Terkini

Monday 18 August 2008

Basel II - Alat Paling Berkuasa Untuk Tingkatkan Daya Tahan Jangka Panjang & Kelebihan Kompetitif

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Pelaksanaan Basel II, yang merupakan syor undang-undang dan peraturan perbankan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Basel mengenai Pengawal Seliaan Perbankan, adalah alat yang berkuasa bagi bank untuk meningkatkan daya tahan jangka panjang dan kelebihan kompetitif secara signifikan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Basel II, menjanjikan kestabilan kewangan yang lebih meluas menerusi susunan yang lebih rapat risiko dengan modal, kata beliau dalam ucaptama pada Dialog Keempat SEACEN /ABAC/ABA/PECC Sektor Awam-Swasta bagi Rantau Asia Pasifik di sini.

"Bagi menikmati manfaat sepenuhnya daripada pelaksanaan Basel II, dimensi pelbagai wajah perlulah difahami dengan baik dan disepadukan dengan struktur kewangan, amalan institutsi, dan sistem kawal seliaan," katanya.

Beliau juga berkata pasaran yang baru muncul, khususnya, perlu untuk memastikan bahawa intepretasi kawal seliaan kerangka kerja adalah mengikut konteks situasi tempatan, dan pra syarat bagi pelaksanaannya yang efektif dibangunkan secukupnya untuk mengelakkan potensi berlakunya gangguan pasaran.

"Pada tahap institusi, Basel II menyediakan peluang yang unik bagi bank untuk menyepadukan pertimbangan risiko dengan strategi perniagaan mereka.

"Pastinya, beberapa institusi kewangan pemberi pinjaman telah dengan jayanya membawa Basel II melangkaui aplikasi risiko yang sempit dan mekanistik kepada pelaksanaan strategik kerangka kerja merentasi organisasi," jelasnya.

Menurut Zeti, institusi sebegitu telah memanfaatkan prasarana risiko yuang ditingkatkan yang telah diwujudkan untuk Basel II untuk mewewujudkan kelebihan kompetitif menerusi aplikasi perniagaan baru dan alat pengurusan.

"Ini membolehkan fungsi risiko mempunyai peranan utama bagi membentuk langkah strategik ke dalam pasaran baru dan produk. Dalam proses itu, ia memastikan strategi adalah diserasikan dengan selera risiko dan dasar bank," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata manfaat Basel II tidak akan dapat dicapai dengan hanya pendekatan pematuhan undang-undang yang ketat.

"Sementara Basel II bertindak sebagai pemangkin yang berkuasa mengubah semula kedudukan peranan, dan perhatian kepada pengurusan risiko dalam institusi perbankan, usaha keras juga diperlukan dan ditumpukan kepada mengukuhkan struktur kewangan, tadbir urus korporat, pengurusan risiko dan keupayaan data," katanya.

Sebanyak 13 negara di rantau Asia Pasifik, telah menerima pakai pendekatan yang seragam di bawah Basel II bagi risiko kredit dan pengoperasian.

Sejumlah negara sama ada telah pun menerima pakai atau mengumumkan pelan untuk menerima pendekatan yang lebih terkini menjelang 2010 atau sebelumnya.

Malaysia menerima pakai pendekatan yang seragam itu tahun ini dan baru-baru ini mengeluarkan kertas konsep yang mendalami tentang had-had tertentu bagi pelaksanaan pendekatan yang lebih terkini pada 2010.

Katanya dengan wujudnya krisis gadai janji sub-prima di Amerika Syarikat, beberapa aspek daripada Basel II telah dapat menarik perhatian seperti penggunaan penarafan dalam rangka kerja undang-undang dan sama ada ia secara tidak dirancang melemahkan semangat pelabur daripada melaksanakan langkah ketekunan kwjar mereka sendiri.

"Anggaran risiko yang kurang daripada sepatutnya bagi pensekuritian kredit berstruktur diletak di bawah penelitian yang rapi sekarang. Berlakunya perbahasan yang kian meningkat mengenai impak kitaran Basel II," katanya.

Bagi ekonomi yang baru muncul, Basel II tidak dapat dipertikaikan lagi mempunyai impak yang meluas memandangkan ekonomi terus banyak bergantung kepada sistem perbankan untuk membiayai aktiviti ekonomi.

Zeti menjelaskan bahawa dengan beberapa pengecualian, bank komersil merupakan penyedia kredit utama di kebanyakan ekonomi yang baru muncul, mewakili purata 90 peratus daripada jumlah kredit.

"Ini menghasilkan korelasi yang lebih tinggi kepada sektor ekonomi di mana implikasi terhadap sistem perbankan boleh mengakibatkan gangguan yang besar kepada penawaran kredit yang sebaliknya boleh menjejaskan aktiviti ekonomi," katanya.

Di Malaysia, kata Zeti penyusunan semula kewangan dijalankan untuk mengukuhkan lagi kekuatan sedia sistem perbankan yang memainkan peranan yang penting dalam membantu peralihan kepada penggunaan Basel II yang licin tanpa hasil keputusan pasaran yang mengecewakan.

-- BERNAMA
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment