Terkini

Sunday, 10 August 2008

Perangkap kad kredit


Oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
(Metro Ahad)
TEKANAN akibat kenaikan harga minyak kelihatan semakin meracuni pemikiran rakyat, terutama yang berpendapatan sederhana dan rendah. Menurut Bank Negara (BNM), inflasi dicatatkan setinggi tujuh peratus pada Jun 2008.

Kadar faedah bank pula kedengaran akan naik sekurang-kurangnya 0.25 peratus hingga ke 0.5 peratus. Demikian juga maklumat daripada rakan di bank walaupun ia dikatakan masih tahap ‘cakap-cakap’ saja.

Apa yang diperhatikan, mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah kelihatan cuba mendapatkan penyelesaian sementara yang nampak seperti melegakan, namun hakikatnya ia menawarkan kehancuran dan bala pada masa depan.

Yang saya maksudkan ialah kecenderungan berjinak-jinak dengan penggunaan kad kredit. Apatah lagi hari ini individu berpendapatan sekitar RM1,500 juga layak memiliki kad kredit.

Malah, laporan menyebut penduduk kawasan luar bandar yang sebelum ini jarang menggunakan kad kredit mencatat peningkatan hingga 30 peratus.

Berikut saya petik satu laporan berita yang saya baca:

“Penggunaan kad kredit untuk urusan pembelian minyak di stesen minyak seluruh negara meningkat antara 15 hingga 20 peratus sejak kerajaan melakukan penstrukturan semula subsidi minyak.

“Penggunaan kad kredit paling ketara adalah bagi urusan pembelian diesel yang kini mencecah 95 peratus berbanding sebelum ini hanya 80 peratus. Kebanyakan pengguna diesel adalah kenderaan perdagangan.

“Berkuat kuasa 4 Jun lalu, harga petrol dan diesel mencatatkan kenaikan masing-masing 40.6 peratus dan 63.3 peratus.

“Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Abdul Wahid Bidin, berkata pembelian petrol menggunakan kad kredit meningkat daripada 55 peratus kepada 75 peratus.

Malah, katanya, penduduk kawasan luar bandar yang sebelum ini jarang menggunakan kad kredit mencatat peningkatan hingga 30 peratus.

Beliau berkata, kad kredit digunakan kerana mudah dimiliki berikutan syarat kelayakan minimum seperti hanya perlu berpendapatan RM1,500.

Antara sebab peningkatan penggunaan ini ialah pengguna tidak perlu membayar tunai, sebaliknya boleh dijelaskan sebelum tarikh akhir pembayaran kad kredit.”



Hantu kad kredit riba

Saya kerap mendedahkan dalam kuliah berkenaan pertemuan saya dan rakan ketika berkhidmat di sebuah bank Islam dengan beberapa pegawai tinggi syarikat pengeluar kad kredit.

Secara terus terang mereka berkata, sasaran dan harapan mereka daripada pelanggan adalah, pelanggan sentiasa lambat bayar dan gagal bayar ‘on time’ (tepat masa) sehingga menyebabkan mereka mampu meraih faedah lebih tinggi.

Mereka juga tanpa segan silu mengatakan kurang gemar dengan pelanggan yang kerap membayar penuh kos kegunaan mereka pada setiap bulan. Bagi mereka, orang sebegini patutnya menggunakan kad caj berbanding kad kredit.

Bayangkan, betapa dahsyatnya bisnes kad kredit. Ia bisnes cekik darah orang melalui kelemahan manusia lain. Ia juga sentiasa merangsang nafsu membeli pelanggan kerana terasa mudah. Mana tidaknya, mampu membeli tanpa mempunyai atau membawa duit pada ketika itu.

Disebabkan itu, saya katakan ia menawarkan kenikmatan sementara tetapi kecelakaan masa depan. Jika anda belum faham maksud saya, setiap kad kredit menawarkan pemegangnya kelayakan berhutang dengan jumlah tertentu, katalah RM5,000.

Justeru, pelanggan boleh membeli apa juga selagi jumlah RM5,000 belum dicapai. Untuk setiap pembelian yang dibuat menggunakan kad ini, pengeluar kad beroleh komisen daripada penjual atau pekedai sekitar satu hingga 2.5 peratus. Ini pendapatan pengeluar yang pertama.

Kemudian, pengeluar kad akan membayar setiap harga yang dibeli pelanggan. Dengan demikian sah bahawa si pelanggan berhutang dengan pengeluar kad.

Namun hasil sasaran ‘jahat’ pengeluar kad, mereka membenarkan pengguna tadi membayar lima peratus saja daripada harga yang mereka guna terlebih dulu.

Ini bermakna, jika pelanggan guna RM4,000, mereka hanya dikehendaki bayar minimum RM200. Baki RM3,800 digalakkan pengeluar kad supaya pelanggan melengah-lengahkannya. Ini kerana mereka akan mengenakan faedah sebanyak 15 hingga 20 peratus ke atas baki RM3,800 itu.

Dengan cara ini, mereka dapat untung besar dan pelanggan semakin hampir kepada muflis serta tenggelam dengan hutang dan faedahnya.

Inikah yang disukai dan diingini pengguna kad kredit? Kelihatan anda mudah sementara di stesen minyak dan pasar raya, namun hakikatnya anda mengorbankannya dengan menanggung beban faedah sebesar 15 hingga 20 peratus yang sangat merugikan untuk jangka panjang di dunia dan akhirat.

Kerugian di dunia akan bermula dengan tekanan hutang dan akhirnya macam-macam perkara buruk berlaku. Mungkin satu kesannya adalah sebagaimana tercatat daripada petikan berita di bawah:

“Bebanan hutang dan tekanan perasaan dikatakan menjadi punca seorang ibu sanggup bertindak di luar batasan dengan cuba membunuh dua anak kandungnya di Seri Kembangan.

“Dia yang bekerja sebagai jururawat dipercayai memaksa dua anak perempuannya berusia enam dan empat tahun minum racun rumpai selepas mendakwa cecair itu hanya air kosong.

“Bagaimanapun dia hanya sempat memberi racun itu kepada anak yang berusia enam tahun selepas seorang lagi menjerit dan menangis sekuat hati.”



Jika guna tapi bayar penuh setiap bulan

Ramai bertanya saya soalan ini. Mereka menggunakan kad kredit, namun membayar penuh setiap jumlah kegunaan mereka dalam tempoh 20 hari yang terawal.

Dengan cara ini tiada faedah dikenakan dan tatkala itu kad itu hanya seperti kad caj. Adakah halal?

Jawapannya, ia tetap haram kerana setiap pembelian menggunakan kad kredit riba daripada bank konvensional ini, pihak bank akan mendapat komisen satu hingga tiga peratus daripada penjual.

Ini jelas menunjukkan pengguna menyokong industri riba untuk berkembang, lebih kurang sama dengan memberi upah dan komisen kepada perompak dan pembunuh atas kerja jahatnya. Bukankah itu dosa yang jelas?

Dosanya sama seperti mereka yang terbabit dengan riba secara langsung. Taubatlah. Tiada lagi alasan untuk menggunakannya, terutama pada waktu wujudnya kad kredit Islam dan ada caj Islam yang diiktiraf Visa dan Mastercard, bermakna ia diterima di seantero dunia.

Berfikirlah berlandaskan Islam di musim kaya, miskin dan sukar, nescaya Allah melapangkan jalanmu.

Apa yang perlu dibuat sekarang? Kenduri potong kad kredit riba. Selamat ‘memotong’ supaya tidak ‘dipotong’.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment