Terkini

Thursday 15 January 2009

Kewangan Islam alternatif terbaik

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan sistem kewangan Islam perlu mengambil peluang untuk menunjukkan kehebatan, kelebihan dan keberkesanannya ketika sistem kapitalis yang telah wujud selama 300 tahun menjadi ancaman kepada keseluruhan sistem ekonomi dunia.
Timbalan Perdana Menteri memberitahu, sistem kewangan Islam seperti Takaful, Sukuk, Ar Rahnu dan pelbagai instrumen ternyata telah menjadi alternatif terbaik dalam berhadapan dengan krisis semasa.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keadaan itu menuntut umat Islam secara komited untuk membuat pernilaian dan kajian terhadap pendekatan serta amalan semasa produk kewangan Islam agar prasarananya benar-benar menjadi pilihan terbaik.
''Diharapkan dengan krisis yang sedang hebat melanda ekonomi dunia akan membuka jalan kepada penemuan baru yang lebih universal serta adil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Seramai 350 orang peserta dan 600 orang pemerhati menyertai persidangan empat hari bermula hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Najib memberitahu, kerajaan akan terus komited dalam melaksanakan serta memperluaskan program ekonomi dan kewangan berasaskan Islam di negara ini.
Beliau memberitahu, komitmen ini berasaskan keupayaan serta sumbangan besar yang telah ditunjukkan oleh produk-produk ekonomi dan kewangan Islam.
''Kewangan Islam ternyata memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi negara, umat Islam dan masyarakat Malaysia seluruhnya," katanya.
Menurutnya, memperkukuhkan kewangan Islam merupakan perkara pertama daripada lima perkara yang perlu diberi perhatian oleh kongres bagi menghasilkan resolusi yang realistik serta praktikal sesuai dengan kekuatan yang dimiliki ummah.
Perkara kedua katanya, perhatian utama perlu diberikan kepada sektor Ijtima'i (masyarakat), sebagai satu daripada sektor dalam sistem ekonomi Islam (muamalat), yang sama penting peranannya dengan sektor kerajaan dan swasta.
Beliau berkata, unsur terpenting yang menjadi kekuatan sektor Ijtima'i ialah zakat, wakaf dan sadaqah jariah.
''Sektor ini merujuk kepada wujudnya sistem jaminan sosial yang diperkenalkan Islam sejak lebih 1,400 tahun yang lalu dan apabila kita telah sama-sama mengakui dan mengiktiraf tuntutan dan kepentingan sektor ini.
''Maka saya menyeru supaya prasarana dan institusi berkaitan harus disokong dan diperbaiki supaya lebih berkesan untuk muncul sebagai sumber kekuatan yang baru dan segar demi manfaat umat Islam," katanya.
Najib menambah, perkara ketiga ialah untuk mewujudkan institusi kewangan Islam berkonsepkan mesra usahawan.
Jelas beliau, konsep ini bakal berperanan menggembleng dana dan pada masa yang sama, membela serta memajukan usahawan Muslim seperti instrumen kewangan Islam yang bersesuaian berasaskan prinsip mudharabah dan musyarakah.
Perkara keempat katanya, konsep jaringan Islam (Muslim Net) perlu diperkenalkan kerana ia penting bagi mengukuhkan jaringan perniagaan sesama Muslim di semua peringkat serantau dan antarabangsa.
''Wujudnya jaringan Islam ini akan dapat menyelesaikan isu seperti pergerakan modal negara Islam ke negara Barat dan modal insan di kalangan negara Islam akan dapat diatasi serta ekonomi ummah dapat diperkasakan.
''Malaysia wajar mengambil langkah proaktif untuk mengeksport pakar kewangan Islam dan sekali gus dapat menarik dan mengurus dana dari negara-negara Islam," katanya.
Perkara kelima yang perlu dititik beratkan oleh umat Islam ujar beliau, ialah memperkenalkan konsep 'Peluang Hingga Berjaya' kerana ia membela usahawan yang tulen dan berusaha untuk terus berjaya.
Jelas beliau, prinsip Islam yang murni meletakkan mereka yang menghadapi masalah kewangan kesan dari faktor luar kawalan mungkin dapat dimasukkan di dalam golongan Al-Gharimin (satu daripada asnaf zakat).
Katanya, prinsip itu juga membawa maksud bahawa golongan seperti ini wajar dibantu hingga mereka keluar dari masalah yang dihadapi dan akhirnya akan berupaya menjadi pengeluar zakat.
(Utusan Malaysia)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment