Terkini

Thursday 14 August 2008

Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan meluluskan lebih banyak lesen syarikat pengurusan dana Islam

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan meluluskan lebih banyak lesen syarikat pengurusan dana Islam pada tahun ini dan tahun depan dalam usaha menjadikannya sebuah industri bertaraf global.
Pengerusi SC, Datuk Zarinah Anwar berkata, setakat ini, pihaknya telah memberi kelulusan kepada tiga syarikat asing dan sedang meneliti beberapa lagi permohonan dari negara-negara luar termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Asia Pasifik dan Asia Barat.
''Kita kini berusaha mempercepatkan proses permohonan yang akan dilakukan berperingkat-peringkat,'' kata beliau selepas menyampaikan ucaptama di Forum Kewangan Islam Malaysia 2008 di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedah jumlah syarikat yang sedang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu.
Menurut beliau, kebanyakan syarikat yang membuat permohonan itu berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengurusan dana Islam masing-masing.
Zarinah juga berkata, SC tidak menetapkan sebarang jumlah kelulusan syarikat pengurusan dana Islam sebaliknya sedang bekerja keras untuk menarik lebih banyak syarikat berkenaan, khususnya syarikat-syarikat besar bagi beroperasi di negara ini.
''Saya percaya dengan adanya penyertaan di kalangan syarikat-syarikat pengurusan dana Islam antarabangsa bersama lima syarikat pengurusan dana global dan tempatan akan meningkatkan pertumbuhan industri ini di Malaysia,'' ujar beliau,
Ini secara tidak langsung akan menawarkan lebih banyak pilihan produk dan perkhidmatan kepada pelabur domestik dan antarabangsa, sekali gus merealisasikan hasrat Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan bagi pelaburan dana Islam antarabangsa.
Terdahulu dalam ucapannya, Zarinah berkata, industri pengurusan pelaburan merupakan segmen pertumbuhan paling pantas dalam pasaran modal dengan kadar pertumbuhan kumulatif sebanyak 24 peratus setahun.
Katanya, pertumbuhan dalam industri itu dijangka terus mengukuh berikutan langkah kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan bagi kelulusan produk pelaburan, melonggarkan syarat-syarat bagi pelaburan asing dan meliberalisasi undang-undang bagi syarikat pengurusan dana asing.
''SC juga menyediakan pelbagai cukai dan insentif-insentif lain bagi syarikat pengurusan dana Islam yang beroperasi di Malaysia dan langkah ini telah meningkatkan minat kukuh daripada syarikat-syarikat peneraju pengurusan dana dan firma antarabangsa,'' katanya.
Beliau menambah, industri itu sedang mengalami pertumbuhan lancar dan permintaan untuk produk unit amanah terus kukuh.
Tambahnya, jumlah jualan bagi unit dana amanah berasaskan syariah meningkat 84 peratus kepada RM2.96 bilion tahun ini berbanding RM1.61 bilion pada tahun 2007.
''Pertumbuhan memberangsangkan dalam segmen pasaran ini sungguh signifikan berbanding pertumbuhan jualan bersih sebanyak 11 peratus bagi produk konvensional pada tempoh yang sama,'' jelasnya.
Zarinah berkata, pertumbuhan kukuh itu didorong oleh peningkatan keupayaan dalam industri Malaysia dengan menawarkan perlindungan modal dalam produk berstruktur seperti pertukaran, opsyen dan instrumen lindung nilai yang bersandarkan aset termasuk mata wang dan komoditi.
Selain itu, SC juga meluluskan produk-produk yang ditawarkan pada pasaran rantau lain, satu lagi pertumbuhan baru bagi meningkatkan penguasaan pasaran.
(Sumber: Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment