keluarga dan takaful am. Pembangunan dan pengembangan perkara-perkara teras berkenaan telah membantu memperkenal serta mengukuhkan industri takaful pada peringkat nasional. Justeru, boleh dikatakan bahawa industri takaful telah mengalami pertumbuhan dan transformasi pesat sejak ia mula diperkenalkan 23 tahun lalu. Daripada sebuah industri yang mempunyai hanya satu pengendali takaful dengan produk asas yang terhad, ia berkembang menjadi industri yang berdaya maju yang telah diintegrasikan ke dalam arus perdana sistem kewangan. Secara yang lebih lanjut, dalam konteks perkembangan semasa, perkembangan positif ini dapat dilihat berdasarkan fakta yang menunjukkan bahawa dalam separuh pertama tahun ini, jumlah aset keseluruhan dana takaful adalah sebanyak RM7.6 billion (bersamaan dengan USD2.2 billion). Jumlah ini mewakili 6.3 peratus daripada jumlah aset keseluruhan dana industri takaful dan insurans; dan jumlah berkenaan merupakan peningkatan sebanyak 11% berbanding dengan nilai aset keseluruhan dana industri berkenaan pada penghujung tahun 2006. Dari segi jumlah caruman sumbangan bersih takaful (net contributions), sejumlah RM1.2 billion telah dicatatkan dalam separuh pertama tahun ini; dan ia merupakan peningkatan sebanyak 36 peratus jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lepas. (Statistik dipetik dari ucapan pembukaan YBhg Dato’ Zamani Abdul Ghani, Timbalan Gabenor BNM pada Konvensyen Antarabangsa ke 3 mengenai Takaful dan Retakaful pada 29 Ogos 2007 lepas).
(Utusan Malaysia, 24 Sep 07, IBFIM-Soal Jawap 1)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment